Ojen pilih Cik Epal untuk berkolaborasi dengannya bagi memasarkan kunafa Aiwahhh Madu 3 kerana mahu membantu rakan baiknya itu.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIDAK ada niat untuk menangguk di air keruh kerana apa yang dilakukan oleh Ojen Aiwahhh adalah untuk membantu rakan baiknya yang ditimpa masalah.

Personaliti TikTok dan usahawan muda yang menjual kunafa, kudapan manis dari Timur Tengah di bawah jenama Kunafa Aiwahhh
baru saja melancarkan perisa kelapan yang diberi nama Madu 3.

Kunafa Aiwahh perisa Madu 3 berasaskan emping jagung yang dilancarkan secara kolaborasi bersama teman baiknya, pempengaruh dan usahawan kontroversi, Cik Epal.

Ojen memulakan perniagaan kunafa sejak 2022 dan kini kudapan manis jualannya itu ada banyak perisa mengikut selera orang tempatan.

Menurut Ojen atau nama sebenarnya Mohd Ruzain Ahda Mohd Rosli, 29, beliau mempelawa Cik Epal untuk berkolaborasi dengannya bukan untuk mengambil kesempatan di atas keretakan rumah tangga teman baiknya itu.

Sebaliknya, niat utama penuntut bahasa Arab di Yaman itu adalah untuk menolong Cik Epal dan berkongsi rezeki dengan sahabatnya itu.

“Kalau ada yang kata kerjasama ini cuba ambil kesempatan fasal cerita itu, saya kurang bersetuju. Mungkin ia hanya kebetulan. Apa yang saya boleh tekankan kerjasama ini lebih kepada menolong antara satu sama lain.

“Saya sendiri bersimpati dengan apa yang berlaku dalam kisah rumah tangganya. Sebagai sahabat, saya tak mahu hanya muncul pada waktu senang saja, biarlah ketika susah juga.

Pilihan nama Madu 3 tidak ada kaitan dengan cerita kontroversi Cik Epal kerana kunafa ini menggunakan tiga jenis bahan berbeza.

“Dapat juga saya kongsi rezeki dengannya sekali gus dia boleh meneruskan survival kehidupan solo bersama anak. Cik Epal sendiri turut membantu menyebar luas jenama kunafa Aiwahhh. Dulu dia ada tangan untuk dipimpin (merujuk kepada suami), tapi kini sebagai ibu tunggal,” kata Ojen.

Beliau yang juga penyanyi lagu “Hubb” berkata, idea untuk berkolaborasi sudah dirancang lama.

“Bukan tiba-tiba saja nak keluarkan perisa Madu 3 ini. Nak keluarkan mana-mana perisa baharu perlu ada R&D (penyelidikan dan pembangunan).

“Tambah pula saya tak pernah berkolaborasi dengan mana-mana artis atau pempengaruh. Jadi kenapa tidak saya tampilkan Cik Epal saja untuk kolaborasi sulung ini,” katanya.

Sejak mula berniaga kunafa Aiwahhh pada 2022, Ojen memulakan perniagaannya dengan perisa asli di pasaran. Kemudian jualan kunafa Aiwahhh berevolusi menjadi fenomena hingga menjadi variasi sebanyak tujuh pilihan perisa lain termasuklah Red Velvet, Dark Indulgence, Lumut Cheese, Biscoff, Choc Oreo dan Hazelnut Nutella.

Sejak belajar di Yaman lagi Ojen sudah terfikir untuk memulakan perniagaan kunafa apabila kembali ke tanah air.

Tambah Ojen, pemilihan perisa Madu 3 juga bukan gimik dan tiada kaitan dengan tempias rumah tangga Cik Epal.

“Pemilihan nama perisa Madu 3 bukan suka-suka. Tapi sebab perisa ini menggunakan tiga jenis madu iaitu honeycomb, drizzle madu dan campuran emping jagung bersama madu. malah perisa ini juga ada tiga lapisan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai perniagaannya, Ojen tidak mempunyai kios atau cawangan kedai tertentu.

“Sebaliknya, saya dan pasukan kerja sendiri akan turun padang ke serata negeri untuk memenuhi hajat dan keinginan mereka yang ingin makan kunafa berkenaan.

