Lima band bersatu di pentas Gamon Music Fantasia di Pulau Pinang.

Oleh: Khadijah Ibrahim

MESKIPUN sekarang ini rancak berlangsung Pesta Pulau Pinang ke-58 di Tapak Pesta Sungai Nibong, namun penganjur konsert Gamon Music Fantasia yakin acara yang diatur tidak akan terjejas.

Gamon Solution selaku penganjur konsert Gamon Music Fantasia yang bakal berlangsung di Setia Spice Arena, Pulau Pinang, pada 25 Januari ini memberitahu, penganjuran konsert tersebut adalah atas permintaan peminat muzik tanah air kerana sebelum ini, mereka pernah menganjurkan Pentas HEALING yang mendapat sambutan hangat.

Peminat Bunkface jangan ketinggalan untuk menonton mereka di Gamon Music Fantasia, 25 Januari ini.

Konsert yang bakal berlangsung selama tiga jam itu menampilkan lima band terkenal dan mempunyai reputasi tersendiri iaitu Hujan, Bunkface, Ruffedge serta dua band Indonesia, D’Masiv dan Kangen Band. Kesemua nama-nama ini mempunyai katalog lagu-lagu popular yang dekat di hati para peminat.

Kemunculan dua band Indonesia ini bakal membawa impak terhadap konsert yang dibawakan oleh Ladyboss Entertainment dan COF Music ini kerana untuk julung kalinya, mereka dibawa beraksi di luar Kuala Lumpur.

Pengurus Projek, Syafiq Danish berkata, Pentas HEALING yang berlangsung di tujuh lokasi sebelum ini mendapat sambutan hebat daripada peminat.

“Sebenarnya idea untuk buat Gamon Music Fantasia juga dicetuskan oleh peminat yang minta kami anjurkan konsert lebih besar dan gah. Kiranya penganjuran konsert ini ibarat penutup kepada pentas HEALING tapi lebih kepada berskala besar.

“Memang kami rancang nak buat di Pulau Pinang kerana kebanyakan peminat-peminat dari show sebelum ini berasal dari Utara tanah air. Faktor utama pemilihan band pula dibuat sebab populariti, sokongan peminat dan kualiti muzik, selain sesuai dengan genre yang kami bawakan,” katanya dengan bangga kerana sebelum promosi dilakukan dengan meluas, tiket sudah terjual melebihi 2,000 keping.

Ruffedge sinonim dengan lagu”Da Bomb” dan “Bila Rindu” dan lain-lain lagu.

Menurutnya ada di antara band ini bukanlah berkonsep healing sepenuhnya kerana ada juga gabungan pop rock.

“Kami pilih mereka pun hasil tinjauan dikalangan peminat. Daripada konsert yang dibuat sebelum ini, ada undian peminat mahukan nama-nama ini. Kami pernah buat pentas HEALING di Ipoh dan dalam 10 minit, tiket terjual sebanyak 2,000 keping. Ia sesuatu yang sangat menakjubkan.

“Untuk kali ini, Pulau Pinang dipilih kerana tiada lagi mana-mana konsert yang sebesar itu diadakan di sana. Setia Spice Arena pula jadi lokasi pentas akhir untuk semua tour sebelum ini kerana boleh memuatkan ramai kapasiti peminat,” katanya lagi.

Syafiq Danish menambah, justeru konsert itu mengambil nama Gamon Music Fantasia, mereka membawakan satu konsep seperti sebuah fantasi.

Kangen Band popular dengan lagu “Merayu Tuhan” dan “Cinta Sampai Mati”.

“Kami nak puaskan hati kelab peminat yang kami gelarkan Gamongers kerana ini ibarat konsert fantasi mereka. Jadi apa yang mereka nak sebelum ini, dekat mana dan band apa, kami pasti akan bawakan.

“Ibaratnya Gamon Music Fantasia seperti dream comes true kepada semua pengikut kami. Ada kejutan menanti untuk peminat-peminat yang membeli tiket konsert ini.

“Kami berharap konsert ini dapat sambutan dari peminat di Pulau Pinang, Perlis, Kedah dan Utara Perak. Ia sebuah konsert yang best untuk mereka. Hujan dan Ruffedge dah lama sangat tak ke Utara, manakala D’Masiv dan Kangen Band memang tidak pernah beraksi di sana sebelum ini,” jelasnya.

Sementara itu anggota Ruffedge iaitu Azan Addin melahirkan keterujaan apabila dapat menyertai konsert Gamon Music Fantasia.

Hujan pasti mendendangkan lagu hit mereka, “Pagi Yang Gelap”.

“Alhamdulillah, Ruffedge bersyukur sangat dapat terlibat dengan beberapa festival muzik yang bagus semenjak comeback pada 2018. Tapi perbezaan kali ini ialah venue iaitu di Utara tanah air.

“Lama sungguh kami tak beraksi di Pulau Pinang. Memang sangat mengimbau. Kami doakan semoga selain dari cuaca yang baik, segala persiapan Gamon dipermudahkan dan berjalan dgn lancar insya-Allah,” katanya.

Tiket-tiket untuk menonton konsert Gamon Music Fantasia berharga:Bronze: RM90, General Admission: RM119, Silver RM139, Rockzone : RM149, Platinum: RM155, Gold RM205 & VIP : RM410

Previous articleNash, Ameng, Zamani dan Jatt di pentas yang sama, 25 Februari
Next articleHun Haqeem bergabung dengan Noki K-Clique “Untuk Semua Jiwa”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here