Tiket untuk hari ketiga konsert GenKru akan dijual pada 7 Januari ini, 11 pagi, khas untuk pemegang kad Maybank dan 8 Januari pula dibuka untuk umum bermula jam 3 petang.

Oleh: Khadijah Ibrahim

SETAKAT ini di kalangan penyanyi tempatan belum ada lagi yang menjayakan konsert berskala besar untuk tiga hari, lebih-lebih lagi di Axiata Arena, Bukit Jalil.

Namun kumpulan KRU yang dianggotai oleh tiga bersaudara, Datuk Norman, Datuk Yusry dan Edry Abdul Halim bakal melakar sejarah tersebut menerusi Konsert GenKru yang akan diadakan pada 3, 4 dan 10 Mei 2025.

Penganjur konsert GenKru iaitu Icon Entertainment pada 3 Januari baru-baru ini mengumumkan bahawa konsert trio KRU itu ditambahkan kepada hari ketiga.

Menurut pengasasnya, Iman Tang, keputusan itu dibuat selepas mendapat banyak pertanyaan dan permintaan daripada peminat yang tidak berpuas hati gara-gara jualan tiket laris dalam tempoh 45 minit semasa pengumuman hari kedua konsert dibuat sebelum ini.

Sidang media mengumumkan tambahan konsert untuk hari ketiga bersama penganjur, Iman Tang ( kanan).

“Setelah membuat pertimbangan, kami dengan persetujuan Norman, Yusry dan Edry, sepakat untuk memenuhi hajat peminat tegar yang terlepas mendapatkan tiket pada konsert hari pertama dan kedua yang dijadualkan pada 3 dan 4 Mei.

“Kami tidak menyangka sambutan sungguh luar biasa dengan pertanyaan yang tidak pernah putus di media sosial. Ia sekali gus membuatkan Icon Entertainment dan KRU mahu menunaikan impian peminat yang tewas berperang untuk membeli tiket.

“Dengan pertimbangan dan cukup berhati-hati selain persetujuan daripada trio bersaudara itu, maka 10 Mei 2025 dipilih sebagai tarikh sesuai bagi penganjuran konsert hari ketiga iaitu selang seminggu selepas malam pertama dan kedua,” katanya sewaktu ditemui pada majlis pengumuman khas yang diadakan di Hotel Mandarin, di ibu negara, baru-baru ini.

Selain itu, Iman berkata, keputusan ini bukan bersifat oportunis sebaliknya membuktikan pemuzik tempatan turut mempunyai pengaruh dan kuasa besar terhadap pasaran.

Dari kiri, Yusry, Norman dan Edry sedia tambah hari persembahan bagi memastikan peminat KRU tidak terlepas peluang menonton persembahan mereka.

“Keputusan ini menjadikan konsert GenKru tiga hari juga merupakan sejarah baharu yang wajar dibanggakan bintang tempatan apabila kebanyakkannya hanya mengadakan konsert selama dua hari.

“Konsert berskala mega untuk tiga malam ini merupakan satu penghormatan buat artis tempatan kita,” katanya.

Pada awalnya, Icon Entertainment sebagai penganjur hanya merancang untuk merealisasikan konsert GenKru cuma untuk satu malam sahaja.

Namun, apabila tiket untuk konsert pada malam pertama itu habis dibeli oleh peminat-peminat KRU dalam tempoh sejam, pihaknya menambah lagi satu persembahan pada keesokan harinya.

Katanya, sekali lagi, tiket untuk jualan malam kedua di lokasi sama laku keras dalam tempoh 45 minit mendorong penganjur untuk menambah persembahan pada malam ketiga.

Penganjuran Konsert GenKru di Axiata Arena yang bakal berlansung pada 3, 4 dan 10 Meil 2025 ini menyaksikan penampilan sulung KRU selepas enam tahun. Kali terakhir KRU beraksi di pentas mega adalah di Istana Budaya pada 2018 yang juga berlangsung selama tiga hari.

KRU anggap sambutan hangat daripada orang ramai satu rezeki untuk mereka menghibur peminat yang menyokong perjalanan kerjaya seni mereka selama ini.

Kata Norman, melihatkan kepada sambutan yang diberi oleh peminat, KRU tidak menganggap konsert mereka sekadar hiburan semata-mata tapi sebagai satu tanggungjawab untuk memuaskan hati peminat yang menyokong perjalanan seni mereka selama ini.

“Secara peribadi kami tak sangka begitu kuat sokongan peminat terhadap KRU. Meskipun asalnya kami merancang untuk satu hari saja kerana tak tahu bila lagi akan buat konsert, tapi apa yang berlaku di luar jangkaan.

“Saya kata pada Yusry dan Edry, ini bukan pasal kita tapi ini sudah menjadi tanggungjawab kita untuk memenuhi Impian orang ramai yang mahu menonton konsert KRU. Kami seboleh mungkin tidak mahu menghampakan mereka yang mengadu tidak dapat membeli tiket pada hari pertama dan kedua.

“Untuk menambahkan persembahan pada hari ketiga bukanlah perkara mudah kerana banyak perkara yang perlu difikirkan terutama tentang lokasi kerana sekarang ini banyak konsert diadakan. Meskipun selepas seminggu baru berlangsung konsert untuk hari ketiga, kami tetap akan memberikan yang terbaik kerana kami mahu peminat kenang konsert GenKru ini sebagai momen indah dalam kehidupan mereka,” kata Norman.

Previous articleTony Eusoff sering ditawar harga ‘kawan-kawan’ apabila berlakon
Next articleWan Maimunah `Ratu Air Mata’ yang dipinggirkan!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here