Oleh: Nafsiah Jani
Foto: Ehsan Dina Nadzir
“Dengar dia bercakap pun dah sedap. Kalau menyanyi lagilah sedap. Siapa lagi kalau bukan Dina Nadzir. Dengarkan Dina Nadzir dalan Sinar Solo bermula 10 pagi hingga 3 petang setiap hari Isnin hingga Jumaat.”
Itulah tagline bagi menggambarkan betapa hebatnya penyanyi dan penyampai radio, Dina Nadzir atau nama sebenarnya, Faradina Mohd Nadzir,39, sekarang ini. Sebelum ini Dina bersama radio Era FM dari 2012 hingga 2020.
Dina melebarkan sayapnya ke radio Sinar FM pada Januari 2021 sehingga kini mengendalikan rancangan Sinar Solo, Sharing Is Caring, Nak Kata Apa, Lagu Anda, Boleh Tolong Sampaikan (BTS) dan Borak Selebriti Sinar.
“Diam tak diam rupanya dah 15 tahun Dina jadi penyampai radio. Sekarang di radio Sinar FM, Dina mengendalikan program Nak Kata Apa dari jam 10 pagi hingga 11 pagi. Dalam program ini peminat boleh telefon saja Dina untuk berkongsi cerita atau pendapat.
“Selepas itu dari jam 11 hingga 12 tengahari pula,Dina muncul dengan program Sharing Is Caring.Dalam program selama sejam ini Dina akan berkongsi dengan peminat tip-tip menarik tentang kesihatan dan kecantikan. Malah pendengar juga boleh berkongsi tips-tips untuk kebaikan bersama.
“Kemudian Dina akan berehat selama sejam sebelum kembali dengan program Lagu Anda, Dina akan mainkan lagu dan menyampaikan dedikasi peminat kepada orang tersayang. Sebelum diakhiri dengan Boleh Tolong Sampaikan (BTS) dari jam 2 hinggga 3 petang.Program ini bagi yang tidak mempunyai idea, membantu menceriakan orang tersayang.” kata Dina mengenai rutin kerjanya setiap hari.
Walaupun pernah bergelar Naib Juara Malaysian Idol 1, 2004 namun bintangnya tidak secerah rakan-rakan seangkatannya dalam bidang seni. Namun bintangnya lebih menyerlah sebagai penyampai radio berbanding penyanyi.
Mungkin sudah tertulis rezekinya untuk menjadi penyampai radio dan ini bertepatan dengan sikap Dina yang sememangnya begitu petah bercakap dan bijak mengeluarkan idea.
Dina pelantun lagu Malu Tapi Mahu yang dikenali sebagai wanita yang ceria rupanya pernah menghadapi pelbagai trauma seperti masalah tekanan perasaan dan hilang keyakinan diri dalam mengharungi kehidupan yang penuh mencabar. Namun kekuatannya kembali setelah Dina berusaha mengubah gaya hidup dan penampilannya.
“Sejak berambut pendek paras bahu dan ubah gaya hidup, Dina rasa semakin berkeyakinan. Rasa macam orang lain bila kita ubah segala-galanya. Dulu Dina suka bersendiri tapi sejak ubah penampilan, gaya hidup dan amalkan diet, Dina semakin berkeyakinan tinggi. Malah Dina pun dah mula join rakan-rakan dengan aktiviti mendaki, menyelam dan aktiviti bermotosikal.
“Kalau tak dulu Dina sendiri tak faham, apa masalah Dina. Dina pernah menangis tanpa sebab apabila bangun dari tidur, malas nak pergi kerja dan macam-macam lagi. Masa tahun lepas, tekanan perasaan yang Dina alami memang sangat teruk dan syukurlah kini semua dah semakin pulih sejak Dina lakukan perubahan untuk dapatkan kembali hidup yang ceria dan bahagia,” kata Dina Nadzir anak kelahiran Johor ini.
Sejak mengubah cara berpakaian dan sering berpuasa hingga beratnya turun sebanyak 10 kg menyebabkan Dina semakin yakin dengan dirinya sendiri.Keyakinan ini secara tidak langsung membantu Dina bekas pelajar Sekolah Menengah Perempuan Sultan Ibrahim, Johor Bahru ini membina keyakinan dirinya sendiri.
