Kebanyakan lagu ciptaan Edry malar segar dan diminati hingga kini.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Edry KRU/Koleksi Syed Wafa

SUDAH 33 tahun kumpulan adik-beradik yang digelar KRU berkecimpung dalam bidang seni. Trio yang dianggotai oleh Datuk Norman, 54, Datuk Yusry, 52, dan Edry Abdul Halim, 49, yang ditubuhkan pada 1992 itu pernah mencipta sejarah apabila melakar nama sebagai kumpulan rap yang paling diminati remaja sekitar tahun 90-an.

Setiap anggota KRU mempunyai kebolehan tersendiri dan Edry yang merupakan anak ketiga daripada empat adik-beradik kepada pasangan Abdul Halim Kamal dan Zarina Abdul Wahab Fenner, merupakan seorang penerbit muzik, penggubah lagu dan pemain synthesizer untuk kumpulan Mojo.

Edry (Paling Kiri) kenangan bersama keluarga tercinta semasa kecil.

Boleh dikatakan kebanyakan lagu nyanyian KRU adalah ciptaan Edry yang menjadi kegemaran dan kesukaan ramai. Beliau bukan sahaja mencipta lagu untuk KRU, malah lagu-lagu ciptaannya turut dinyanyikan oleh penyanyi lain seperti Stacy, Adam, Ezlynn, Caliph Buskers, Mawi, Rabbani dan ramai lagi.

Malah Edry yang merupakan suami kepada Milia Mohammed sejak November 1999 itu mengumpul karya ciptaannya dalam sebuah album kompilasi yang diberi judul “Hitman” yang memuatkan 18 buah lagu popular.
Kesemua rangkaian lagu-lagu yang terkandung adalah lagu yang sentiasa mendapat permintaan tertinggi di corong-corong radio dan jualan muat turun yang memberangsangkan.

Edry (Paling tengah) berbakat sejak remaja lagi bersama adik berdik beliau.

Antara lagu gubahan Edry yang dimuatkan dalam album “Hitman” adalah “Sedetik Lebih” dendangan Anuar Zain, “Jahat” (Stacy), “Kebahagiaan Dalam Perpisahan” (Shahir), “Ku Bukan Aku” (Tilu), “Arjuna” (Tomok), “Ku Ada Kamu” (Adira), “Jika Kau Ubah Fikiran” (Mila), “Benar Benar” (Adam), “Penyembah Rindu (Mawi & Diana Danielle), “Yang Terbaik” (Marsha), “Buronan Cinta” (The Lima), “Seksis” (Anita Sarawak), “Sujud” (Mawi & KRU), “Hi Hi Bye Bye” (Ezlynn), “Bila Terasa Rindu” (Dafi), “Hampir Ke Situ” (Mendua) dan “Ganas” (KRU).

Selain menyanyi dan melakukan kerja-kerja belakang tabir dalam bidang muzik, Edry yang mula menganggotai KRU pada usia 16 tahun itu, sudah melebarkan bakatnya dalam pelbagai bidang seni.

“Canggih” merupakan album studio pertama KRU yang diterbitkan pada 1992.

Edry yang dikurniakan empat orang anak iaitu Emil, 25, Edylia, 22, Emery, 18, dan Elya, 15, juga pernah mencuba bakat sebagai pelakon dan pengarah. Antara drama lakonan Edry adalah “Lontong” memegang watak Ucop yang disiarkan di saluran TV3 pada 1995, “Bio-Nik” (2009) dan “Hotel Mania” pada 2010.

Manakala filem pertama lakonan beliau adalah “Awas” yang diterbitkan pada 1995 dan pada 2010, Edry memberanikan diri sebagai pengarah filem “Magika” yang merupakan filem muzikal komedi fantasi.

 

Edry, Norman dan Yusry mula mengatur langkah sebagai kumpulan KRU pada 19 Mei 1992.

