Krisdayanti mula dikenali di Malaysia menerusi lagu "Menghitung Hari".

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Krisdayanti/Koleksi Syed Wafa

POPULARITI lagu “Menghitung Hari” dan “Hati Ini Telah Dilukai” dendangan Krisdayanti membuatkan nama penyanyi kelahiran Batu, Jawa Timur, Indonesia itu mula mendapat perhatian peminat di Malaysia.

Untuk pasaran di Malaysia pada 1999, album kedua beliau yang dikeluarkan pada 1998 dengan judul “Sayang” ditukarkan kepada “Menghitung Hari” dan turut memuatkan lagu “Hati Ini Telah Dilukai”, duet Krisdayanti dengan Ajai.

Sejak itulah, juara pertandingan Asia Bagus 1992 itu sering bertandang ke Malaysia untuk menjayakan persembahan di sini dan kehadiran Krisdayanti ketika itu sering ditemani oleh suami, Anang Hermansyah yang disatukan pada 22 Ogos 1996.

Album KD (Krisdayanti) yang beetajuk “Sayang” yang begitu mendapat sambutan di Malaysia menerusi lagu “Menghitung Hari”.

Krisdayanti, 50, yang merupakan adik kepada Yuni Shara bukan sekadar pasangan hidup kepada Anang, malah mereka juga adalah pasangan duet yang popular.

Album duet perdana Krisdayanti dan Anang dikeluarkan pada 1996 dengan judul “Cinta” dan sebanyak 1,000 salinan pertama album tersebut diberikan kepada tetamu undangan yang hadir ke majlis perkahwinan mereka.

Ternyata album tersebut laris di pasaran dan berjaya dijual sehingga satu juta unit. Antara lagu yang menjadi hit daripada album tersebut adalah “Cinta”, “Berartinya Dirimu”, “Di Hati” dan “Dua Hati”. Kejayaan album tersebut juga membolehkan Krisdayanti dan Anang meraih anugerah “Album Pop Terbaik” pada Anugerah Muzik Indonesia 1997.

Sering menjadi cover majalah hiburan terkenal tanah air antaranya majalah hiburan no 1 Malaysia iaitu URTV bersama Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Mahligai yang dibin diserikan dengan kehadiran anak sulung yang dilahirkan pada 10 Julai 1998 dan diberi nama Titania Aurelie Nurhermansyah. Bagi meraikan kehadiran cahaya mata sulungnya, Krisdayanti dan Anang sekali lagi tampil dengan album duet berjudul “Buah Hati”.

Begitu juga selepas melahirkan anak keduanya, Azriel Akbar Hermansyah pada 27 Jun 2000, pasangan tersebut kembali menghasilkan album duet bersama sebelum mereka bercerai pada Ogos 2009.

Selain berduet dengan Anang, beliau juga pernah berkolaborasi dengan Dato’ Seri Siti Nurhaliza menerusi album “CTKD – Canda, Tangis, Ketawa, Duka” pada 2009.

Suaranya yang merdu membuatkan ramai mahu mendengar dendangannya secara langsung.

Selepas bercerai dengan Anang Hermansyah, Krisdayanti memilih seorang ahli perniagaan dari Timor Leste iaitu Raul Lemos sebagai pasangan hidupnya. Mereka bergelar suami isteri pada 20 Mac 2011 dan dikurniakan dua orang anak, Arianna Amora Lemos yang dilahirkan pada 5 September 2011 dan Kellen Alexander Lemos (Disember 2012)

Darah seni yang dimiliki Krisdayanti datang daripada bapanya, Trenggono yang merupakan seorang pelukis dan penyanyi keroncong. Malangnya kedua ibu bapa beliau bercerai ketika umurnya dua tahun.

Beliau yang membesar dalam keluarga yang susah, sejak kecil Krisdayanti dan kakaknya sering menghibur orang sekeliling dengan menyanyi dan menari. Pada usia sembilan tahun, suaranya digunakan dalam filem kanak-kanak “Megaloman”.

Tanggungjawab sebagai ahli politik yang diceburi sejak 2019.

Ketika berusia 12 tahun, Krisdayanti diberi kesempatan tampil dengan album solo berjudul “Biasa Saja” bersama syarikat rakaman kecil bernama Gembala Records. Walau bagaimanapun, album pertama dalam kerjayanya itu kurang mendapat sambutan.

