Lagu 'Lebih Baik' dendangan Shiha Zikir merupakan runut bunyi untuk drama ‘Wanita Milik Kaiden’.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SELEPAS menjuarai program Famili Duo musim keempat bersama kakaknya Ieda, kini Shiha Zikir meneruskan perjuangan dengan single baharu berjudul ‘Lebih Baik’, hasil kolaborasi bersama komposer dan penulis lirik, Shazee Ishak dan Audi Mok.

Menerusi Alternate Records, Shiha mempersembahkan lagu bergenre pop balada yang berkisar tentang refleksi diri dalam hubungan percintaan, serta mengungkap kekuatan yang terbit daripada cinta, perpisahan, dan keinginan untuk menjadi versi yang lebih baik.

Shiha harap lagu ‘Lebih Baik’ dapat memberi motivasi kepada pendengar.

Shiha atau Nurshiha Mohd Zikir, 38, selaku penyanyi lagu ‘Lebih Baik’ sebenarnya mahu mengangkat tema swacinta yang mengajak pendengar untuk mengenali, menghargai dan mencintai diri sendiri sebelum mencintai orang lain.

Intipati lagu ‘Lebih Baik’ ini membawa maksud bahawa “kebahagiaan datang dari dalam diri”, lagu ini menekankan perjalanan pemulihan dan penemuan makna kebahagiaan sebenar dari dalam jiwa.

Bait-bait lirik seperti “Aku akan lebih baik” dan “Perpisahan kita menjadi pengajaran” menggambarkan proses penyembuhan selepas kehilangan. Lagu ini mengingatkan bahawa perpisahan bukanlah pengakhiran dan mencintai diri sendiri ialah langkah pertama untuk membina kebahagiaan sejati.

Gandingan bersama kakak, Ieda mengangkat dua beradik ini sebagai juara Famili Duo musim keempat.

Shiha berharap ‘Lebih Baik’, boleh menjadi penyuntik semangat buat individu yang sedang bergelut. Melodinya yang lembut dan menenangkan, ditambah dengan lirik puitis, pasti akan mencipta pengalaman pendengaran yang penuh kesan dan menyentuh perasaan.

“Saya percaya kisah dalam lagu ini sangat dekat dengan hati pendengar, terutamanya dengan tema self-love yang diangkat. Proses rakaman pula sangat lancar, hanya mengambil masa sekitar dua jam, kerana Shazee banyak membantu.

“Untuk merakam lagu ini, saya perlu memberi penghayatan dan mood yang tepat agar penyampaiannya berkesan bagi menyatukan kesayuan dengan harapan. Sejujurnya, lagu ‘Lebih Baik’ layak diberi peluang kerana melodi dan liriknya sangat sempurna.

Shiha Zikir adalah seorang artis serba boleh.

“Saya berharap lagu ini diterima dengan baik dan dapat menghubungkan emosi pendengar, terutama buat mereka yang pernah mengalami situasi yang serupa,” kata Shiha berkongsi tentang lagu ini dan proses rakamannya.

Diinspirasikan daripada kenyataan bahawa cinta yang sejati hanya boleh terbentuk apabila kita membaiki diri, Shazee percaya Shiha ialah pilihan yang tepat untuk menyanyikan lagu ini.

“Shiha ialah seorang penyanyi yang berbakat, profesional dan serba boleh. Dia memiliki feel yang bagus dan berjaya menjiwai watak dalam lagu. Shiha adalah antara yang terbaik kerana dia selalu membuat persiapan rapi sebelum masuk ke studio,” jelasnya.

Shiha juga terlibat dalam bidang perniagaan kedai makan.

Shazee juga berharap ‘Lebih Baik’ mendapat sokongan daripada orang ramai kerana lagu dendangan Shiha itu sangat luar biasa. Tambahan pula lagu ini menjadi runut bunyi (OST) untuk drama ‘Wanita Milik Kaiden’ di slot Akasia TV3.

Lagu ini juga boleh didengari di iTunes atau strim terus melalui platform seperti Spotify dan YouTube Music.

Previous articleZaiton cerita rahsia P. Ramlee!
Next articleMAM kembali anjur Malam Anugerah MAM 2024, hargai pelumba

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here