“Lalu, apabila hanya ibu pejabat saja yang menjualnya, saya boleh fokus 100 peratus menjaga aspek kualiti dan kuantiti pengeluaran kunafa,” katanya.

Disifatkan sebagai perintis usahawan kunafa dengan elemen tekak Melayu, Ojen berkata idea berniaga itu terlintas ketika belajar di Yaman.

“Empat tahun di Yaman dan setahun di Egypt, saya lihat kunafa menjadi makanan harian dan pencuci mulut kegemaran. Di tanah Arab lagi, saya sudah pasang niat, balik ke Malaysia memang kena jual kunafa.

Kebanyakan perisa kunafa Aiwahhh seperti Red Velvet ini dihasil berdasarkan selera orang tempatan.

“Lucunya, ada ramai penjual tempatan cuba meniru konsep saya. Termasuklah di kalangan penjual orang Arab. Saya lihat ramai yang mengambil inspirasi.

“Saya jadi bangga konsep ini diterima di kalangan masyarakat dan penjual kunafa. Lagipun saya tak mampu nak jual kepada lebih 33 juta rakyat di negara kita. Biarlah sama-sama cari rezeki. Syukur, Allah SWT sudah beri lebih rezeki lebih untuk saya,” katanya.

Jelasnya, pada tahun lalu saja beliau berjaya melakukan jerayawara di seluruh negara termasuk di Sabah dan Sarawak.

“Untuk tahun ini saya mahu berusaha untuk tembus pasaran Indonesiadan Brunei dengan melakukan jerayawara. Semua ini juga takkan terjadi tanpa sokongan dan sambutan luar biasa penggemar kunafa saya. Tanpa mereka, Kunafa Aiwahhh takkan jadi sehebat ini,” katanya.

Sementara itu, Cik Epal atau nama sebenar, Nor Munirah Mahmud optimis dengan kolaborasi bersama Ojen.

“Secara jujurnya saya bukan jenis bekerjasama dengan sembarangan orang. Saya lebih selesa berkolaborasi dengan orang yang sudah dikenali. Macam Ojen memang kami sudah lama kenal. Dia pun jenis yang merendah diri, happy go lucky dan senang berurusan.

Cik Epal setuju dengan Ojen kerana dia juga adalah penggemar kunafa.

“Saya sendiri yakin 100 peratus dengan perniagaan kunafanya. Kunafa Aiwahhh antara ‘dessert’ yang sudah lama viral dan ‘mendunia’ ke hari ini. Tipulah lah kalau kata tak pernah nampak kunafanya jadi ‘fyp’ di TikTok. Saya rasa dari dulu kalau buka gerai jualannya, memang penuh dibanjiri peminat kunafanya sampai satu Malaysia ada.

“Jadi waktu Ojen ajak berkolaborasi, memang saya teruja. Ditambah pula nak buat perisa Madu 3 ini, saya sendiri nampak yang ia akan meletup. Waktu kami buat R&D, terus saya bersetuju untuk sama-sama ‘mendunia’,” kata Cik Epal.

Sempat ditanya mengenai kehidupan sekarang, Cik Epal reda dengan ujian diterima.

“Alhamdulillah saya bersyukur sebab Allah uji saya pada waktu yang tepat. Saya juga bersyukur waktu sebegini, masih ada sahabat lama dan baru yang ikhlas menolong saya. Ada yang tak henti-henti memberi motivasi diri pada saya untuk meneruskan kehidupan demi anak dan masa depan yang lebih terang.

“Saya sudah selesa seorang diri buat masa ini. Cukup ada anak menjadi asbab untuk saya terus tersenyum. Saya akan terus berjuang dan takkan kembali dengan kesilapan lalu dengan lelaki yang sama. Untuk kembali balik kepada bekas suami itu, saya rasa tak mungkin. Tapi saya takkan sesekali memisahkan anak dengan bapa mereka.

“Apa terjadi, bekas suami tetap bapa kepada anak saya dan dia pernah menjadi bapa yang baik. Itu sahaja terima kasih,” kata Cik Epal.

Previous articleXO House x High Cultured House Party, gabungan muzik dan fesyen
Next articleEdry KRU berkebolehan dalam banyak bidang

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here