Pengerusi Litar Antarabangsa Sepang Petronas, Tan Sri Azman Yahya (kiri) bersama Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir meraikan sambutan hari jadi mereka bersama media selepas Sidang Media Malam Anugerah MAM 2024 di Hotel M & Resort, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Afhzahafiez Kamaruddin

SELEPAS enam tahum menyepi, kini Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM) kembali menganjurkan Malam Anugerah MAM yang bakal berlangsung di Hotel M & Resort, Bukit Kiara, Kuala Lumpur pada 25 Februari ini.

Presiden Persatuan Sukan Bermotor Malaysia (MAM), Tan Sri Mokhzani Mahathir berkata, anugerah itu dijangka menarik 750 peserta yang terdiri dalam kalangan pelumba, organisasi sukan bermotor, media dan semua pihak yang terlibat dalam sukan tersebut di dalam negara dan luar negara.

Tan Sri Mokhzani Mahathir (kanan) sewaktu ditemu bual mengenai Malam Anugerah MAM 2024 di Hotel M & Resort, Kuala Lumpur pada 16 Januari lalu.

“MAM sebagai badan induk sukan bermotor sejak 2019 menganjurkan anugerah ini dengan hasrat untuk meraikan kejayaan semua pelumba.

“Selepas wabak Covid-19 melanda dunia, penyertaan sukan bermotor secara perlahan-lahan telah berjalan dengan lancar semula dan MAM bertanggungjawab untuk memberi pengiktirafan kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media yang berlangsung di Hotel M & Resort, baru-baru ini.

Tan Sri Azman Yahya (dua kiri), Tan Sri Mokhzani Mahathir (kiri), bekas pelumba negara, Alex Yoong dan Datuk Razlan Razali (kanan).

Berhasrat untuk menjadikan majlis anugerah itu sebagai acara tahunan, beliau berkata, pihaknya juga berharap dapat menarik penaja yang berminat menceburi dalam sukan bermotor.

Katanya, Malam Anugerah MAM 2024 yang merupakan edisi keempat itu, buat kali pertama dianjurkan tanpa kerjasama Litar Antarabangsa Sepang Petronas.

Untuk malam gemilang tersebut, sebanyak 22 kategori anugerah bakal ditampilkan termasuk 11 anugerah persembahan terbaik sebagai menghargai pencapaian peserta sepanjang 2024.

(Dari kiri) Zulfahmi Khairuddin, Tan Sri Mokhzani Mahathir, Datuk Razlan Razali dan Tan Sri Azman Yahya (kanan).

Antara kategori anugerah tersebut ialah Anugerah Penghormatan Wanita Dalam Sukan Bermotor, Anugerah Kecemerlangan Industri, Anugerah Hall of Fame, Anugerah Ikon Sukan Bermotor, Laporan Berita Terbaik, Gambar Terbaik dan Wartawan Sukan Bermotor Terbaik.

Mokhzani juga menyatakan yang kerajaan sentiasa bekerjasama dengan MAM dalam sukan bermotor bersama dengan Kementerian Belia dan Sukan dalam menjayakan program-program di peringkat akar umbi.

“Kita mahu melahirkan lebih ramai bakat muda dan kita tidak akan jumpa jaguh kalau kita tidak membangunkan program akar umbi ini.

Dua pelumba muda negara, Muhammad Hakim Danish Ramli (dua kiri) dan Qabil Irfan Azlan (dua kanan) bergambar bersama Zulfahmi Khairuddin (kanan) dan Bendahari MAM, Datuk Razlan Razali (tengah).

“Saya mahu melihat Malaysia mampu menjadi pesaing yang serius dalam sukan bermotor,” katanya yang turut mengesahkan Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh dijangka hadir pada majlis anugerah tersebut.

Menyentuh mengenai kebajikan pelumba-pelumba veteran yang memerlukan sokongan kewangan, beliau berkata, MAM tidak mempunyai dana khas bagi menyediakan bantuan secara konsisten, tetapi, badan induk itu memiliki jawatankuasa untuk melaksanakan proses berkenaan.

Pengulas sukan Astro Arena, Akhbar Sahari (kanan) bergambar bersama tetamu yang hadir pada sidang media Malam Anugerah MAM 2024.

Tegasnya, MAM sentiasa bersedia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan namun setiap permohonan akan dinilai terlebih dahulu berdasarkan kes dan keperluan.

“Kepada yang memerlukan, mereka boleh menghubungi kami dan kita boleh lihat apa yang boleh kita lakukan mengikut kemampuan dan setakat mana kita boleh bantu.

“Kita tidak mempunyai dana khas dan ini juga bukan keputusan individu, namun kita mempunyai jawatankuasa dan akan lihat bagaimana proses untuk lihat sama ada kita bantu atau tidak,” kata Mokhzani.

Pelumba cilik Malaysia yang beraksi di Eropah, Qabil Irfan Azlan.

Sebelum ini, Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (YAKEB) berharap dapat mengadakan perbincangan dengan MAM bagi memastikan kebajikan atlet sukan permotoran negara terbela.

Previous articleShiha Zikir ‘Lebih Baik’ mencintai diri sendiri
Next articleMuna Shahirah pilih genre dangdut untuk kembang karier

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here