Filem yang menelan kos RM2.4 juta yang dibintangi oleh Diana Danielle, Mawi, Ziana Zain, Datuk M.Nasir dan ramai lagi ditayangkan di pawagam pada pada 23 September 2010.

Bagaimanapun demi keluarga, Edry mengambil keputusan untuk berhijrah ke Manchester, United Kingdom (UK) kerana mahu mendapatkan pembelajaran terbaik untuk anak ketiganya iaitu Emery yang merupakan anak autisme.

Album studio keempat KRU ini diterbitkan pada 1995.

Keputusan itu secara tak langsung kumpulan KRU pun dibubarkan pada 18 April 2018, selepas mereka mengadakan Konsert Gergasi KRU25 di Istana Budaya selama tiga hari mulai 4 hingga 6 Mei 2018.

Selepas enam tahun menginap di luar negara, Edry dilihat sering berulang-alik ke Malaysia kerana beliau sering diundang menjadi juri untuk beberapa program realiti seperti ‘The Hardest Singing Show Malaysia’ pada tahun lalu.

Ooh! La! La! merupakan album studio kelima KRU yang dikeluarkan pada 1996.

Sebelum itu pada 2017, Edry juga tidak keberatan terbang dari United Kingdom untuk pulang ke Malaysia bagi menggalas tanggungjawab sebagai juri tetap program ‘Rockanova’.

Kembali demi konsert GenKRU

Meskipun sepanjang tempoh menetap di luar negara, Edry tidak aktif dalam bidang seni namun karya-karyanya tetap menjadi pilihan peminat sejak era 90-an, mahupun yang terkini.

Bagi menghargai sokongan peminat terhadap perjalanan seninya, Edry bersama dua saudaranya sepakat untuk menjayakan Konsert GenKRU di Axiata Arena Bukit Jalil pada 3, 4 dan 10 Mei mendatang.

Saat bahagia bersama isteri tercinta di hari persandingan mereka.

“Apabila penganjur Icon Entertainment beritahu mahu buat konsert untuk hari ketiga, saya yang mula-mula cakap tak nak buat. Saya rasa misi KRU untuk buat konsert menghiburkan peminat pada hari pertama dan kemudian ditambah untuk hari kedua sudah memadai.

“Tapi bila Norman cakap, konsert ini bukan untuk diri kita tapi untuk peminat. Ramai pula peminat yang text dan DM (mesej) kata tak dapat tiket dan minta buat lagi show tambahan. Dah rasa jadi satu tanggungjawab pula bila diminta oleh peminat. Adalah menjadi tanggungjawab kami untuk memenuhi impian peminat.

Edry Abdul Halim sebagai penerima anugerah Komposer Dengan Pendapatan Terbanyak pada Anugerah MACP 2014.

“Mungkin dulu mereka tidak pernah pergi konsert sebab tak ada bajet atau dilarang oleh ibu bapa, sekarang ini bila dewasa dan berkemampuan mereka mampu pergi. Lagipun konsert terakhir KRU adalah tujuh tahun lalu di Istana Budaya.

“Ketika kudrat masih kuat inilah kami kena penuhi impian peminat sebab genre muzik KRU tidak boleh beraksi apabila usia sudah mencecah 60 tahun. Kami akan gunakan peluang dan rezeki ini sebaik mungkin.

Edry menjadi penghias muka depan majalah kerana popularitinya sebagai anggota KRU dan bakatnya yang tersendiri.

“Lagu-lagu kami memang perlukan energi. Kalau ada yang cakap ini mungkin konsert yang terakhir daripada kami, betul la tu kerana lepas ini tak tentu boleh buat lagi. Kami pun bukan makin muda. Jadi, mungkin ini kali terakhir kami dapat buat persembahan besar-besaran dengan tarian, audio dan visual,” katanya sewaktu Majlis Apresiasi Media dan Pengumuman Istimewa GenKRU, baru-baru ini.

