Oleh : Nury Kadir
Adakah sebelum peristiwa Israk dan Mikraj, nabi-nabi dan umat terdahulu tidak pernah solat? Adakah Nabi Muhammad SAW dan umat Islam sebelum berlakunya peristiwa Israk dan Mikraj tidak diperintahkan solat?
Ini penjelasan dari laman sesawang Mufti Wilayah Persekutuan, sebenarnya pensyariatan solat bermula semenjak Nabi SAW menjalankan dakwahnya di kota Mekah. Terdapat firman Allah SWT yang menyatakan beberapa keadaan berkenaan solat misalnya dalam surah Qaf ayat 39;
فَاصْبِرْ عَلَى مَا يَقُولُونَ وَسَبِّحْ بِحَمْدِ رَبِّكَ قَبْلَ طُلُوعِ الشَّمْسِ وَقَبْلَ الْغُرُوبِ
Maksudnya: “Oleh itu bersabarlah (wahai Muhammad) akan apa yang dikatakan oleh mereka (yang menentangmu itu), dan bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu (terutama) sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam.”
Ibn Kathir mentafsirkan maksud ayat, “Bertasbihlah sambil memuji Tuhanmu terutama sebelum terbit matahari dan sebelum matahari terbenam” ialah merujuk kepada kefarduan solat sebelum peristiwa Israk dan Mikraj ialah dua kali iaitu sebelum matahari terbit dan sebelum matahari terbenam dan ia diwajibkan ke atas Nabi SAW dan umatnya ketika itu.
Selain itu, terdapat juga riwayat lain yang menyatakan bahawa Nabi SAW mengerjakan solat semenjak Baginda menerima wahyu yang pertama lagi. Perkara ini sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad di dalam musnadnya:
أَنَّ جِبْرِيلَ عَلَيْهِ السَّلَامُ أَتَاهُ فِي أَوَّلِ مَا أُوحِيَ إِلَيْهِ، فَعَلَّمَهُ الْوُضُوءَ وَالصَّلَاةَ
Maksudnya: “Sesungguhnya Jibril AS datang kepada Rasulullah ketika menyampaikan wahyu pertama dan mengajarkan Rasulullah SAW wuduk dan solat.” (HR Ahmad)
Namun begitu, bilangan dan rakaat solat sebelum berlakunya peristiwa Israk Mikraj adalah berbeza iaitu Nabi SAW mengerjakan solat sebanyak dua rakaat pada awal pagi dan di akhir siang hari.
Begitu juga yang dikatakan oleh al-Harabi yang mana ibadat solat sebelum peristiwa Israk dan Mikraj ialah solat sebelum terbit dan terbenam matahari. Di sini, jelas serta dapat difahami bahawa peristiwa Israk dan Mikraj merupakan permulaan kewajipan solat fardu lima waktu, manakala sebelum dari peristiwa berkenaan ibadat solat dikerjakan sebanyak dua waktu iaitu pada awal pagi dan senja.
Ada yang meremehkan dengan kata-kata, “Solat tapi mulut jahat dan maksiat tak tinggal. Lebih baik tak solat.”
Ini jawapannya, solat sebenarnya benteng yang menghalang seseorang itu daripada melakukan kemungkaran dan kemaksiatan. Sebagaimana firman Allah SWT:
إِنَّ الصَّلَاةَ تَنْهَىٰ عَنِ الْفَحْشَاءِ وَالْمُنكَرِ
Maksudnya: “Sesungguhnya solat itu mencegah daripada perbuatan yang keji dan mungkar.” (Al-‘Ankabut, 29: 45)

Selain itu, solat fardu lima waktu adalah penghapus dosa yang dilakukan di sela masa waktu solat tersebut. Rasulullah SAW bersabda: “Tidakkah kamu melihat seolah-olah sebuah sungai yang berada berhampiran kamu lalu kamu mandi di dalamnya sebanyak lima kali pada setiap hari, adakah tersisa kekotoran pada diri kamu, mereka berkata: “Tidak akan tersisa.” Lalu Nabi SAW menjawab, “Begitulah perumpamaan solat lima waktu yang menghapuskan segala dosa manusia dengannya.”
Tetapi mengapa masih ada perangai buruk walaupun solat? Kerana solat tidak didirikan dengan penuh keimanan dan keikhlasan, maka solatnya tidak membantu untuk membentuk keperibadiannya yang mulia.
Sabda Rasulullah SAW:
مَنْ لَمْ تَنْهَهُ صَلَاتُهُ عَنِ الفَحْشَاءِ وَالمُنْكَرِ لَمْ يَزْدَدْ مِنَ اللهِ إِلَّا بُعْدًا
Maksudnya: “Sesiapa yang solatnya tidak dapat mencegah dirinya dari perkara keji dan munkar, tidak bertambah sedikitpun kedudukan dirinya dengan Allah melainkan bertambah jauh.” (HR Al-Baihaqi)
Diakui memang sukar dan berat untuk melakukan solat jika tidak ada keazaman yang kuat untuk melakukannya. Ada seorang pelawak pernah ditanya yang mana satu pilihannya antara wanita bertudung tapi tidak solat dengan wanita tidak bertudung tapi taat mengerjakan solat? jawapnya, “Wanita tidak bertudung tapi taat mengerjakan solat. Sekurang-kurang wanita itu ada Tuhan di sisinya untuk meminta, berkata-kata, berdoa dan merayu.”
Mari kita renungkan firman Allah SWT
وَأْمُرْ أَهْلَكَ بِالصَّلَاةِ وَاصْطَبِرْ عَلَيْهَا ۖ لَا نَسْأَلُكَ رِزْقًا ۖ نَّحْنُ نَرْزُقُكَ ۗ وَالْعَاقِبَةُ لِلتَّقْوَىٰ
Maksudnya, “Dan perintahkanlah keluargamu untuk mengerjakan solat, hendaklah engkau tekun bersabar menunaikannya. Kami tidak meminta rezeki kepadamu, (bahkan) Kamilah yang memberi rezeki kepadamu. Dan (ingatlah) kesudahan yang baik adalah bagi orang-orang yang bertakwa.” (Taha: 132)
Imam al-Qurtubi di dalam Al-Jami Li Ahkam al-Quran berkata: “Setelah turunnya ayat ini, Rasulullah akan singgah pada setiap pagi di rumah anaknya Saidatina Fatimah dan Saidina Ali untuk bertanya adakah mereka sudah menunaikan solat. Perhatikan bagaimana sekalipun anak tersebut telah mendirikan rumah tangga dan mempunyai suami, Rasulullah SAW masih mengingatkan anaknya supaya menunaikan solat.”
Diakhiri dengan doa Nabi Ibrahim di dalam al-Quran semoga kita menjadi hamba yang sentiasa menunaikan solat.
رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ ﴿٤٠﴾ رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku. Wahai Tuhan kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman, pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.” (Surah Ibrahim: 40-41)
Syeikh Abu Bakar Jabir al-Jaza’iri menyebut: Yakni, wahai Rabbku, jadikanlah aku orang yang mendirikan solat dan keluargaku juga menunaikan solat, kerana solat adalah merupakan sebab bagi seluruh kehidupan. Ia adalah zikir dan syukur. Maka jika seorang hamba mendirikan solat dengan menunaikan syarat-syarat dan rukun-rukunnya secara sempurna, maka dia termasuk dalam kalangan orang-orang yang berzikir dan bersyukur. Dan ketika dia meninggalkannya, maka dia termasuk orang-orang yang lupa dan lalai, dan termasuk juga dari kalangan orang-orang yang kafir.

NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.