Oleh: Khadijah Ibrahim
SEBELUM ini kita sering menonton penampilan Hun Haqeem dalam drama tempatan seperti “Kampung People” yang mengangkat namanya dalam bidang lakonan dan beberapa drama lain.
Hun atau nama sebenarnya Haqeem Hermy, 27, lebih menyerlah di kaca televisyen berbanding layar lebar dan “Soloz: Gamez of Life” merpakan filem pertama lakonannya yang menampilkan beliau sebagai Soloz/Fariz.
Untuk filem arahan Syafiq Yusof yang akan ditayangkan di pawagam mulai 23 Januari ini, Hun bukan sekadar berlakon malah beliau juga turut menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem tersebut bersama dengan Noki K-Clique.

Runut bunyi filem tersebut yang berjudul “Untuk Semua Jiwa” adalah lagu ciptaan komposer muda, Raiden Koh dan lirik oleh XO House dan Amir Firdaus yang menggabungkan elemen electro-rock dan ‘beat’ agar kedengaran moden dan penuh dinamik.
Melodi yang bertenaga digabungkan dengan vokal Hun yang unik dan gaya rap Noki yang padu, menjadikan lagu tersebut sebuah karya yang tersendiri dan berkuasa untuk filem yang mengisahkan tentang pemain e-sports Mobile Legends.
Kolaborasi di antara Hun dan Noki tercetus secara semula jadi kerana mereka bukan sahaja terlibat sebagai pelakon dalam filem ‘Soloz: Game of Life’, tetapi juga berkongsi visi yang sama untuk lagu ini.
“Saya sangat gembira dapat bekerjasama dengan Noki. Dia seorang yang ikhlas dengan setiap perkara yang dilakukannya. Sebagai pendatang baharu bidang nyanyian, saya sangat bersyukur dapat belajar daripada seseorang yang berbakat besar seperti Noki,” kata Hun.

Tegas Hun, beliau bersedia melibatkan diri dalam pembikinan lagu ini kerana genre dan mesej “Untuk Semua Jiwa” dekat dengan hatinya dan karya tersebut merupakan satu langkah besar dalam kariernya.
“Saya rasa lagu ini adalah peluang terbaik untuk saya meneroka bidang nyanyian, terutama sekali kerana ia adalah OST (runut bunyi) kepada filem yang saya lakonkan. Saya harap lagu ini dapat memberi inspirasi kepada mereka yang mendengarnya,” kata Hun.
Sementara itu, Noki yang melakonkan watak Safwan dalam filem bergenre sukan itu turut memuji bakat Hun sebagai seorang artis yang serba boleh.
“Saya sangat ‘happy’ untuk Hun kerana dia mempunyai bakat semula jadi dengan vokal yang ‘serak-serak basah’. Saya sangat bersetuju kalau Hun mengembangkan cabang seninya dalam bidang muzik pula,” ujar Noki yang menulis lirik bahagian rap lagu tersebut.

Untuk kolaborasi pertama dengan Hun itu, Noki berharap lagu tersebut dapat memberi impak kepada pendengar.
“Harapan saya agar lagu ini dapat memberi semangat dan inspirasi kepada semua orang, tidak kira apa jua cabaran yang mereka hadapi,” kata Noki yang telah mendendangkan lagu tersebut bersama Hun secara langsung langsung di kejohanan M6 World Championship yang berlangsung di Axiata Arena pada 14 Disember lalu.
Lagu “Untuk Semua Jiwa” kini boleh didapati di semua platform penstriman digital seperti Apple Music, Spotify dan YouTube Music. Manakala video muzik (MV) rasmi lagu ini yang menampilkan visual yang mendalam dan sejajar dengan tema filem ‘Soloz” Game of Life’ boleh ditonton di YouTube sonymusicMYVEVO.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.