Dalam tempoh lebih 30 tahun bergelar anak seni dan berada di puncak, kejayaan yang diraih oleh penyanyi lagu “Pilihlah Aku” tidak terkira banyaknya. Begitu juga dengan pesembahan besar atau kecil kerana kemunculannya di pentas sentiasa dinanti oleh peminat.

Bakal hibur peminat Malaysia

Selepas lapan tahun tidak mengadakan konsert berskala besar di Malaysia, pada 22 Jun 2025, jam 9 malam di Axiata Arena, Bukit Jalil, beliau akan menghiburkan peminatnya menerusi ‘Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti’ yang dibawakan oleh JBProduction.

Krisdayanti kini pelajar pendidikan S1 di
Universitas Terbuka dalam jurusan Ilmu Pemerintahan.

Ketua Pegawai Kewangan Jaguh Baru Sdn Bhd, Isa A Rani berkata, pemilihan pelantun lagu “Cubalah Untuk Setia” kerana sudah lama Diva dari Indonesia itu menjadi buah hati peminat di Malaysia.

“Ramai yang menanti kehadirannya kerana sudah lama Krisdayanti tidak muncul dalam skala persembahan konsert di negara ini. Kami sangat berbangga untuk menganjurkan konsert Krisdayanti bagi melepaskan rindu peminat untuk menonton persembahannya secara langsung.

“Konsert ini juga sebagai kesinambungan dan reportoire yang sangat dekat di hati penonton kedua-dua buah negara. Selain itu, pemilihan Krisdayanti disebabkan reputasi serta kredibiliti beliau yang bukan saja mempunyai vokal tersendiri, malah bijak berinteraksi serta mesra dengan penonton,” kata Isa A Rani.

Gembira dapat membantu ramai orang selepas menyertai politik.

Malam yang bakal dipenuhi dengan momen dan rasa cinta itu akan mengubat rindu peminat kerana kali terakhir ahli politik dari Parti Demokrasi Indonesia Perjuangan (PDI-P) itu muncul mengadakan konsert di Malaysia pada 2017 menerusi Konsert Romansa Krisdayanti.

Bagi Krisdayanti, Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti sangat istimewa untuk dirinya terus menjalinkan rasa cinta dan kasih sayang yang berputik sejak sekian lama dengan peminat di Malaysia khasnya yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya seninya.

Untuk konsert yang bakal menampilkan Erwin Gutawa sebagai Pengarah Muzik itu, Krisdayanti akui, dirinya bertuah kerana terus kukuh dalam koordinat seni di Malaysia dan terus diingati meskipun ramai penyanyi baharu dari Indonesia menempa nama di negara ini.

Bersama dua cucu kesayangan yang merupakan anak kepada Aurelia Nurhermansyah.

“Saya akan membawa penonton mendengar dan kembali mengingati lagu-lagu yang penuh nostalgia cinta diiringi pemuzik di bawah pengarah Erwin Gutawa. Saya rasa bertuah sangat kerana terus disayangi dan diterima baik oleh masyarakat di sini, harap semua hadir pada malam Konsert Cinta Nostalgia Krisdayanti nanti.

“Selain peminat Malaysia, saya juga berharap peminat Indonesia yang berada di negara ini turut sama-sama memberi sokongan. Ayuh, kita sama-sama berhibur pada malam itu kerana saya mempunyai banyak deretan lagu hit untuk dipersembahkan kepada penonton yang hadir,” katanya yang berpasangan dengan Liza Aziz sewaktu final program Gegar Vaganza ke-11.

Jelas Krisdayanti, sudah lama beliau mahu mengadakan konsert di Malaysia tapi waktu tidak mengizinkan walaupun tidak ada halangan sejak beliau menyertai dunia politik.

Tetap tampak jelita walaupun sudah mempunyai cucu.

“Keinginan yang sangat untuk mengadakan konsert di Malaysia tapi ada keterbatasannya. Lima tahun sebelum ini memang tidak ada larangan tapi tanggungjawab sebagai ahli politik itu harus diutamakan.

“Saya kalau mahu mengadakan konsert, latihannya mestilah banyak kali dan bukan sekali dua saja. Di waktu yang sama, saya perlu lunaskan tanggungjawab sebagai wakil rakyat dan dalam tempoh tersebut saya belum berani terima tawaran walaupun ada.

