Tony Eusoff melakonkan watak DSP Openg dalam drama 'Din Tiger'.

Oleh: Khadijah Ibrahim

Mulai 6 Januari ini, peminat drama tempatan boleh menonton drama bersiri lapan episod, ‘Din Tiger’ di Degup HD, Saluran 120 di Unifi TV pada jam 11 malam.

Salah seorang pelakon yang terlibat dalam drama arahan Datuk Afdlin Shauki yang diterbitkan oleh KL Post Sdn. Bhd., itu ialah Tony Eusoff atau Anthony Joseph Hermas Rajiman, 48 tahun.

Drama ‘Din Tiger’ berkisar tentang isu jenayah ‘scam’ yang semakin menjadi-jadi di Malaysia dan bagaimana kegiatan ini berjaya dirancang dengan liciknya sehingga mampu memperdayakan mangsa daripada pelbagai golongan.

Tony melakonkan watak Deputi Superintendan (DSP) Openg yang menyamar dan bekerjasama dengan pemberi maklumat pihak sindiket penipuan dalam usaha untuk membanteras kegiatan scammer.

Kesilapan lalu menjadikan Tony Eusoff lebih berhati-hati dalam kehidupan.

Menurut pelakon dari Kuching, Sarawak itu, beliau pernah jadi mangsa penipuan menerusi kad kredit dan sejak daripada itu Tony tidak lagi menggunakan transaksi atas talian menerusi kad debit atau kredit kad, sebaliknya lebih senang menggunakan Touch n’ Go yang ada PayPal atau AliPay.

“Saya pernah kena scam kad kredit tanpa disedari. Kita kan selalu terima info pasal kad kredit melalui SMS dan jarang semak. SMS itu beritahu yang saya telah membelanja beberapa USD.

“Kemudian baru saya perasaan kenapa saya bayar lebih daripada selalu iaitu RM1,000 lebih. Jadi saya telefon bank dan pegawai tanya, saya ada buat pembayaran di luar negara ke? Penggunaannya sikit saja, 12 USD, 17 USD dan paling banyak berbelanja 25 USD tapi disebabkan lebih sebulan punya perbelanjaan dan ditukar ke duit kita jadi RM2,000 lebih.

“Saya tanya pihak bank macam mana nak elak orang scam guna data kad kredit kita dan sebagainya? Orang bank kata, buat masa sekarang tidak ada teknologi yang boleh menghalang scammer kerana scammer akan sentiasa ada taktik baharu.

DSP Openg perlu menyamar untuk membanteras scammer.

“Selagi kita menggunakan debit atau kredit kad buat online transaction, selagi itu debit atau kredit kad kita tak selamat 100 peratus. Kalau betul-betul nak elak jangan buat transaksi dalam talian. Saya baru belajar benda ini, kalau kita nak bayar kat kedai tak apa tapi jangan buat online transaction.

“Sejak daripada itu saya tak pernah buat online transaction menggunakan debit atau kredit kad. Sekarang ini saya gunakan Touch n’ Go yang ada PayPal atau AliPay. Dengan Touch n’ Go senang sebab kita tak letak duit banyak kat situ. Kalau perlu saja saya akan transfer online banking ke situ,” kongsi Tony tentang pengalaman buruknya itu.
Tony yang ditemui pada majlis sidang media drama Din Tiger terbitan Unifi TV baru-baru ini berharap drama ini dapat memberi info kepada orang ramai agar lebih berhati-hati dengan sindiket penipuan atas talian itu.

Tatkala ditanya ada kesukaran tak sewaktu berlakon drama yang turut menampilkan Datuk Aaron Aziz sebagai Din Tiger, Afdlin Shauki (Boss Mario/Tan Sri Aliff) Josiah Hogan, Datin Sri Nina Juren, Mia Sara Shauki, Adam Corrie Lee dan Ako Mustapha.

Jelas Tony, beliau tidak ada masalah berlakon di bawah arahan Afdlin kerana mereka sudah lama mengenali antara satu sama lain.

Sedang menyoal Din Tiger, lakonan Aaron Aziz.

“Bila berlakon apa yang penting bagi saya adalah kepercayaan penuh saya kepada pengarah. Saya tidak boleh bekerja dengan pengarah yang saya tak boleh percaya. Dengan Datuk Afdlin, saya kenal beliau sejak di kolej lagi sebab saya mula berlakon lambat.

“Bila diberi peluang bekerja di bawah arahannya memang bucket list la. Kita percaya karya beliau memang menarik. Sebenarnya saya tak memilih sangat tapi apa yang paling penting kepada saya, sama ada saya boleh bawa watak itu atau tidak.

