Oleh: Syed Wafa
Foto: Ehsan Anwar Razali Stalista (Jurugambar Zack Zul)
Pelakon terkenal Datuk Aaron Aziz adalah antara artis yang yang menerima Anugerah Usahawan Bintang Negara Madani anjuran Dewan Perniagaan Datuk Dato’ Malaysia (DPDDM) baru-baru ini. Anugerah ini diberikan bagi menghargai pencapaian dan bakat Aaron dalam dunia seni serta dunia perniagaan yang telah lama beliau ceburi.
“Saya amat terharu dengan anugerah ini dan memberi semangat untuk saya terus melangkah maju dalam dunia seni dan perniagaan yang saya ceburi.
“Ucapan setinggi terima kasih kepada DPDDM yang sudi memberi anugerah ini kepada saya dan ini adalah antara kenangan indah dalam kerjay saya,” kata Aaron Aziz bersungguh-sungguh.
Sebelum ini DPDDM juga telah menganjurkan Anugerah Usahawan Madani 2024 sebuah acara yang meraikan 60 tokoh keusahawanan negara dari pelbagai bidang. Pada majlis tersebut pelakon popular Maya Karin turut menerima nugerah .

Presiden DPDDM, Datuk Nor Hasnal Hashmi amat berharap anugerah berprestij ini akan berterusan dan menjadi contoh bagi menghargai insan seni yang banyak berjasa kepada negara amnya.
“Selain untuk mengeratkan hubungan sesama ahli, kami juga ingin membantu mereka untuk keluar dari kemelut ekonomi dengan bantuan kerajaan Madani sekarang ini.
“Anugerah ini diberikan berdasarkan kapasiti dan pencapaian yang telah kami analisis sepanjang tahun 2024. Ia juga bagi mengangkat martabat artis untuk terus berjaya dalam bidang yang mereka ceburi.
“Kami harap dengan anugerah ini dapat dijadikan jambatan MAS untuk mereka terus membina kerjaya dalam bidang keusahawanan. Sekurang-kurangnya bila tidak berlakon atau menyanyi seseorang artis itu dapat meneruskan usaha mereka menjadi usahawan.
“Selain membantu ahli, kami juga turut membantu usahawan muda untuk terus berjaya dengan pelbagai bantuan yang boleh kami tawarkan. Galakan dan inspirasi ini merangkumi pelbagai kepakaran, daripada golongan profesional sehingga separa mahir.

Kami juga menyasarkan untuk melahirkan 1000 usahawan dalam tempoh enam bulan akan datang melalui pelbagai kaedah dan platform yang telah dirancang,” kata beliau.
Majlis ini juga turut memberi penghormatan kepada 55 individu yang telah menunjukkan kecemerlangan dalam bidang masing-masing. Antaranya pelakon legenda dan pengarah popular A.R.Badul, wartawan Syed Wafa, Poey Sting, Rina Eva dan ramai lagi yang menerima pengiktirafan atas sumbangan mereka dalam industri hiburan dan keusahawanan.
Sebelum ini beberapa artis turut menerima Anugerah Usahawan Madani & Selebriti Negara. Antara penerima Anugerah Madani dan selebriti negara, Maya Karin, Datuk Ifa Raziah, Datuk N.D.Lala, Keena Mentor, Datin Elveena Iris, Halim Othman, Datuk Ayu Putih, Nazeera Sardi, Datuk Malek Reduan, Datin Ira Ghani dan lain-lain lagi.
Dalam pada itu Nor Hasnal turut berkongsi perancangan masa depan DPDDM yang akan bekerjasama dengan syarikat Usahacaya Urus Sdn Bhd untuk melaksanakan beberapa projek.
“Ada dua Projek Usahawan Vending Machines DPDDM akan melibatkan 1000 usahawan, termasuk ahli-ahli dan golongan B40 untuk menyertai projek ini. Pembiayaan akan disediakan oleh DPDDM bagi membasmi kemiskinan serta meningkatkan pendapatan golongan B40.

“Bagi Projek Usahawan Agro Tani, DPDDM akan membuka peluang kepada ahli-ahli untuk menyertai latihan bersama INSKEN bagi mengusahakan tanaman Halia Bentong melalui kaedah kontrak pertanian. Sebagai permulaan kawasan pertanian seluas 100 hektar, dikenali sebagai Halia City akan diwujudkan.
“Tapak ini akan menggunakan teknologi Internet of Things (IoT) terkini bagi meningkatkan hasil tanaman dan memberi pulangan lumayan kepada para peserta.
Projek-projek ini dilihat sebagai langkah strategik untuk menyahut seruan kerajaan dalam memastikan keterjaminan makanan dan membangunkan ekonomi usahawan tempatan,” ujarnya yang ingin menjadikan Malaysia sebagai negara yang kaya dengan pengeluaran halia yang dinamakan Halia Emas.
Selain itu, DPDDM bekerjasama dengan Usahacaya Urus Sdn Bhd untuk Projek Usahawan Vending Machines bagi membantu golongan B40 serta Projek Usahawan Agro Tani yang melibatkan latihan bersama INSKEN untuk mengusahakan tanaman Halia Bentong di kawasan seluas 100 hektar menggunakan teknologi IoT.
Tambahan lagi, DPDDM turut bekerjasama dengan RESKILLS bagi menyediakan sistem pembelajaran dalam talian percuma kepada pelajar, sebagai sebahagian daripada inisiatif kemasyarakatan madani.

SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.