Oleh: Khadijah Ibrahim
MUNGKIN ada yang tertanya, siapakah Ryzal Aziz yang tiba-tiba mucnul dengan single “Ramadan”. Untuk makluman, Ryzal bukanlah baru nak bertapak dalam bidang seni suara menerusi platform media sosial.
Lebih daripada 20 tahun anak kelahiran Johor Bahru ini berkecimpung dalam bidang seni suara sejak memulakan langkahnya sebagai penyanyi kelab malam sekitar tahun 2000. Kemudian Ryzal beralih ke industri muzik arus perdana pada 2020 bersama kumpulan One Soul Band.

Bersama kumpulan ini beliau pernah menghasilkan single popular seperti “Perpisahan”, “Pasrah di Aidilfitri”, “Aku Rela”, “Bunga” dan “Curang” di bawah naungan Universal Music Malaysia.
Malah Ryzal juga pernah menjayakan beberapa siri jelajah di Jepun dan Singapura pada November 2024 turut berhasrat melancarkan dua lagi karya tahun ini, iaitu lagu cover berjudul “Di Sebalik Rahsia Hati” dan sebuah lagi single bertajuk “Menggapai Bintang”.
Kali ini Ryzal beralih arah dengan menampilkan lagu berunsur religi sempena dengan kehadiran Ramadan, bulan penuh rahmat dan keberkatan yang bakal diraikan pada Mac ini.

“Ramadan” merupakan lagu ciptaan Ryzal sepenuhnya itu mengangkat tema keinsafan dan kerohanian, dengan dengan lirik merayu pengampunan kepada Maha Pencipta sekali gus mengajak khalayak menghayati keindahan bulan suci yang amat dinantikan umat Islam di serata dunia.
Lagu ini menggabungkan melodi indah berkonsepkan balada perlahan diiringi alat muzik cello dan strings menerusi kolaborasi istimewa, jurutera suara, Amyr Abadawn dan Felix selaku jurutera pengaturan, adunan dan penyempurnaan audio.

Bagi Ryzal pembikinan Ramadan di bawah DK Records, bukan sekadar mencipta sebuah lagu, tetapi juga sebagai cara menitip pesanan dan ingatan sesama saudara agama mengerjakan ibadah dengan tekun dan memanfaatkan bulan itu untuk meraih reda Ilahi.
“Saya berharap lagu ini dapat menyampaikan mesej kepada kita semua supaya menggunakan kesempatan bulan Ramadan ini dengan sebaik-baiknya untuk beribadah dengan lebih tekun dan memohon keampunan Allah SWT.

“Semoga Ramadan kali ini lebih bermakna untuk kita meningkatkan amal soleh, menjadi asbab menggugur segala dosa, serta meningatkan semua untuk terus berusaha menjadi hamba terbaik,” katanya.
Lagu “Ramadan” boleh didengari dan ditonton menerusi Spotify, Apple Music, YouTube, Instagram, TikTok, Deezer Dan Prime Music manakala muzik video akan disiarkan pada 21 Februari 2025 serentak dengan semua platform media sosial Ryzal.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.