Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Wan Maimunah/Koleksi Syed Wafa
Setiap kali menonton lakonannya, pasti peminat merasa geram dengan wataknya yang menjadi ibu atau ibu tiri yang kejam. Sebaliknya bila membawakan watak seorang ibu yang disisihkan anak atau ibu yang hidupnya susah pasti peminat terbuai sama dengan lakonan sedihnya.
Wan Maimunah Wan Abdul Aziz mula menceburi bidang lakonan secara serius pada tahun 1972, Bagi apa sahaja watak kepadanya, beliau mampu dan berjaya menjiwainya dengan begitu baik sekali hingga peminat yang menonton terasa ada sama dalam drama tersebut. Lakonannya yang mantap, tampak begitu bersahaja. Disebabkan lakonan mantapnya itu, pelakon Wan Maimunah digelar Ratu Air Mata dan pelakon serba boleh.
Wan Maimunah, 68, bukan seperti sesetengah artis yang cukup mementingkan penampilan ketika berlakon. Beliau tidak kisah walaupun wajahnya kelihatan buruk demi menjayakan sesuatu watak. Inilah yang dikatakan pelakon yang sebenar.
Jadi tidak hairanlah kehebatannya sebagai pelakon air mata dan pelakon komedi begitu menjadi sekali hinggakan lima tahun berturut-turut pelakon Wan Maimunah meraih gelaran pemenang Artis Komedi Wanita Popular Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH- tahun 1992,1993, 1995, 1994, 1996/1997) bagi kategori Artis Wanita Komedi Terbaik.
Kehebatannya di layar perak juga membuatkan Wan Maimunah memenangi Anugerah Skrin 2002 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik drama Rumah di Tengah Sawah. Selain menang, Wan Maimunah juga pernah tercalon untuk filem Jimi Asmara bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia ke-12(FFM12) dan Anugerah Skrin 2018 bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik drama, Qalbu.
Namun bakatnya nampaknya kini tidak begitu dihargai dimana ada sebuah drama terbitan produksi tempatan yang sanggup menawarkan bayaran yang tidak setimpal dengan bakatnya. Dengan bayaran sebanyak RM200, Wan Maimunah dikehendaki tampil dalam beberapa babak.
“Entahlah dah semakin tua ini nampaknya bakat pelakon tidak dihargai berbanding luar negara. Rasa macam dipinggirkan sahaja kami pelakon-pelakon veteran ini. Sedih tu tak payah cakap kerana diperlakukan sebegitu rupa. Sebenarnya jadi pelakon ini kadang indah khabar dari rupa…kadang tu bukan sahaja pernah ditawarkan bayaran rendah, malah ada juga saya langsung tidak dibayar selepas berlakon.
“Saya reda kerana apa yang ada didunia ini semuanya pinjaman. Saya percaya, Allah telah sediakan rezeki lain untuk saya. Bila saya diuji begini, Allah beri saya rezeki lain. Benarlah, rezeki yang Allah janjikan tak pernah salah alamat
“Tengok mereka aniaya saya, tapi begitu mudah perjalanan saya bila berada di Mekah tahun lalu…Allah turunkan pelbagai rezeki ketika saya berada di sana. Setiap hari ada sahaja insan baik bersedekah kepada saya. Sampaikan saya terpaksa beli beg tambahan untuk muatkan baju, tudung, telekung dan makanan pemberian orang,” kata Wan Maimunah yang selalu berdoa agar dirinya meninggal dunia dalam khusnul khotimah.
Wan Maimunah menambah, walaupun dah tua sebegini nampaknya rezekinya masih ada dalam dunia lakonan ini.
“Balik dari Mekah dulu banyak juga tawaran daripada stesen televisyen yang datang tapi saya tolak sebab nak berehat seketika dan perlukan tempoh bertenang sebelum aktif semula dalam dunia lakonan. Bukan saya langsung tak mahu berlakon, cuma saya mahu berehat seketika. Dulu tu hati masih sedih dan terkesan dengan bayaran dan kini ada juga drama yang saya dah buat.
“Selain berlakon ada juga pihak yang minta saya buat kerja review produk tapi tidaklah banyak…tapi bolehlah nak teruskan hidup sehari-hari. Bila nak review produk pun saya bukan terima produk sembarangan, saya kaji dulu produk itu, ada atau tidak kelulusan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). Saya tidak mahu tipu orang dengan membuat review produk yang tidak selamat digunakan,” jelasnya.
Sesuai dengan usianya yang menginjak tua, Wan Maimunah pernah beberapa kali dimasukkan ke hospital disebabkan masalah berkaitan bengkak jantung dan jangkitan kuman dalam paru-paru.
“Biasalah dah tua-tua ini. Kini saya ada komplikasi yang digelarkan ‘paru-paru sempit’.Disebabkan itu, saya kena sedut nebuliser atau sejenis pam pakai buang untuk menstabilkan paru-paru satu bekas setiap bulan. Itu sebabnya kini, saya kena jaga makan. Makan kena pantang sikit, bukan macam waktu muda dahulu, semua benda kita boleh makan,” ujarnya sambil ketawa.
Wan Maimunah juga pernah berkahwin dengan Makpol Saimon seorang pengusaha makanan tradisi kacang pool di Johor pada 14 Disember 2013. Perkahwinan tersebut hanya mampu bertahan selama dua tahun sebelum keduanya bercerai.
Bercakap mengenai mencari pengganti, jelas Wan Maimunah menerusi telefilem, Terlerai Takbir Kasih,“Pada usia sekarang, kalau ada jodoh, adalah, kalau tak ada pun tak apa. Saya okey untuk teruskan kehidupan seperti biasa. Kalau ada suami sudah tentu bila sakit, dia akan jaga makan minum pakai kita. Itupun kalau dapat pasangan yang baik. Seseorang yang tahu untuk menghargai baik buruk kita sebagai isteri.
“Sunyi tu …sunyi jugak tapi bila fikir mati nanti pun seorang diri di dalam kubur. Semuanya kita tinggalkan. Jadi saya reda dengan ketentuan Allah. Bagi insan macam saya, kahwin ini bukan lagi isu untuk nafsu, sebaliknya lebih kepada mencari imam. Andainya ada jodoh lagi, saya harapkan perkahwinan kami direstui semua pihak terutama anak-anak. Faham-faham sajalah.”
Kehebatan dan lakonan mantapnya membuatkan Wan Maimunah sering ditawarkan untuk membintangi beberapa buah filem berbanding artis-artis seangkatannya. Antara filem pertama lakonannya ialah Wanita Bertudung Hitam, diikuti filem Interlud (1992), Jimi Asmara (1995), Putih (2001), Anak Mami The Movie, Soalnya Siapa?, Cinta Luar Biasa, Puaka Tebing Biru, Zaiton : Ceritaku, Oh Mak Kau, Petaka, Frontliner, SyurgaKu dan Munajat.
Manakala puluhan drama turut dibintanginya hingga mengangkat nama Wan Maimunah untuk memenangi pelbagai anugerah. Antara drama lakonannya ialah Dendam Terlerai, Obsesi, Laila Majnun, Amapunkan Dosaku, Tanah Kubur (musim ke-6), Kifarah, Pujaan Hati Umi, Rumah Kedai Jalan Seladang, Airmata Ibu, Quran Buruk, Ibu Pinjaman, Benih, Nur Di Pintu Syurga, Syiling Opah, Janji Allah, Aku Bukan Rabiatul, Pondok Plastik Tepi Kubur, Perigi Kontang , Bagikan Sumayyah dan lain-lain lagi.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.