Oleh: Khadijah Ibrahim
APABILA seorang wanita itu melepasi usia 20-an, soalan yang kerap ditanya kepada yang empunya diri adalah bila nak kahwin? Pada hal semua orang tahu jodoh, ajal dan maut adalah ketentuan Allah, cuma cepat atau lambat saja perkara itu akan berlaku.
Mungkin disebabkan sudah muak dengan pertanyaan tersebut penyanyi dan pelakon Amira Othman tampil dengan single berjudul “Bila Nak Kahwin?” ciptaan dan lirik beliau bersama dengan Iqie Hugh serta Omar K.
Melihat kepada komen yang ditulis di saluran YouTube Amira Othman sejak 11 Januari lalu, netizen terutama wanita yang masih belum bertemu pasangan mahu menjadikan lagu tersebut sebagai jawapan kalau ada yang bertanya bila nak kahwin kerana liriknya mempunyai mesej yang mendalam.

“Bila Nak Kahwin?” yang bergenre nuansa pop moden dengan sentuhan unik bunyian klasik seperti alunan alatan muzik akordion itu berbeza daripada karya-karya terdahulu Amira, menjadikannya sebuah karya yang unik serta relevan dengan kehidupan masyarakat masa kini.
Malah lagu ini juga sebenarnya menggambarkan isi hati Amira yang mungkin tidak ditunjuknya secara terbuka. Ini kerana sejak memulakan kerjaya seninya dari tahun 2013, sebagai figura publik yang dikenali ramai, Amira sering dihujani dengan pelbagai soalan, sama ada tentang kerjaya profesionalnya mahupun kehidupan peribadi.
Bertitik tolak dari soalan-soalan berikutlah membuahkan inspirasi untuk Amira melakar bait-bait liriknya kerana ada mesej yang ingin disampaikan.
“Saya yakin lagu “Bila Nak Kahwin?” ini sangat berhubungkait dengan ramai orang di luar sana, secara tidak langsung ada sesuatu yang ingin saya sampaikan dengan harapan ia menjadi pendorong serta semangat buat mereka yang sentiasa berdepan dengan situasi tersebut.

“Jadi, saya memandangnya dari sudut positif dan jadikannya sebagai inspirasi dalam penghasilan lagu ini,” jelas Amira atau nama penuhnya Nadia Amira Othman, peserta program Akademi Fantasia musim ke-10.
Jelas Amira, proses kreatif lagu tersebut menjadi lebih menarik dengan bantuan Iqie Hugh dan Omar K, yang berjaya menterjemahkan pengalaman tersebut ke dalam melodi dan lirik dengan penuh kreatif.
Lagu “Bila Nak Kahwin?” menghidangkan elemen muzik dalam nuansa pop moden dengan sentuhan unik bunyian klasik seperti alunan alatan muzik akordion.
“Saya mahukan kelainan dalam lagu ini sambil mengekalkan melodinya yang segar. Tetapi, dalam masa yang sama saya cuba mengembalikan lagu-lagu terdahulu seperti “Hati Hati” dan “Jaga Jaga”,” kata Amira.
Proses rakaman lagu ini hanya memakan masa selama tiga sehingga empat jam sahaja, menjadikan ia sebuah pengalaman yang pantas namun tetap bermakna bagi Amira. Lebih istimewa lagi, ini merupakan kali pertama Amira turut serta dalam proses penulisan lirik bersama kedua-dua komposer.
Sementara itu, video muzik “Bila Nak Kahwin?” arahan Sharuddin Zain yang menampilkan pelakon Fattah Amin di akhir lagu itu sewaktu bertemu Amira di London dijangka mendapat sambutan hangat.
Video muzik itu menampilkan konsep yang ringkas tetapi berkaitan dengan kehidupan iaitu gambaran situasi yang sering dialami ramai, terutamanya ketika menghadiri majlis perkahwinan.

“Soalan cepu mas seperti ‘Bila nak kahwin?’ itu pasti biasa didengar oleh ramai orang, dan video muzik ini cuba menggambarkan situasi sebenar yang berlaku dalam kehidupan seharian,” terang Amira.
Melalui single ini, Amira berharap mesej tentang kepercayaan kepada takdir Ilahi akan dapat disampaikan kepada para pendengar.
“Saya ingin mengingatkan pada semua bahawa jodoh, rezeki dan masa depan kita kesemuanya adalah ketentuan dari Tuhan. Jadi, saya harap ia menjadi sumber inspirasi kepada mereka yang sering berdepan soalan sama seperti saya,” katanya.
Amira turut menyasarkan agar lagu ini bukan sahaja diterima baik di Malaysia, tetapi juga mampu menembusi pasaran luar negara. Selain itu, Amira juga berharap lagu ini menjadi tular di platform media sosial seperti TikTok dan memberi impak yang besar kepada peminat tersayang dan pendengar muzik amnya.
“Bila Nak Kahwin?” kini boleh didengari di semua platform penstriman utama seperti Apple Music, Joox, Spotify, dan YouTube Music. Lagu ini juga boleh dimuat turun di iTunes dan dijadikan nada dering panggilan menerusi semua syarikat telekomunikasi tempatan.

Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.