“Dulu, waktu bercuti dengan kawan-kawan, Dina sering menyuruh mereka pergi lakukannya terlebih dahulu dan Dina akan menyusul kemudian. Sedangkan hakikatnya, Dina tidak keluar dan hanya bersantai-santai di dalam bilik sendirian.
“Tapi sejak Dina berani mengubah segala-galanya, barulah Dina yakin yang Dina kena keluar dari kepompong berseorangan dan sebaliknya melakukan pelbagai aktiviti bersama kawan-kawan. Itulah sebenarnya ubat yang paling mujarab,’’ kata Dina yang juga bekas peserta Gegar Vaganza 9 (GV9).
Menurut Dina Nadzir anak kedua daripada empat beradik ini, Walaupun belum bertemu jodoh dalam usia nak mencapai 40-an, namun ia bukannya satu masalah.
“Ada jodoh Dina kahwin. Dina target nak akhiri zaman bujang pada usia 40-an. Doa-doakanlah agar Dina bertemu dengan jodoh yang baik, hormati keluarga Dina dan sayangi serta terima Dina sepenuh hatinya dan bukannya sukakan Dina kerana ada kepentingan. Paling penting lelaki itu juga memahami diri dan kerjaya Dina.
“Nak ikut Dina bahagia dengan cara Dina sekarang. Kesibukan jadi penyampai radio, menyanyi dan sesekali berlakon teater membuatkan Dina tidak pernah merasa sunyi.”
Sepanjang penglibatannya selain bergelar Naib Juara Malaysian Idol 1 (2004), Dina juga pernah memenangi pingat emas dan pingat perak di World Championships of Performing Arts, Los Angeles untuk kategori R&B/Jazz/Funk/ Blues (2005). Manakala pada 2006, Dina sekali lagi tercalon untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) bagi kategori TOP 5 Persembahan Vokal Terbaik dalam Album dan TOP 5 Artis Baharu Terbaik bagi AIM ke 13. Sehinggalah 2007, Dina memenangi Anugerah CLEO Young Achievers Award dan Anugerah Belia Ikon Kementerian Belia & Sukan.
Tahun berikutnya, 2008 Dina memenangi Anugerah Persembahan Terbaik, Anugerah Hits 1 Musim ke 5 anjuran RTM. 2009 pula Dina dicalonkan untuk Anugerah Industri Muzik (AIM) TOP 5 Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu dan dicalonkan bagi Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke 27 bagi kategori TOP 5 Penyampai Radio Paling Popular (2014). Bakat semulajadinya ini turut membolehkan Dina memenangi Anugerah Unsigned Only Music bagi kategori R&B/ Hip Hop (2013) dan menang Anugerah MeleTOP ERA TOP 5 Program Radio Terbaik (2015).
Selain teater Inggeris, Dina juga banyak membintangi drama televisyen Rempit vs Impak Maksima, Impak Maksima The Musical, 3 Janda, Anak Aku Artis, Baju Raya Mona. Manakala filem pertamanya Jangan Pandang Belakang Congkak (2009), Sofazr The Movie- Jiwa Kacau (2012) dan Hello (2013).
Dina Nadzir juga pernah berduet bersama XPOSE Band dengan lagu berjudul Raya Di Rumah Dinda. Lagu itu tular dalam media sosial dan meraih lebih empat juta tontonan di YouTube. Bila dapat sambutan begini membuatkan Dina semakin bersemangat untuk keluarkan single terbaru.
Manakala album pertamanya Cinta Datang Lagi diterbitkan pada 2005. Selain menghasilkan single, Dina juga banyak terlibat dengan nyanyian lagu runut bunyi (OST) untuk drama dan filem. Antara lagu OSTnya ialah Planet Gempak, Demi Kasih dan Hargai Cinta. Manakala single kedua 2009 iaitu Inspirasi Hidupku, Malu Tapi Mahu, Sejauh Ini, Wanita Besi, Aku Ingin, Dendam Pecinta dan Eratkan Jalilnan.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.