Naim Daniel dikerumuni peminat kala mendendangkan lagu popular termasuk yang bakal dimuatkan dalam album terbaharunya berjudul "Lelaki Gila".

Oleh: Khadijah Ibrahim

BUKAN setakat lagu, malah apa saja pakaian yang dipakai oleh selebriti pasti akan menjadi ikutan peminat mereka kerana fesyen dan muzik tidak dapat dipisahkan.

Jika muzik itu irama 70-an atau 80-an, pasti ada gaya tersendiri dan begitu juga jika selebriti itu seorang penyanyi rap, penampilannya juga akan berbeza.

Menyedari bahawa muzik dan fesyen tidak dapat dipisahkan, dua syarikat besar iaitu XO House mewakili label muzik dan High Cultured yang mewakili jenama streetwear bersatu di pentas yang sama sempena sambutan ulang tahun ke-17 High Cultured pada 17 Januari lalu.

Dalia Farhana menghiburkan penonton dengan rangkaian lagu-lagu popularnya.

Konsert XO House x High Cultured House Party yang diadakan di Bentley Music Auditorium itu dihadiri hampir 1,000 penonton dan peminat bagi menonton persembahan artis naungan XO House seperti Iman Troye, Dalia Farhana, Zubir Khan, Naim Daniel dan Alya Mardien.

Setiap daripada mereka telah memberikan persembahan yang memukau penonton kerana masing-masing ada peminat tersendiri. Selain menonton persembahan penyanyi dengan lagu-lagu yang memikat jiwa, penonton turut disajikan dengan lapan rekaan eksklusif yang mencerminkan identiti simbolik XO House serta kerjasama yang unik antara dua dunia.

Selain itu, barangan eksklusif diberikan kepada tetamu dan menambah sentuhan istimewa pada malam tersebut. Ia juga merupakan satu sambungan yang kuat antara muzik dan fesyen.

Iman Troye sewaktu mendendangkan lagu “Nang”.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif XO House, Adib Hamdi berkata, kerjasama bersama High Cultured ini adalah padanan semula jadi.

“Kami berkongsi visi yang sama untuk menggabungkan seni, inovasi, dan budaya. Ini merupakan pengalaman yang tidak dapat dilupakan. ‘House Party’ ini umpama pencapaian yang melakar kejayaan manis buat kami,” kata Adib yang menubuhkan XO House pada 2020.

Objektif beliau menubuhkan syarikat rakaman tersebut adalah untuk menyokong artis muda tempatan dengan menyediakan platform yang hebat dengan persekitaran yang positif untuk kejayaan artis. XO House juga menawarkan pengurusan bakat, pengeluaran muzik dan video, serta perkhidmatan strategi pemasaran.

Pengasas XO House, Adib Hamdi (tengah) bersama pengasas High Cultured, KC Teo dan Dennis Low.

Jelas Adib, dalam perjalanan membina nama XO House pelbagai cabaran dilalui namun syarikat yang dibinanya kini berjaya berdiri megah dalam industri muzik tanah air.

“Segala usaha yang kami lakukan sejak awal penubuhan hingga kini amat membanggakan. Meskipun artis yang bernaung di bawah jenama XO House, boleh disifatkan ‘setahun jagung’ namun nama mereka melonjak. Contohnya, Iman Troye pernah dicalonkan untuk Anugerah Pilihan Kanak-Kanak Nickelodeon dalam Kategori Artis Asia Terbaik mewakili Malaysia untuk tahun 2024.

“Selain itu Dalia Farhana juga ada kejayaannya tersendiri di mana dia mendapat 2x Platinum untuk “Langit Yang Sama”. Baru-baru ini XO House memperkenalkan artis baharu, Zubir Khan yang dikenali dengan lagu hit “Yennode Macha”. Meskipun Zubir menyanyi dalam bahasa Tamil tapi dia juga dikenali oleh peminat Melayu dan India.

“Seorang lagi artis naungan kami yang tidak perlu diperkenalkan lagi adalah Naim Daniel, Juara AJL yang ke-34. Selain itu, Alya Mardien, yang baru sahaja menandatangani kontrak dengan XO House, akan dibimbing untuk mengembangkan kerjayanya,” kata Adib berkongsi kejayaan yang diraih oleh label muzik miliknya itu.

Barisan artis yang menjayakan konsert XO House x High Cultured House Party, baru-baru ini.

Sementara itu, pengasas High Cultured, KC Teo dan Dennis Low berkata, tujuan mereka bekerjasama dengan XO House adalah untuk menyediakan platform bagi kreativiti dan membawa pemikiran positif kepada golongan muda dan penonton yang lebih luas.

“Apabila kami bertemu dengan pengasas XO House, kami sedar bahawa kami mempunyai jalur visi dan cetusan pemikiran yang sama. Justeru, ini yang membawa kepada kerjasama ini.

“Malah kerjasama ini juga membuka jalan yang kukuh untuk sambutan ulang tahun ke-17 kami dengan acara yang kami lakukan dan rancang. Sebagai salah satu jenama streetwear terkemuka di Malaysia, dalam masa 17 tahun, High Cultured telah berkembang dari sebuah permulaan kecil menjadi salah satu jenama streetwear utama di Malaysia.

“Dengan lebih daripada 16 cawangan di seluruh Malaysia Barat, jenama ini telah menjadi nama yang dikenali ramai, terkenal dengan gaya berani dan visi kreatifnya” kata KC dan Dennis.

Previous articleRahsia buah kiwi kepada kesihatan
Next articleOjen, Cik Epal bersatu kerana kunafa Aiwahhh Madu 3

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here