Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Ayai Illusi/Koleksi Syed Wafa
Publisiti memainkan peranan penting dalam menaikkan nama seseorang penyanyi ataupun pelakon. Namun ini tidak kepada penyanyi Ayai Illusi yang sejak dulu menolak publisiti murahan yang dirasakannya tidak perlu dalam karier seninya
Ayai Illusi atau nama sebenarnya, Zaharuddin Kamaruddin,63, berkata, Publisiti itu terserah dan pada diri masing-masing, namun dia lebih suka bercerita mengenai kariernya berbanding mengada-ngadakan cerita.

“Saya kalau tak ada cerita tentang karier, saya lebih suka diamkan diri daripada meraih publisiti murahan. Mungkin disebabkan saya tinggal di Johor jadi kuranglah cerita mengenai saya kerana kebanyakan wartawan berada di Kuala Lumpur. Lagipun wartawan lebih suka paparkan artis baru berbanding kami artis lama. Saya faham kerana itulah peredaran zaman.
“Saya tak kisah walaupun jarang cerita saya dipaparkan di media massa hingga ada yang ingat saya dah tak menyanyi. Saya masih aktif menyanyi dan saya juga tak sukakan gossip. Pada pandangan saya lebih baik saya berdiam diri, kalau tak ada cerita nak diberitahu…daripada saya buat cerita-cerita merepek
“Tambahan pula sekarang masyarakat dan wartawan lebih suka cerita cerai -berai artis dan mereka juga memilih artis kegemaran masing-masing. Pada saya tak perlulah nak cerita atau dedahkan kisah rumah tangga…itu aib. Agama kita pun melarang cerita rumah tangga kita. Lebih baik kita mencari rezeki yang halal.”

Ayai Illusi memulakan karier sebagai penyanyi selepas menyertai pertandingan realiti Bintang RTM pada 1970 sebagai penyanyi radio bersama RTM Orkes RTM kawasan selatan di Johor Bahru di bawah pimpinan Allahyarham Taib Othman. Selepas 10 tahun menimba pengalaman, Ayai mengorak langkah menyanyi di eksekutif lounge di Johor bersama Hasnah Harun dan Allahyarham Harun Jaabar.
Selepas itu, Ayai menyertai kumpulan Illusi yang merupakan sebuah kumpulan muzik yang aktif di Malaysia pada penghujung tahun 80-an dan awal 90-an. Kumpulan ini mula menempa nama pada tahun 1988 menerusi single Puisi Cinta dari album pertama mereka. Tidak seperti kumpulan muzik lain pada ketika itu, Illusi bergerak hanya dengan empat orang anggota tanpa pemain dram iaitu Ayai (vokal), Leman (gitar), Shah (keyboard) dan Yem (bass).

Bersama kumpulan Illusi, nama Ayai mula meniti di bibir peminat menerusi lagu-lagu hitnya, antaranya Puisi Cinta (1988), Segalanya Ku Terima dan Suara Cinta (1989), Mengapai Pelangi, Inang Bujang Dan Dara (1993), Duniaku Dakwahku (featuring Altimet-1995), Manusia Sempurna (duet bersama Awi Rafael- 2013) dan Yakin Aku (duet bersama Firman).
Setelah kumpulannya berpecah pada tahun 1993, Ayai meneruskan kerjayanya secara solo dan terus menghasilkan album solonya, Ayai Illusi (1995) dan berkolaborasi dengan beberapa artis tempatan.

Anak kelahiran Johor Bahru ini menambah, dia bersyukur kerana kini rezeki tetap ada walaupun telah bergelar artis veteran.
“Tak sangka, saya ni dah kira artis veteran. Namun hingga kini masih banyak tawaran menyanyi yang masih saya dapat. Saya juga bersyukur kerana rezeki saya banyak di Sabah dan Sarawak.
“Alhamdulillah sejak bergelar juara Gegar Vaganza dulu hingga sekarang show saya tak pernah-pernah putus. Show saya banyak di Sabah dan Sarawak. 22 Mac ini saya akan berada di Miri, Sarawak untuk satu majlis berbuka puasa dan 19 Mac pula saya ada persembahan di Singapura

“Saya juga bersyukur, baru beberapa hari kita berpuasa, saya dah dapat tawaran buat persembahan pada Hari Raya nanti. Hari Raya nanti saya akan berada di Singapura, Kuching, Kuala Lumpur dan Johor,” kata Ayai Ilusi lagi.
Sepanjang pembabitannya dalam industri seni Ayai Illusi pernah bergelar Juara Gegar Vaganza 2014 dan bersama kumpulannya pernah mendapat tempat kedua menerusi lagu Segalanya Ku Terima dalam Anugerah Juara Lagu 1989 (AJL). Manakala pada AJL 1993 hanya tercalon untuk lagu Inang Bujang dan Dara.

Kata Ayai Illusi lagi, “Jika tak ada halangan tak lama lagi saya akan berkolaborasi dengan kumpulan Rabbani. Buat masa ini lagu gubahan saya dah ada dan kalau lirik pula terpulang pada mereka jika ingin mengubahnya.”
Dengan perubahan masa, Ayai Illusi juga pernah diuji dengan masalah kesihatan, empat penyakit kronik menyerang serentak beberapa tahun lalu.
“Saya pernah mengalami masalah bengkak usus, masalah buah pinggang tahap empat, kandungan asid urik tinggi dan masalah hati. Satu bulan saya terlantar sakit. Sampai satu tahap pernah ke tandas di hospital dengan berkerusi roda.

“Saya hanya mampu berdoa dan syukurlah Allah kirimkan sahabat yang menyarankan saya amalkan air buah Kulim setiap pagi, tengah hari dan malam berserta selawat untuk merawat masalah buah pinggang. Alhamdulillah, prestasi buah pinggang saya semakin baik begitu juga kesihatan saya,’’ ujar Ayai lagi.
Ayai Illusi yang juga popular dengan lagu Lamunan, Ku Pulang Setiap Raya, Terikat kini bahagia bersama isterinya Siti Hajar Ali dan tiga anaknya Aimie Nadia, Aimie Nurin Asyiqin dan Azmeer Ahmad

Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.