Ajai memilih Thalita kerana anak arwah Siti Sarah itu berbakat.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

SELEPAS mencatat kejayaan menerusi konsert sulung ByAjai & Mega Friends di Arena Megastar Kuala Lumpur pada 31 Ogos tahun lalu, komposer itu terus mendapat undangan untuk mengadakan konsert yang sama di luar negara.

Bagi memenuhi undangan daripada penganjur dari Singapura iaitu AA Power bersama Sound Innovations SG, Eventify Asia serta VBC, Ajai yang merupakan tunjang Wake The Baby Records (WTBR) bakal membawa konsert ByAjai & Mega Friends ke sana pada 10 Mei ini di The Star Theatre Singapura.

 

Ajai bakal menghibur peminat di Singapura pula bersama artis pilihannya.

Penyanyi Dayang Nurfaizah, Aina Abdul, Hafiz Suip dan Hazama masih setia bergandingan dengan Ajai untuk persembahan di Singapura nanti. Manakala dua nama baharu yang bakal memeriahkan konsert tersebut ialah Asmidar dan Thalita anak arwah penyanyi Siti Sarah.

Ajai memilih Asmidar kerana penyanyi suara gemersik ini telah mempopularkan lagu ciptaan beliau iaitu “Biar Mimpi Sampai Ke Bintang”.

 

Konsert ByAjai & Mega Friends pada 10 Mei ini di The Star Theatre Singapura.
Konsert ByAjai & Mega Friends di Singapura adalah yang kedua selepas di Kuala Lumpur.

Sewaktu di Kuala Lumpur dulu, Ajai berjaya membawa Ila Sabry yang popular dengan lagu “Keranamu Kekasih” ciptaan beliaubersama Azam Dungun sebagai penulis lirik. Selain itu beliau turut mengundang Aufahanie yang pernah merakam semula lagu ciptaan Ajai iaitu “Saat Hilang Cintamu” lagu asal dendangan Siti Sarah itu.

“Selepas konsert di Kuala Lumpur, nama dan lagu hit Asmidar sering muncul di ruangan komen daripada peminat muzik tempatan. Bagi memenuhi permintaan peminat, saya pun cuba merisik Asmidar dan alhamdulillah, dia terima pelawaan saya.

 

Konsert Ajai dan rakan-rakan pasti menghiburkan penonton di Singapura.

“Selain Asmidar, saya juga akan membawa bersama seorang penyanyi cilik yang bercita-cita tinggi, siapa lagi kalau bukan anak arwah Siti Sarah iaitu Thalita. Saya kagum dengan azam dan semangat serta bakat terpendamnya yang tinggi.

“Saya dengar nada suara Thalita, walaupun tak sama seperti arwah ibunya, tetap memiliki karisma dan tarikan. Saya memang buat penilaian menyeluruh terhadap bakatnya, bukan sebab Thalita viral kerana menyanyi di Bukit Bintang, baru-baru ini.

 

Lagu Seandainya Masih Ada Cinta ciptaan Ajai untuk Dayang Nurfaizah membawa tuah kepada penyanyi itu.
Asmidar popular dengan lagu Biar Mimpi Sampai Ke Bintang, ciptaan Ajai.
Aina Abdul antara penyanyi pilihan Ajai untuk sertai konsertnya.

“Kalau dikenang waktu saya mula-mula audition Siti Sarah, di tahun 2001, macam bermain semula di kotak fikiran ini apabila saya dapat bertemu dengan anak arwah dan Shuib ini. Thalita nama yang sedap didengar. Anak ini sangat senang dibawa berbicara.

“Walau masih di usia semuda ini, Thalita menunjukkan minat yang mendalam ingin berkecimpung dalam industri muzik dan adik Thalita juga dapat sokongan yang penuh daripada bapanya. Itu juga satu dorongan yang baik selain fokus kepada pelajaran, Thalita dah tahu cabang minatnya, iaitu menyanyi,” kata Ajai.

Untuk konsert di Singapura, menampilkan dua wajah baharu iaitu Asmidar dan Thalita.

Bagi yang ingin menonton persembahan Ajai bersama rakan-rakannya bolehlah mendapatkan tiket anda secara atas talian di www.Sistic.com.sg

Previous articleSolat Sebagai Penghapus Dosa (Bahagian 2)
Next articleThe Storm bukti kejujuran Alyph

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here