“Sebab kita saja tahu apa yang kita boleh buat dan tidak mampu buat. Orang lain ingat kita boleh itu ini tapi hanya kita yang tahu kelemahan kita. Kita tahu kekurangan dan kelebihan kita. Jadi saya akan tengok watak itu dan akan bercakap jujur dengan pengarah.

“Jika saya boleh bawa dan mas kahwin tu cantik, saya boleh terima. Kalau bab mas kahwin tu kita boleh berbincang. Masalahnya pula produser yang ambil saya bekerja ni, mereka adalah kawan-kawan saya semua nak minta harga kekawan tapi tak apa la sebab mereka bagi peluang.

“Bagi saya yang paling penting adalah sentiasa bekerja. Saya paling takut kalau tak ada job. Contohnya masa Covid dulu, setahun setengah saya tak ada job, bila dapat peluang berlakon balik keyakinan berkurang sikit. Berlakon ni kalau kita kurang buat latihan maka kita akan jadi kurang yakin, sebab tu kena buat selalu,” katanya tanpa berselindung.

Tony senang bekerja di bawah arahan Afdlin Shauki.

Sementara itu, Tony juga tidak menolak untuk menjawab soalan mengenai penangkapan selebriti akibat barangan terlarang sama ada di tanah air atau luar negara termasuk kes pelawak yang ditahan di Jeddah.

Tanpa berselindung Tony mengakui beliau juga pernah melalui detik hitam tersebut pada 2016 dan pernah menginap di sebalik tirai besi selama lapan bulan di Singapura.

Pelakon filem ‘Malbatt: Misi Bakara’, ‘The Experts’ dan ‘Harimau Malaya: the Untold Journey’ itu perlu menjalani hukuman penjara kerana didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

Ketika itu Tony dipercayai memiliki satu paket mengandungi tidak kurang daripada 4.56g bahan sayuran yang telah dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja. Dia didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac 2016.

“Saya juga pernah ada kes di penjara Singapura. Apa yang saya buat sekarang ini adalah saya pernah bekerjasama dengan pihak penjara untuk berkongsi pengalaman dengan banduan yang nak keluar, bagi motivasi sikit sebab saya pun pernah melaluinya.

“Saya cakap, jangan risau dengan penerimaan masyarakat kerana masyarakat di luar sana sudah bersedia untuk menerima kehadiran anda semua. Anggap saja sepanjang di sini (penjara) seperti membayar hutang dan sekarang hutang sudah selesai. Sekarang bila keluar mulakan hidup baharu dan perbaiki diri demi untuk orang tersayang.

Drama ‘Din Tiger’ mula bersiaran pada 6 Januari ini.

“Itu saja yang saya mampu bagi balik, apa salahnya kita gunakan pengalaman sendiri untuk memberi motivasi dan inspirasi kapada orang lain. Waktu itu saya bukan ketagih tapi ketika itu saya nakal. Saya ada ketagihan iaitu rokok sampai sekarang,” katanya lagi.

Tambahnya, apa yang paling dikesal adalah membuatkan ibunya menitis air mata angkara perbuatannya itu.

“Untuk seorang anak tiada yang lebih menyedihkan hati apabila lihat mak sendiri menangis disebabkan apa yang kita buat. Perkara itu buat saya fikir perlu jadi lebih matang. Ada yang cakap saya kena aniaya tapi itu adalah kesalahan dan kenakalan saya, tiada siapa boleh salahkan.
“Jadi saya hanya harungi dan terima hukuman atas perbuatan sendiri. Bila nak keluar, saya ada perasaan bercampur baur, risau dan gembira tentang penerimaan orang.Tapi ada individu yang saya tak kenali datang dan bagi kata-kata semangat pada saya. Orang Malaysia mudah nak menyayangi dan memaafkan. Kita cuma perlu berusaha sedikit.

“Jangan cepat menilai, tunggu sehingga kes selesai. Mungkin mereka buat semua itu sebab terdesak. Kita tak tahu apa masalah mereka hadapi, orang yang ambil ‘barang’ sebab mereka nak lepaskan tekanan. Tiada yang sukarela ambil. Mereka juga ada keluarga, tidak elok jatuhkan hukum,” katanya berkongsi pandangan.

Pada bulan ini juga Tony akan mula menjalani penggambaran filem terbitan Vision New Media yang merupakan arahan sulung Min Lim di Perlis.

Previous articleYakinlah Dengan Diri Anda!
Next articleKonsert GenKru umum hari ketiga, bukan sekadar hiburan tapi tanggungjawab KRU!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here