Photo by Castorly Stock : https://www.pexels.com/photo/selective-focus-photo-of-salt-in-glass-jar-3693294/

Oleh: Nury Kadir

Berikut adalah beberapa hadis popular yang sering digunakan untuk mengaitkan makan garam

Riwayat Pertama

Riwayat yang dimaksudkan ialah berkenaan wasiat Nabi SAW kepada Saidina Ali RA dengan lafaz riwayat yang amat panjang, potongan berkenaan makan garam itu adalah seperti berikut:
Maksudnya:…“Apabila kamu hendak makan, maka mulai dan akhirilah dengan garam.” (Musnad al-Harith)
Hadis ini diriwayatkan oleh al-Harith daripada gurunya, ‘Abd al-Rahim bin Waqid, beliau berkata Hammad bin ‘Amru menceritakan kepada kami, daripada al-Sariy bin Khalid bin Syaddad, daripada Jaʻfar bin Muhammad, daripada ayahnya, daripada datuknya, daripada Saidina Ali RA bahawa beliau berkata Rasulullah SAW menyebutkan hadis di atas kepada beliau.
Al-Baihaqi membawa hadis ini dalam Dala’il al-Nubuwwah secara ringkas dengan menyebutkan awal matan hadis sahaja lalu beliau berkata hadis ini merupakan hadis palsu, kata beliau, “Hadis ini adalah palsu dan aku telah syaratkan pada awal penulisan kitabku ini bahawa aku tidak akan mengeluarkan hadis-hadis yang aku ketahui ia palsu.”

Riwayat Kedua

Abu ‘Ali ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Fadalah bahawa al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi menceritakan kepada kami, beliau berkata Muhammad bin al-Munzir bin Saʻid Syukr al-Harawi, beliau berkata ‘Abdullah bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi, beliau berkata Abu Hammam Muhammad bin Muhabbab, beliau berkata ‘Isa bin Khalid al-Raqqiy, beliau berkata daripada Maimun bin Mihran, daripada Ibn ‘Abbas RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
ثَلاثُ لُقْمَاتٍ بِالْمِلْحِ قَبْلَ الطَّعَامِ وَثَلاثٌ بَعْدَ الطَّعَامِ تُصْرَفُ بِهِنَّ عَنِ ابْنِ آدَمَ اثْنَانِ وَسَبْعُونَ نَوْعًا مِنَ الْبَلاءِ، مِنْهَا الْجُنُونُ، وَالْجُذَامُ، وَالْبَرَصُ
Maksudnya: “Tiga suap garam sebelum dan selepas makan melindungi diri anak adam daripada 72 jenis bala antaranya penyakit gila, kusta dan sopak.”

Al-Zahabi menyebutkan Abu ‘Ali ‘Abd al-Rahman bin Muhammad bin Ahmad bin Fadalah sebagai periwayat hadis namun dia seorang syiah rafidah.Dalam jalur sanad bagi hadis ini terdapat dua orang perawi yang majhul iaitu al-Fadl bin ‘Abbas al-Khadib al-Harawi dan ‘Abdullah bin Musa bin Ziyad al-Tajiru al-Marwazi. Hal ini kerana kedua-dua perawi ini tidak ditemui biodatanya setelah penelitian dilakukan.

Riwayat Ketiga

Ibn al-Jauzi menyebutkan dalam kitabnya al-Mauduʻat dalam bab kelebihan garam bahawa Hibah Allah bin Ahmad al-Jariri menceritakan kepada kami, beliau berkata Ibrahim bin ‘Umar al-Barmaki menceritakan kepada kami, beliau berkata Abu Bakr Ibn Bakhit menceritakan kepada kami, beliau berkata, Abu al-Qasim Abdullah bin Ahmad bin ‘Amir menceritakan kepada kami, beliau berkata ayahku Ahmad bin ‘Amir menceritakan kepadaku, beliau berkata ‘Ali bin Musa al-Rida menceritakan kepadaku, beliau berkata Abu Musa bin Jaʻfar menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku Jaʻfar bin Muhammad menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku Muhammad bin ‘Ali menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku ‘Ali bin al-Husain menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku al-Husain bin ‘Ali menceritakan kepadaku, beliau berkata ayahku ‘Ali bin Abi Talib RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda:
يَا عَلِيُّ عَلَيْكَ بِالْمِلْحِ فَإِنَّهُ شِفَاءٌ مِنْ سَبْعِينَ دَاءً الْجُذَامُ وَالْبَرَصُ وَالْجُنُونُ
Maksudnya: “Wahai Ali, makanlah garam kerana ia menjadi penawar bagi 70 penyakit seperti kusta, sopak dan gila.”

