Oleh: Khadijah Ibrahim
PENYANYI lagu ‘Teguh Setia’, Muna Shahirah Munadi, 31, tidak lagi setia pada irama pop balada yang mengangkat namanya dalam bidang seni suara sejak bergelar anak seni.
Untuk single baharunya, peserta program Akademi Fantasia musim ke-11 (AF2014) itu memilih untuk menyanyikan lagu ‘Datanglah Sayang’ dalam genre dangdut. Bagi Muna, sebagai seorang penyanyi beliau perlu membawa pelbagai rentak dan tidak terikat kepada satu genre muzik sahaja.
“Sebenarnya, tidak ada masalah pun bagi saya untuk membawa sebarang genre lagu termasuklah tradisional atau dangdut. Saya percaya untuk menjadi penyanyi, seseorang itu perlu berani dan versatil bila berkarya.

“Apabila kita mampu membawa lagu dalam pelbagai rentak, barulah boleh lama bertahan dalam industri ini. Kalau setakat boleh nyanyi satu genre saja, jawabnya susahlah kalau ada tawaran show yang memerlukan kita nyanyi pelbagai jenis lagu. Jadi sebab itulah saya sudah bersedia dari awal lagi,” jelas Muna antara sebab kenapa beliau memilih irama dangdut untuk kali ini.
‘Datanglah Sayang’ adalah lagu ciptaan Mas Dewangga dan Jova Devito, sementara lirik pula dihasilkan oleh Mas Dewangga, Jova Devito dan Sabbala.
Jelas Muna, lagu ini mengisahkan seseorang yang sedang menunggu dengan penuh harapan agar pasangannya segera melamar dan membawa hubungan mereka ke fasa yang lebih serius.
“Dia telah jatuh cinta sepenuhnya dan merasa rindu yang mendalam, hingga setiap hari terasa begitu lambat tanpa kepastian. Kisah ini turut menggambarkan bagaimana keluarga sudah bersedia menerima pasangan tersebut sebagai sebahagian daripada mereka, dengan suasana yang penuh kehangatan dan keterujaan.

“Dalam nada yang santai namun bermakna, lagu ini menunjukkan perjalanan emosi seseorang yang mendambakan komitmen, sambil memberikan sedikit sentuhan humor melalui panduan bagaimana memikat hati bakal mertua.
“Secara keseluruhan, lagu ini memaparkan keindahan cinta, kesetiaan, dan hubungan keluarga dalam satu cerita yang romantik tetapi tetap ringan,” jelas Muna yang merupakan isteri kepada seorang mualaf berbangsa Cina iaitu Sean Tee YeuTerng Abdullah sejak Mei 2023.
Muna mengakui kehidupannya bersama suami yang muda empat tahun daripadanya itu cukup mendamaikan dirinya yang merupakan seorang suri rumah tangga di samping kerjaya sebagai penyanyi.

“Alhamdulillah, Sean tak pernah melarang saya untuk menyanyi, malah Sean selalu bagi galakan. Apa yang saya suka buat Sean tak pernah halang selagi ianya bukan perkara yang salah atau mengaibkan keluarga.
“Sekejap saja rasa kerana ini adalah tahun kedua saya bersama keluarga suami merayakan Tahun Baharu Cina. So far pengalaman merayakan Tahun Baharu Cina agak menarik sebab saya dapat belajar sesuatu yang baharu di luar kebiasaan dari tradisi kita.
“Alhamdulillah keluarga Sean memahami anak mereka telah memeluk Islam dan mereka dah tahu apa yang boleh dan tidak untuk kami. Tapi serius memang sangat meriah. Especially tahun lalu, sebab itu tahun pertama saya hadir sebagai menantu dalam keluarga mereka dan meraikan Tahun Baharu Cina buat pertama kali bersama mereka,” ceritanya.
Muna yang kelihatan sedikit berisi merasa sangat bahagia walaupun telah berumah tangga kerana beliau masih menerima tawaran persembahan dan FMC Music masih memberi kepercayaan padanya untuk muncul dengan single ‘Datanglah Sayang’ yang sememangnya salah satu genre kegemarannya.

“Saya memang berisi sikit tapi bukan mengandung tau, mungkin belum ada rezeki lagi. Sebab setelah berkahwin saya banyak waktu terluang. Bila hari yang tiada show tu memang saya berehat saja di rumah sambil mendalami ilmu agama.
“Mungkin sebab itu badan naik sikit. Sekarang ini saya kena banyak tahu tentang agama terutamanya tentang fardu ain dan lain-lain sebab kalau Sean tak pasti tentang apa-apa dia akan tanya saya dulu. Jadi saya perlu mempersiapkan diri sendiri juga,” akuinya.
Muna turut menolak dakwaan yang menyatakan beliau dan suami merancang keluarga dan sebab itu mereka belum dikurniakan cahaya mata.
“Saya belum direzekikan ada cahaya mata lagi bukan sebab kami merancang tapi belum dikurniakan oleh-Nya tapi Allah bagi rezeki lain iaitu single ‘Datanglah Sayang’. Semoga karya ini diterima ramai dan terus menyokong saya sampai bila-bila. Insya-Allah lepas ini saya akan kembali dengan lagu leman (kampung) pula,” katanya.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.