Alyph harap albumnya mendapat sambutan dan sokongan daripada peminat.

Oleh: Khadijah Ibrahim

PENYANYI Alyph atau Muhammad Alif Abdullah, 36, yang popular dengan lagu Swipe kini tampil dengan album baharu berjudul The Storm yang dilancarkan secara rasmi pada 24 Januari lalu.

Alyph memilih judul The Storm bagi mewakili muziknya yang tercetus dalam pemikirannya secara rawak hingga menyebabkan beliau sukar untuk memikirkan persoalan tersebut.

Alyph berkolaborasi dengan Ziana Zain untuk lagu Gerak dan Teman.

“Ia hadir lebih semula jadi dan paling tepat mewakili muzik saya. Kita tidak mampu menduga ribut yang melanda membawa apa, bila akan surut, dan apa yang berlaku dalam setiap lapisan berbeza di langit.

“Cuma yang kita pasti, banyak hal terpendam perlu dilepaskan. Album yang meneroka megah diri, cinta, dan derita dalam pada bermuhasabah diri tentang masa lalu, sekarang, dan masa depan,” katanya menjelaskan apa yang tersirat di sebalik pemilihan judul album tersebut.

Album The Storm merupakan cetusan kreativiti Alyph sebagai anak seni yang serba boleh.

Artis residen cemerlang naungan Universal Music Malaysia, Singapura dan Indonesia serta Def Jam Recordings Asia Tenggara (SEA) itu asalnya menggunakan judul lain untuk albumnya.

Namun, seiring transisi kreativitinya yang umpama ribut tidak diundang, Alyph menamakan album ini The Storm kerana beliau berbicara dari sudut kejujuran, kerapuhan, harga diri, dan berterus-terang menerusi muziknya. Hal itu berbeza dengan kebiasaan apabila beliau bercakap secara bersemuka.

Alyph bukan sekadar menyanyi, dia juga seorang komposer yang kreatif.

Jelas Alyph sewaktu proses rakaman beliau rasa sangat bebas dan semua lagu dihasilkan daripada kisah benar dan dicampur aduk dengan pelbagai cerita yang berlaku dalam kehidupan manusia sejagat.

“Album ini adalah sudut pandang masa lalu, sekarang, dan masa hadapan. Ia meleraikan kisah menempuh kedewasaan yang saya pelajari daripada ibu saya. Sebahagian besarnya berputar dalam aspek kemegahan diri, kasih sayang, dan penderitaan,

Alyph cukup sinonim dengan lagu Swipe sebelum ini.

“Tidak keterlaluan jika saya katakan yang The Storm adalah refleksi terhadap evolusi diri saya sebagai penglipur lara. Menerusi setiap projek, refleksi itu menjadi lebih jelas dan pamerkan kemajuan diri. Saya juga berharap karya ini dapat menyentuh kisah hidup seseorang secara langsung,” katanya penuh harapan.

Berkongsi di sebalik tabir pembikinannya, Alyph berkata, momen paling memuaskan tatkala dapat menyiapkan tujuh lagu dalam tempoh berterusan.

“Album ini mengetengahkan subjek yang kurang diteroka di rantau ini. Bagaimanapun, semangat untuk pecah tembok baharu menjadi tema konsisten dalam hasil kerja saya.

Memuatkan 12 buah lagu dalam album The Storm.

“Secara terperinci, Ingat dan Gerak tidak dinafikan paling mencabar untuk dilunaskan kerana perlu hidupkan kisah peribadi yang sangat mendalam. Menyanyikan karya sebegitu menuntut pertarungan emosi berbeza.

“Kekhuatiran saya lebih terasa setiap kali di pentas menyanyikan kisah peribadi. Sepertinya hidup saya dirungkai secara terbuka dan harus tangani lagu bersifat peribadi itu sebaiknya depan penonton,” katanya.

Menghasilkan The Storm juga menjadi pemecah tembok Alyph sebagai komposer dan artis. Meletakkan fokus kemahuan diri nombor satu menjadikan hala tujunya jadi lebih nyata dalam sempurnakan hasil kerja.

Alyph tidak pernah goyah dalam mencari identiti muziknya.

The Storm merangkumkan cetusan kreativitinya sebagai anak seni serba boleh. Menarik sekali, untuk lagu Gerak dan Teman, Alyph turut bekerjasama dengan penyanyi ikonik Ziana Zain yang baginya umpama mimpi jadi kenyataan.

Selain itu, album ini turut menampilkan Gard, seorang bakat muda yang cukup dikenali oleh peminat hip-hop tempatan yang juga sedang meningkat naik. Pendengar bakal menyaksikan gabungan dua bakat besar ini menerusi lagu Sorok Muka.

Sebanyak 12 lagu dimuatkan dalam album ini termasuk Red Flags, Saham Naik, Birthday Girl, The Line, Bestfriend Part 2, Mekar, Dari Jauh, Siapa Yang Ajar? dan Sorok Muka (feat Gard) selain Ingat, Gerak, serta Teman.

Previous articleAjai pilih Thalita untuk konsert di Singapura kerana bakat
Next articleSingle “Tondu” uji kebolehan kumpulan pelawak Zero sebagai penyanyi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here