Oleh Nury Kadir
Di Johor masih ada lagi tradisi atau adat yang diwarisi dari leluhur bangsa Melayu Johor setiap kali Ramadan. Adat itu dipanggil ‘munjung’ atau ‘kunjungan’ yang diambil daripada perkataan Jawa membawa maksud berbagi makanan sebagai tanda hormat kepada yang tua. Atau orang sekarang kata ‘sharing is caring’. Selagi bergelar bangsa Johor Islam tanpa mengira daripada keturunan Jawa, mahupun Banjar, Bugis atau orang Kuala (orang asli) semuanya masih mengekalkan tradisi bertukar juadah.
Tradisi ‘munjung’ sebenarnya berasal dari bangsa Johor keturunan Jawa namun ia sudah berkembang menjadi budaya Melayu Islam di Johor. Ia lebih kepada adat orang Jawa dulu-dulu untuk menunjukkan rasa hormat kepada orang tua atau saudara yang lebih tua, jiran tetangga dengan menghantar hidangan dan berkunjung bertanya khabar sebelum lebaran. Biasanya ia dilakukan pada puasa terakhir dalam bulan Ramadan dan pagi Hari Raya pertama.
Pada malam terakhir Ramadan dan pagi Hari Raya pertama biasanya sekampung mempunyai menu yang sama iaitu ketupat dan nasi impit. Walaupun menu yang sama tetapi rasanya berbeza. Daripada tradisi itulah kita kenal ‘air tangan’ saudara mara dan jiran tetangga. Itu semua yang menjadikan kita lebih akrab dan faham konsep silaturrahim.
Seiring perjalanan waktu, adat tersebut berubah dan menjadi lebih baik. Tradisi berbagi makanan bukan lagi diamalkan sewaktu puasa terakhir dan pagi Hari Raya tetapi sudah bermula sejak 1 Ramadan lagi. Tradisi `munjung’ itu menjadi lebih indah apabila sepanjang sebulan puasa sentiasa ada juadah berbuka hasil daripada ‘munjung’ saudara mara dan jiran yang berbeza setiap hari.
Adat itu berterusan sepanjang Ramadan dengan menu yang berbeza. Menunya tidak terhad kepada juadah hari raya sahaja tetapi lebih kepada menu harian yang sesuai untuk juadah berbuka puasa. Adat ini diwarisi dari satu generasi ke generasi seterusnya kerana ia bersesuaian dengan tuntutan hadis memberi makan orang berpuasa.
Berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Zaid bin Khalid al-Juhani R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مِثْلُ أَجْرِهِ غَيْرَ أَنَّهُ لاَ يَنْقُصُ مِنْ أَجْرِ الصَّائِمِ شَيْئًا
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berpuasa dia akan mendapat pahala yang sama dengan orang yang berpuasa dalam keadaan pahala orang tersebut tidak berkurangan sedikit pun.” (HR Al-Tirmizi)
Mari kita kupas apa yang dimaksudkan hadis tersebut. Bagi menjelaskan hal tersebut, Mufti Wilayah Persekutuan menerusi laman sesawang www.muftiwp.gov.my. memulakannya dengan kata-kata daripada Imam Izzuddin Al Izz bin Abd al-Salam di dalam kitab Maqasid al-Saum, Izz Abd al-Salam: ‘’Sesiapa yang memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa dalam sepanjang tahun, maka dia akan mendapat pahala berpuasa selama setahun’’.
Ini kerana, setiap kebaikan yang dilakukan oleh seseorang itu akan mendapat 10 ganjaran pahala seperti yang disebutkan dalam firman Allah S.W.T:
مَن جَاءَ بِالْحَسَنَةِ فَلَهُ عَشْرُ أَمْثَالِهَا
Maksudnya: “Sesiapa yang melakukan suatu kebaikan maka baginya sepuluh ganjaran pahala.” (Surah Al-An’aam:160)
Analoginya, apabila seseorang itu memberi makan kepada 36 orang yang berpuasa maka dia akan mendapat ganjaran puasa sebanyak 36 kali. Kemudian pahala tersebut digandakan kepada 10 kali bagi setiap satu maka keseluruhannya dia akan mendapat 360 ganjaran dan ia merupakan jumlah hari dalam setahun mengikut kalendar hijrah.
Persoalannya sekarang berapa kadarnya untuk memberi makan tersebut? Dalam hal tersebut Mufti Wilayah Persekutuan menyatakan bahawa ulama berbeza pendapat berkenaan kadar manakah yang dikira sebagai memberi makan berbuka kepada golongan yang berpuasa? Adakah pahala memberi makan itu terhasil dengan memberi sekalipun sebiji kurma atau sebekas air atau memberi makanan-makanan yang menghasilkan kekenyangan kepada golongan yang berbuka puasa?
Kata Imam Ibn Muflih dalam Al-Furu’, Ibn Muflih, ketika mensyarahkan hadis kelebihan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa di atas: ‘’Yang zahir dari pendapat para ulama adalah apa sahaja makanan sebagaimana zahir khabar (hadis) tersebut. Manakala pahala yang lebih besar sekiranya makanan tersebut memberi kekenyangan kepada orang yang berbuka.”