Ibn al-Jauzi menyebutkan bahawa hadis ini tidak sahih daripada Nabi SAW. Bahkan, dalam sanadnya terdapat perawi yang ditohmah berdusta iaitu ‘Abdullah Ibn Ahmad bin ‘Amir atau ayahnya, kedua-dua mereka meriwayatkan daripada naskhah Ahli Bayt dan kesemuanya adalah batil.

Photo by cottonbro studio: https://www.pexels.com/photo/person-pouring-seasoning-on-green-beans-on-bowl-3338497/

Riwayat Keempat

Abu Mansur Muhammad bin Muhammad bin ‘Uthman al-Sawwaq mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata Abu al-Qasim Ibrahim bin Ahmad bin Jaʻfar al-Khiraqi mengkhabarkan kepada kami, beliau berkata Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah menceritakan kepada kami, beliau berkata Abu al-Tayyib al-Sayyad Muhammad bin Ishaq al-Khuzaʻi menceritakan kepadaku, beliau berkata ‘Ali bin Husain menceritakan kepada kami, beliau berkata Musa bin Ibrahim menceritakan kepada kami, beliau berkata daripada Hisyam bin ‘Urwah, daripada ayahnya, daripada Aisyah RA meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda dalam hadis yang panjang:
وَمَنْ أَكَلَ الْمِلْحَ قبلَ الطَّعامِ وبعدَ الطَّعامِ فَقَدْ أَمِنَ مِنْ ثَلَاثِمَائةِ وَسِتِّين نَوْعًا مِنَ الدَّاءِ أَهْوَنُهَا الْجُذَامُ والْبَرَصُ
Maksudnya:… dan sesiapa yang memakan garam sebelum menjamah makanan dan setelah selesai makan, maka dia terselamat daripada 360 jenis penyakit, yang paling ringan sakitnya ialah kusta dan sopak.”

Dalam sanad hadis ini terdapat beberapa perawi yang dikritik oleh ulama hadis seperti Musa bin Ibrahim. Ibn ‘Adi menyebutkan Musa bin Ibrahim sebagai Syaikh Majhul dan beliau banyak meriwayatkan hadis munkar daripada para perawi thiqah.Ibn ‘Adi menyebutkan bahawa hadis ini adalah batil dan tidak ada yang meriwayatkannya melainkan ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah.

Dalam hal ini, pentahkik al-Tuyuriyyat tidak menyatakan apa-apa komentar terhadap biodata ‘Abdullah bin Muhammad bin ‘Ali bin Nufairah dan Abu al-Tayyib al-Sayyad Muhammad bin Ishaq al-Khuzaʻi.Menurut Abu Tahir al-Silafi, hadis yang membicarakan tentang garam ini yang diriwayatkan secara marfuʻ adalah palsu manakala yang diriwayatkan secara mauquf oleh ‘Ali bin Abi Talib RA adalah munkar jiddan.

Semua hadis-hadis yang menyebut tentang makan sedikit garam sebelum dan setelah selesai makan adalah tidak sahih daripada Nabi SAW. Meskipun begitu sekiranya seseorang itu ingin mengamalkan memakan secubit garam sebelum dan selepas makan maka ia tidaklah menjadi suatu kesalahan dengan syarat tidak menyandarkan amalan tersebut adalah daripada Rasulullah SAW.

Ditinggalkan artikel ini dengan doa Nabi Yunus AS. Daripada Sa’ad bin Abi Waqas RA bahawa Nabi SAW bersabda:
دَعْوَةُ ذِي النُّونِ إِذْ دَعَا وَهُوَ فِي بَطْنِ الحُوتِ: لَا إِلَهَ إِلَّا أَنْتَ سُبْحَانَكَ إِنِّي كُنْتُ مِنَ الظَّالِمِينَ، فَإِنَّهُ لَمْ يَدْعُ بِهَا رَجُلٌ مُسْلِمٌ فِي شَيْءٍ قَطُّ إِلَّا اسْتَجَابَ اللَّهُ لَهُ
Maksudnya: “Doa Nabi Yunus ketika baginda berdoa di dalam perut ikan paus: “Sesungguhnya tiada Tuhan (yang dapat menolong) melainkan Engkau! Maha Suci Engkau! Sesungguhnya aku adalah daripada orang-orang yang menganiaya diri sendiri”. Maka sesungguhnya tidak seorang muslim itu apabila berdoa dengannya untuk sesuatu perkara (masalah) melainkan Allah SWT akan memustajabkan baginya”. (HR al-Tirmizi-:Syeikh Syuaib al-Arna’outh berpendapat sanad hadis ini sebagai hasan)

Previous articlePencuci mulut yang lazat di Restoran Rasa Rosz Wangsa Maju dan IOI City Mall Putrajaya
Next articleNash, Ameng, Zamani dan Jatt di pentas yang sama, 25 Februari

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here