Empat nama penyanyi ternama bakal mengeggarkan the Star Theatre, Singapore pada 1 Februari ini.

Oleh: Khadijah Ibrahim

TIGA orang penyanyi ‘otai’ Malaysia iaitu Datuk Nash, Ameng Spring dan Zamani Slam bersama dengan penyanyi malar segar dari Singapura, Jatt Ali, vokalis Black Dog Bone bakal beraksi di pentas yang sama.

Mereka disatukan oleh penganjur MUSE+ bagi menjayakan Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat pada 1 Februari 2025 di The Star Theatre Singapore, bermula jam 8 malam.

Nash amat sinonim dengan lagu “Pada Syurga Di Wajahmu”.

Pengarah Urusan MUSE+, Atrez berkata, pihak mereka memilih empat nama tersebut untuk beraksi di satu pentas kerana masing-masing mempunyai kelebihan tersendiri.

“MUSE+ dengan penuh teruja dan bangga menganjurkan Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat buat julung kalinya kerana ingin memberi pengalaman istimewa kepada penonton dengan membangkitkan nostalgia bagaimana muzik mampu menyatukan hati dan jiwa semua generasi.

“Signifikan dengan konsep yang dibawakan iaitu Hitster dan Otai Sangat Menyengat maka Datuk Nash, Zamani, Ameng Spring dan Jatt Ali adalah vokalis paling layak mengisi konsert edisi perdana ini.

Bukan “Khayalan”, Jatt benar-benar akan menghibur peminatnya pada 1 Februari ini.

“Pemilihan mereka adalah berdasarkan jenama dan karya-karya hit yang telah dinyanyikan lalu menjadi pujaan peminat meski zaman berubah.

“Tanyalah siapa yang tidak pernah mendengar lagu “Pada Syurga Di Wajahmu” (Nash), “Tak Mungkin Berpaling” (Zamani), “Sampai Hati” (Ameng Spring) atau “Khayalan” (Jatt Ali Black Dog Bone), kami di MUSE+ percaya peminat muzik pasti pernah mendengar atau mungkin sangat meminati lagu-lagu ini.

“Atas faktor itu kami realisasikan projek yang sudah lama dirancang namun baru sekarang boleh dilaksanakan ini. Terimalah empat figura yang telah menyemarakkan seni muzik dengan ciri unik mereka dan kekal menjadi otai yang sangat menyengat iaitu Nash, Zamani, Ameng dan Jatt Ali,” kata Atrez.

Ameng tak “Sampai Hati” membiarkan peminatnya tertunggu kehadirannya di The Star Theatre Singapore.

Tambahnya, konsert ini akan menjadi pembuka kepada siri-siri konsert dengan konsep seumpamanya pada masa hadapan.

“Mungkin selepas mengetengahkan empat vokalis lelaki, MUSE+ akan membawa barisan penyanyi legenda wanita pula.

“Apa yang penting walaupun agak sukar ‘mencuri masa’ para otai kita kerana mereka cukup sibuk, namun penantian dan usaha menjayakan Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat ini sangat berbaloi,” kata Atrez lagi.

Zamani “Tak Mungkin Berpaling” kepada yang lain.

Sementara itu, Zamani menyifatkan pembabitan beliau dalam Konsert Hitster Vol 1 – Otai Sangat Menyengat sebagai sebuah penghormatan apa lagi pertama kali berkongsi pentas dengan Nash, Ameng dan Jatt Ali di The Star Theatre Singapore.

Bagi Nash pula, dipilih untuk menjayakan konsert sebegini adalah satu kegembiraan buat dirinya kerana dapat menghibur peminatnya secara langsung.

“Syabas buat penganjur kerana membawa sebuah konsep konsert yang cukup unik apabila menggabungkan empat vokalis dengan ciri khas masing-masing di atas satu pentas.

Dari kiri, Nash, Zamani, Jatt dan Ameng, masing-masing ada aura tersendiri.

“Saya sendiri teruja kerana menjadi salah seorang vokalis yang membuka edisi pertama konsert ini. Nantikan persembahan istimewa saya, Nash, Ameng dan Jatt Ali pada 1 Februari 2025,” ujar Nash.

Bagi peminat yang tidak sabar menikmati persembahan Nash, Zamani, Jatt Ali dan Ameng Spring, jangan lupa dapatkan tiket bermula kategori $98 (GOLD), $128 (PLATINUM), $148 (DIAMOND), $248 (VIP & MEET & GREET) menerusi pembelian di WWW.STARTIX.SG.

Previous articleKepentingan garam pada tubuh badan? (Bahagian 2)
Next articleTiga band tempatan ‘berentap’ dengan dua band Indonesia di Gamon Music Fantasia

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here