Oleh : Nafsiah Jani

Bercakap mengenai pokok putat mungkin generasi muda tidak mengenali dan mengetahui tentang pokok ini. Namun jika diketahui kebaikan dan manfaat pokok ini mungkin ramai yang akan berebut-rebut untuk menanamnya.

Khasiat pokok putat bukan saja dari pucuknya sebaliknya buah, kulit pokok dan akar pokok putat begitu berharga untuk kesihatan manusia. Kebanyakan pokok yang pucuknya boleh dibuat ulam, adalah baik untuk kesihatan kulit, melancarkan darah, mengeluarkan angin dalam badan dan memberi banyak manfaat kepada golongan lelaki mahupun wanita.

Pokok putat biasanya tumbuh dikawasan tepi sungai atau berhampiran dengan kawasan yang berpaya. Terdapat dua jenis putat yang selalunya dijadikan ulam oleh masyarakat Melayu iaitu Putat Hijau dan Putat Merah. Selain daunnya hijau gelap yang berkilat, bentuk buahnya juga berbeza.

Terdapat kira-kira 40 spesies pokok putat atau nama saintifik pokok putat ialah Barringtonia Racemosa di Malaysia dan negara ASEAN yang lain. Walaupun rasanya agak pahit namun ia mengandungi khasiat yang baik untuk mencuci darah, menghilangkan rasa pening kepala, mengecutkan rahim serta baik untuk darah tinggi.

Foto psherbs.com

Pokok putat merupakan pokok yang tidak bermusim iaitu berbunga dan berbuah sepanjang tahun. Selain pucuk mudanya boleh dijadikan ulam, kerabu atau perencah laksa, buahnya juga boleh dijadikan masakan yang cukup enak dan berkhasiat.

Dibawah ini disenaraikan kebaikan dan manfaat yang boleh didapati daripada pokok putat. Selamat mencuba.

1. Buah dan daunnya yang dijadikan ulam juga bertindak sebagai agen anti penuaan yang boleh membuatkan seseorang itu awet muda jika seseorang itu rajin makan ulam pucuk putat dan buahnya setiap masa.

2. Air rebusan akarnya juga boleh mengurangkan keputihan dan menyejukkan badan kerana ia mengandungi saponin.

3. Kulit batang putat juga boleh mengubati resdung. Kopek kulit batang pokok sebesar tapak tangan dan jemur sehingga kering. Setelah kering, bakar kulit batang tadi dan sedutlah asapnya melalui hidung sehingga terasa hendak terbersin dan keluarnya air lendir daripada hidung. Ulangi proses ini setiap hari bagi meredakan penyakit resdung yang dihidapi.

Kredit foto: www.nparks.gov.sg

4. Akar putat yang direbus dan diminum air rebusannya dipercayai boleh mengurangkan masalah keputihan

5. Buah putat juga boleh diparut untuk dibuat jus minuman ataupun ditampalkan pada bahagian muka bagi melicinkan kulit.

6. Tumbuk daun putat dan daun rambutan jantan hingga lumat. Kemudian tampal daun-daun tersebut pada bahagian yang berkudis. Selain itu, daun putat juga boleh dilayur diatas api dan kemudian letakkan daun tersebut pada luka atau kulit yang berkudis bagi mempercepatkan proses penyembuhan.

7.Untuk menghilangkan penyakit cacar air, tumbuk lima atau enam keping daun Putat bersama-sama beras. Bila dah hancur, sapu atau tampalkan pada bahagian yang terkena cacar air. Ia perlu diamalkan beberapa kali setiap hari bagi mempercepatkan tempoh matang atau `masak’ cacar air,bagi mengelakkan ia merebak ke seluruh badan.

8. Pucuk muda putat juga dikatakan mampu mengubati sakit perut. Caranya ramas-ramas daun tersebut di dalam air dan selepas itu minumlah air tersebut. InsyaAllah sakit perut akan berkurangan.

9. Buasir juga boleh dirawat dengan dengan mengasah beberapa biji buah putat yang segar pada belakang pasu dan disapukan pada bahagian buasir.

10. Ekstrak biji Putat terbukti secara saintifik mempunyai sifat anti kanser. Di Kerala India, biji putat digunakan untuk merawat pelbagai penyakit yang menyerupai kanser (ketumbuhan).

 

Previous articleTak pakai stokin punca tumit merekah! (Bahagian 1)
Next articleDina Nadzir ubah penampilan dan gaya untuk terus hidup ceria

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here