Bermula sebagai pelawak kini kumpulan Zero memgembangkan bakat sebagai penyanyi pula.

Oleh: Khadijah Ibrahim

Di kalangan peminat, trio adik-beradik Zero yang dianggotai Mohd Syaiful Doli Sharif (Syaiful atau Melati), 37, Sharif Kadir Doli Sharif (Sharif), 35, dan Sharif Kunal Doli Sharif (Atu), 33, sememangnya sudah dikenali sebagai pelawak, pelakon serta pengacara dan pencapaian mereka amat membanggakan.

Kini, Zero yang berasal dari Kudat, Sabah, mencatat sejarah baharu dalam catatan karier mereka sebagai artis serba boleh dalam industri seni tanah air apabila tampil dengan single sulung berjudul “Tondu”.

Menurut Atu, Tondu dalam bahasa Kadazan Dusun bermaksud perempuan adalah ciptaan komposer Zai Hamzah bersama Hemo, manakala lirik pula hasil sentuhan Achoi Floor 88 dan Ayie Elham Floor 88.

Pengarah Urusan Nova Music, Rosmin Hashim sewaktu perasmian lagu Tondu bersama Atu kerana Syaiful dan Sharif tidak dapat hadir.

“Penerbit lagu ini ialah Zai Hamzah, Oja dan Hemo. Susunan muzik dibuat oleh Oja dan proses rakaman lagu dibuat di studio Tunable Record Sdn. Bhd, Setapak pada tahun lalu.

“Idea untuk kami hasilkan lagu ini datang dari abang saya, Sharif sejak dua tahun dulu. Kemudian lagu ini dibawa kepada beberapa syarikat rakaman tapi akhirnya berjodoh dengan Nova Music.

“Konsep muziknya lebih kepada lagu rakyat yang mudah diterima masyarakat. Ia pasal seorang lelaki yang ditinggalkan oleh seorang gadis. Selepas itu dia kena move on dari kekecewaan dialaminya,” katanya mewakili dua abangnya.

Atu berkata, lagu ini dihasilkan kerana dua abangnya boleh menyanyi dengan baik. Malah, ia dibuktikan apabila mereka muncul juara ‘Famili Duo 2023’ yang diterbitkan oleh TV3.

“Sayanglah kalau tiada lagu sendiri kerana mereka ada bakat menyanyi. Sebelum ini, asyik-asyik menyanyi lagu orang sahaja. Mereka menyanyi sepenuhnya lagu ini sementara saya banyak terlibat dalam bahagian rap.

“Zero buat lagu bukan sebab nak bersaing atau bertanding di mana-mana. Tujuannya lebih untuk cari show bagi membiayai pengurusan jenazah yang kami wujudkan, selain komitmen keluarga dan sebagainya.

“Kami tahu jika tiada lagu, kami kurang dapat show. Kami tak mengharap pada berlakon drama mahupun filem. Jadi kami cuba nak buat lagu bagi mempelbagaikan kelebihan yang ada,” katanya.

Menyanyikan lagu Tondu yang dalam bahasa Kadazan Dusun merujuk kepada perempuan.

Sebagai orang baharu dalam bidang nyanyian, Zero menyerahkan kepada kebijaksanaan pengurusan Nova Music untuk melakukan yang terbaik buat lagu ini.

“Mereka lebih berpengalaman dan profesional dalam bidang muzik. Jadi kami serahkan kepada mereka untuk promosi dan sebagainya. Kami diberitahu lagu kami akan dikeluarkan serentak dengan muzik video.

“Kami serahkan sepenuhnya kepercayaan kepada mereka kerana percaya mereka pasti akan lakukan yang terbaik untuk Tondu. Kami buat lagu ini untuk cari rezeki.

“Insya-Allah lagu ini boleh pergi jauh. Saya teruja kerana lagu ini dihasilkan dengan sempurna. Sebelum ini kami nyanyi lagu secara main-main dan siar dekat YouTube contohnya seperti lagu raya. Tapi untuk lagu ini kami buat sangat sempurna,” katanya penuh harapan.

Atu mengakui tidak sabar untuk menunggu kelahiran single pertama ini. Tambahan pula, Zero sudah 10 tahun berada dalam industri seni tanah air.

“Alhamdulillah…Zero masih diberi rezeki dalam karier seni. Sekiranya dapat sambutan, kami akan sambung dengan lagu seterusnya pula. Saya anggap ia pembuka langkah lebih besar untuk tahun 2025,” ujarnya.

Penerbit “Tondu”, Zai Hamzah berkata, lagu ini istimewa kerana melibatkan kerjasama insan-insan kreatif dalam industri seni tempatan.

Atu menjelaskan lagu Tondu dihasilkan kerana kedua-dua abangnya boleh menyanyi dengan baik.

“Lagu ini saya hasilkan dan dibantu oleh Ayie dari segi lirik kerana dia orang Sabah. Sharif pun ada bantu sedikit sebanyak dalam lirik. Semasa rakaman tiada sebarang masalah kerana Zero imun lagu itu apabila dengar banyak kali, semuanya lancar.

“Konsep lagu ini, saya buat ikut konsep muzik Indonesia. Sebenarnya Sabah pun ada juga konsep muzik begini. Cuma ia kebanyakan lebih terarah kepada kepulauan Indonesia.

“Bahagian-bahagian ini genrenya dipanggil acara. Ia macam lagu-lagu mood happy. Kalau di kepulauan Indonesia atau negara Papua New Guinea, muziknya memang begini,” jelas Zai.

Beliau percaya semua golongan peminat termasuk di Semenanjung boleh menerima lagu ini dengan baik.

“Lagu ini dekat dengan budaya Sabah. Ikutkan muziknya bukanlah asal dari Indonesia, cuma mereka suka buat remix. Jadi saya ambil pendekatan itu sikit dan tambahkan dengan elemen Sabah.

“Bagi saya, Zero boleh menyanyi. Cuma yang paling best mereka ada karakter nyanyian tersendiri. Mungkin pasal mereka dari Sabah jadi mudah menyanyikan lagu itu. Karakter itu paling penting bila saya rakam mereka.

“Suara mereka bukanlah betul-betul seperti penyanyi yang kita tengok tapi mereka ada bakat untuk menyanyi lagu ini dengan sangat baik. Mereka ada buat penambahan dari segi vokal dan efek semuanya cantik,” katanya.

Tondu lebih kepada lagu rakyat.

Zai mengharapkan lagu ini diterima oleh peminat bukan sahaja di Malaysa bahkan juga Indonesia kerana muziknya juga ada iras-iras muzik dari sana.

Sementara itu, Ayie berkata, lagu ini pada perancangan awal dinyanyikan olehnya bersama Achoi. Bagaimana pun selepas difikir mereka bersetuju untuk bagi orang lain menyanyi.

“Kami bagi peluang dan fikir Zero yang sesuai menyanyi lagu ini. Cerita asalnya, saya orang Sabah dan nak bawa Achoi tengok pemandangan di Sabah. Tapi dalam masa sama, Achoi pun nak cari wanita Sabah.

“Bila Zero nyanyikan, saya tukar lirik yang masih menceritakan tentang wanita Sabah tapi dinyanyikan oleh orang Sabah,” katanya.

Single “Tondu” terbitan Nova Music boleh distrim di semua pelantar penstriman muzik, sementara muzik video rasmi lagu tersebut boleh ditonton di saluran YouTube ‘Nova Music Videos’.

Previous articleThe Storm bukti kejujuran Alyph
Next articleCara rawatan dan menghilangkan resdung

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here