Oleh: Syed Wafa
Foto: Ehsan Reena Nicky
Di bulan Ramadan yang mulia ini, penyanyi dan aktivis terkenal Reena Nicky telah menganjurkan satu majlis berbuka puasa amal bersama anak-anak yatim di Rumah Amal Cahaya Tengku Ampuan Rahimah (RACTAR), Subang Jaya. Majlis ini bukan sahaja bertujuan untuk berkongsi rezeki dan bersedekah sempena bulan Ramadan, tetapi juga diadakan bagi menyambut ulang tahun anak perempuannya yang tercinta,
Khayla Afrina.
Menurut Reena, ini bukan kali pertama dia dan keluarganya mengadakan majlis di rumah amal tersebut. Sejak lapan tahun lalu, mereka sudah biasa datang ke sini untuk menyantuni anak-anak yatim, sama ada melalui sumbangan makanan ataupun majlis berbuka puasa. Namun, tahun ini lebih bermakna kerana ulang tahun anaknya jatuh dalam bulan Ramadan, memberi peluang untuk mereka berkongsi kegembiraan bersama golongan yang kurang bernasib baik.

Selain Reena, suaminya, Suresh, turut memainkan peranan penting dalam menjayakan majlis ini. Walaupun kesihatannya tidak stabil akibat kemalangan beberapa tahun lalu, dia tetap bersemangat untuk meneruskan amalan bersedekah yang sudah menjadi kebiasaan mereka. Reena berkongsi bahawa Suresh pernah mengalami kecederaan kepala selepas terjatuh daripada kuda, menyebabkan gangguan ingatan serta kesulitan untuk bergerak.
“Kos rawatan yang tinggi memberi cabaran kepada kami, namun kami tetap berpegang pada prinsip bahawa rezeki tidak akan pernah putus jika seseorang itu rajin bersedekah.

“Bagi Reena, amalan berkongsi rezeki ini bukan sahaja membantu mereka yang memerlukan, tetapi juga memberikan keberkatan dalam kehidupan. Saya percaya bahawa setiap kebaikan yang dilakukan pasti akan dibalas dengan kebaikan yang lebih besar,” kata Reena bersungguh-sungguh.
Meskipun kehidupan mereka mengalami banyak perubahan sejak Suresh berhenti bekerja, mereka tetap berusaha untuk membantu orang lain dengan apa carapun.
Selain sibuk dengan urusan peribadi dan kerja amal, Reena masih aktif dalam industri seni dan kini dalam perancangan untuk melancarkan beberapa lagu baharu.

Majlis berbuka puasa ini bukan sekadar acara makan bersama, tetapi menjadi simbol kasih sayang dan kepentingan berkongsi rezeki. Bagi Reena lagi, ini adalah salah satu cara untuk mengajar anak-anaknya tentang kepentingan memberi dan membantu mereka yang memerlukan, terutamanya dalam bulan yang penuh keberkatan ini.
Majlis yang penuh barakah ini turut dimariahkan dengan kehadiran sahabat rapat dan rakan media

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.