Sekiranya dia memberikan makanan kepada orang yang berbuka puasa sama ada dengan sebiji tamar, segelas air, dan sebagainya maka sudah terhasil baginya pahala memberi makan kepada orang yang berbuka sebagaimana zahir hadis.
Ini adalah jelas seperti yang diriwayatkan oleh Salman al-Farisi R.A bahawa Rasulullah S.A.W bersabda:
مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا كَانَ لَهُ عِتْقُ رَقَبَةٍ وَمَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ قِيلَ يَا رَسُولَ اللَّهِ لَيْسَ كُلُّنَا يَجِدُ مَا يُفَطِّرُ الصَّائِمَ قَالَ يُعْطِي اللَّهُ هَذَا الثَّوَابَ مَنْ فَطَّرَ صَائِمًا عَلَى مَذْقَةِ لَبَنٍ أَوْ تَمْرَةٍ أَوْ شَرْبَةِ مَاءٍ
Maksudnya: “Sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka dia mendapat ganjaran dibebaskan dari api neraka dan keampunan ke atas dosa-dosanya. Lalu ditanyakan kepada Rasulullah S.A.W: ‘’Wahai Rasulullah, bukanlah kesemua kami ini mampu untuk memberikan sesuatu untuk orang berpuasa berbuka’’. Maka Rasulullah SAW menjawab: ‘’Allah memberikan pahala ini kepada sesiapa yang memberi makan kepada orang yang berbuka puasa dengan susu yang dicampur dengan air, sebiji kurma, atau air minuman.” (HR Ibn Khuzaimah)

Manakala pendapat yang kedua menyebut bahawa pahala memberi makan berbuka kepada orang yang berpuasa tidak terhasil melainkan bagi mereka yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa (melalui makanan yang disediakan).
Ini kerana dengan terhasilnya kekenyangan akan tercapailah maksud dari sudut memberi kekuatan kepada orang berpuasa tersebut untuk beribadah dan mencukupkan dirinya pada malam tersebut. Inilah pendapat yang ditarjihkan oleh Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah.
Pandangan yang paling tepat adalah sesiapa sahaja yang memberi makan kepada orang berbuka puasa dengan apa sahaja makanan maka dia telah mendapat ganjaran pahala memberi makan kepada orang yang berpuasa. Ini tanpa mengambil kira makanan tersebut adalah kurma, bubur, secawan air, ataupun makanan berat sekalipun.
Pun begitu, memberi atau menyediakan juadah berbuka puasa yang memberi kekenyangan adalah lebih afdhal dan lebih besar pahala yang diperoleh. Ini merujuk kepada hadis Rasulullah SAW yang bersabda:
وَمَنْ أَشْبَعَ صَائِمًا كَانَ لَهُ مَغْفِرَةٌ لِذُنُوبِهِ وَسَقَاهُ اللَّهُ مِنْ حَوْضِي شَرْبَةً لَا يَظْمَأُ حَتَّى يَدْخُلَ الْجَنَّةَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang memberi kekenyangan kepada orang yang berpuasa maka dia akan mendapat keampunan atas dosa-dosanya, dan Allah akan memberikan dia minum daripada Haudh (telaga) ku dengan minuman yang akan menyebabkan dia tidak akan dahaga selamanya sehinggalah dia masuk ke dalam syurga.” (HR Ibn Khuzaimah)
Demikian juga terhasil pahala kepada mereka yang memberi makan kepada orang berbuka, tanpa mengambil kira ia di makan terdahulu atau terkemudian selama masih dalam tempoh berbuka puasa.
Ada juga beberapa hadis lain seperti yang dicatatkan di www.muftiwp.gov.my.,menyentuh perihal fadilat memberi makan orang berbuka puasa antaranya:
Daripada Ummu Ammarah, Rasulullah SAW bersabda:
إِنَّ الصَّائِمِ إِذَا أَكَلَ عِندَهُ لمَ تَزَل تُصَلِّي عَلَيهِ المَلائِكَةُ حَتََى يَفْرُغَ مِن طَعَامِهِ
Maksudnya: “Sesungguhnya orang yang berpuasa apabila makan bersamanya orang berpuasa yang lain, maka sentiasalah para malaikat mengucap selawat ke atasnya sehingga selesai daripada makannya.”(HR Ahmad, al-Tarmizi dan al-Baihaqi)
Rasulullah SAW bersabda:
الصَّائِمُ إِذَا أَكَلَتْ عِنْدَهُ المُفَاطِرُ صَلَّتْ عَلَيْهِ الملائِكَةُ
Maksudnya: “Orang yang berpuasa apabila makan di sisinya orang-orang yang berbuka puasa, nescaya para malaikat berselawat ke atasnya.” (HR al-Tarmizi dan Ibn Majah)
Berdasarkan nas hadis di atas jelas menunjukkan kelebihan bagi mereka yang memberi makan orang yang berpuasa, apatah lagi mereka yang amat memerlukan seperti anak-anak yatim, fakir miskin dan golongan yang berhajat.
# Ikuti sambungan artikel bahagian kedua mengenai adab memberi orang makan dan apa ganjaran menunggu ibu yang memasak untuk keluarganya?

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.