“Ada satu dua untuk buat konsert, itupun saya fikir masak-masak sebelum setuju. Bila dihitung balik, hampir lapan tahun saya tidak membuat konsert, hanya satu dua saja itupun untuk persembahan kecil,’ katanya yang teruja untuk kembali menemui peminat di Malaysia.

Mula menyanyi sejak kecil dan berjaya menghasilkan banyak album.

Katanya, walaupun tidak mengadakan konsert di sini, beliau sentiasa pantau perkembangan muzik kerana sekarang ini gaya muzik sentiasa berubah dan menyebabkan ramai bakat baharu.

“Malah saya sempat bertanya pada rakan-rakan artis, berapa harga penyanyi sekarang kalau buat show di Malaysia. Saya bertanya begitu untuk standby adakah harganya masih seperti dulu atau sebaliknya. Semua teman-teman yang memberitahu saya pun tidak ada rasa yang peluang mereka terbatas.

“Saya tidak pernah merasa bahawa ruang untuk mengadakan persembahan di Malaysia akan direbut oleh penyanyi lain kerana setiap penyanyi punya masa dan cara tersendiri,” katanya yang sentiasa mengamalkan gaya hidup sihat dan pastikan tidur yang cukup.

Keluarga bahagia Krisdayanti.

Selain itu, pada usia sekarang pun beliau masih berolahraga dan sering bangun pagi untuk melakukan rutin senaman termasuklah latihan seni mempertahankan diri, wushu.

“Saya belajar seni bela diri iaitu wushu kerana ia ada kelenturan, ketepatan dan ketegasan serta keindahan tersendiri. Saya sudah belajar wushu sejak dua tahun lebih. Saya perlu jaga stamina demi kesihatan dan kalau menyanyi perlukan tenaga yang banyak. Selalunya untuk konsert berskala besar, saya akan menyanyi hampir dua jam lebih,” katanya.

Kesibukan sebagai ahli politik dan anak seni tidak menghalang Krisdayanti untuk mencari ilmu pada usia sekarang. Baru-baru ini, penyanyi itu memberitahu yang kini beliau mendaftar sebagai pelajar pendidikan S1 di Universitas Terbuka dalam jurusan Ilmu Pemerintahan.

Sewaktu sidang media mengumumkan konsert Krisdayanti yang bakal berlangsung pada 22 Jun ini.

Dengan latar belakangnya sebagai anggota Dewan Perwakilan Rakyat (DPR) Republik Indonesia sejak 2019, Keputusan dibuat bukan hanya sekadar memenuhi Impian peribadi tetapi juga mencerminkan komitmennya untuk menyumbangi lebih baik di dunia politik.

Baginya, usia bukan penghalang untuk seseorang itu belajar dan secara tak langsung beliau ingin mengajak orang lain untuk tidak ragu melanjutkan pendidikan. Terlebih lagi, dengan latar belakangnya di dunia politik yang semakin menaikkan namanya setelah menjadi diva Indonesia.

Krisdayanti mengakui sejak membabitkan diri dalam dunia politik, beliau berpeluang membantu lebih ramai orang walaupun secara rasional tidak mampu membuat untuk semua kerana sebagai anggota Parlimen penyanyi itu hanya mewakili satu daerah sahaja.

Konsert Cinta Nostalgia bakal melerai rindu peminat terhadap persembahan Krisdayanti.

“Sebagai orang politik saya dapat membantu lebih ramai orang dan sebelum ini masyarakat hanya melihat saya sebagai penyanyi tapi sekarang mereka dapat melihat saya mampu menjadi saluran aspirasi mereka.

“Walaupun sekarang parti saya bukan yang memerintah tapi kita tetap memantuau dan terus menjaga masyarakat. Saya sudah 30 tahun dalam dunia seni sepertinya gosip dunia seni jauh lebih kejam dengan politik.

“Bagaimana pun semua itu terpulang kepada pandangan kita sendiri. Saya yakin setiap orang yang terlibat dalam aktiviti seni atau politik mahu buat yang terbaik untuk masyarakt. Kekadang kekuasaan itu membuat orang lupa,” katanya terus terang.

Previous articleCara menghilangkan kurap di tubuh badan 
Next articleAyai Illusi tolak publisiti murahan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here