Sebagai persiapan untuk menjayakan konsert berskala besar, Edry mengakui perlu menjaga stamina diri dengan bersenam. Apapun katanya, beliau tidak ada masalah untuk melakukan apa saja latihan kerana beliau aktif bersukan.

Edry bersama keluarga tercinta.

Harap Masyarakat peka situasi OKU

Selain bercerita tentang persediaan konsert GenKRU, Edry turut berkongsi pandangannya sebagai penjaga kepada orang kelainan Upaya (OKU) kerana Emery, anak ketiganya menghidap autisme.

Melihat apa yang dilaluinya bersama Emery sewaktu berada di sebuah restoran tempatan, Edry merasa kesal kerana anaknya dilayan dengan cara yang tidak berpatutan.

Edry sering diundang sebagai juri tetap untuk program realiti di stesyen TV.

Tegasnya, sikap dan penerimaan masyarakat di luar negara terhadap golongan OKU lebih beradab berdasarkan pengalaman yang dilalui.

“Anak saya dimarah dan dihalau seperti anjing hanya kerana dia nak minum. Bukannya saya tak boleh bayar, bila anak ambil saya bayarlah. Kenapa nak panggil pengawal keselamatan seolah-olah kami sengaja nak cetuskan masalah di restoran berkenaan.

KRU baru saja tampil dengan album “Kaset”.

“Tindakan kakitangan itu membuatkan saya terpaksa cakap anak saya ‘gila’ supaya mereka lebih faham. Hanya kerana kejadian yang tak sampai beberapa minit, saya menyimpan perasaan kurang enak yang berpanjangan kerana terpaksa cakap anak sendiri ‘gila’ hanya kerana nak bagi mereka faham, selain geram dengan sikap tidak peka mereka.

“Situasinya sungguh berbeza ketika saya berada di Manchester. Kejadian berlaku ketika kami nak menaiki tram, Emery buat hal hingga saya dan isteri terpaksa merentap tangannya sambil memintanya menjaga kelakuan.

Edry bersama isteri dan anak-anaknya.
Suri hati Edry, Milia Mohammed yang dinikahinya sejak November 1999.

“Kejadian itu dilihat oleh seorang lelaki berusia dan saya nampak dia datang ke arah kami. Saya sangkakan dia nak marah Emery, namun sebaliknya kami dimarahi kerana berkasar dengan anak OKU.

“Dia nasihatkan kami tidak melayan kasar anak istimewa dan sebagai orang tua, kami sepatutnya sedar perkara ini. Dari situ, nampak jelas perbezaan antara masyarakat luar dan orang Asia berhubung penerimaan terhadap golongan OKU.

Edry bersama KRU bakal beraksi Konsert genKRU tidak lama lagi dan jualan tiket begitu mendapat sambutan peminat mereka.

“Sebab itu kebanyakan orang Asia lebih rela ‘simpan’ anak mereka dalam rumah daripada bawa mereka berjalan-jalan kerana bimbang dengan pandangan serong masyarakat,” cerita Edry tentang pengalamannya tatkala bersama Emery ketika di luar rumah.

Sebaliknya, beliau berharap masyarakat lebih peka dan memahami situasi dilalui individu dalam kategori OKU termasuk memberi layanan baik kepada golongan istimewa itu.

Bersama Emery, anak ketiganya beliau.

Melalui Instagram (IG) Edry memohon orang ramai memberi ruang untuk golongan istimewa menikmati kehidupan normal kerana ada kala mereka bertindak di luar kawalan tanpa mengetahui apa dilakukan sebenarnya salah.

Beliau menegaskan, golongan istimewa yang mempunyai kekurangan dari segi keupayaan perlu dilayan dengan baik dan membantu merasai kehidupan normal.

Edry mahu melakukan yang terbaik untuk peminat yang menyokong KRU.
Previous articleOjen, Cik Epal bersatu kerana kunafa Aiwahhh Madu 3
Next articleLisa Surihani kurang berlakon dan kini laku sebagai duta produk!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here