Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS perasaan penonton dibolak-balik dengan perjalanan cerita ‘Andai Tiada Dia’ yang menonjolkan impak apa berlaku jika insan tersayang berlaku curang, kini penggemar drama tempatan disajikan pula dengan rangkaian drama ‘Curang Tanpa Niat’.
Drama arahan Eyra Rahman itu masih fokus kepada isu perselingkuhan yang dilihat seperti satu normalisasi dalam kehidupan sekarang dan tidak hairanlah banyak drama yang disiarkan berkisar kecurangan mendapat sambutan daripada penonton.
Selain menonton, adalah baiknya kalau penonton mengambil iktibar daripada apa yang dipaparkan di kaca televisyen supaya tidak berlaku perkara yang sama dalam kehidupan masing-masing.
Shukri Yahaya yang melakonkan watak Eshaal dalam drama ‘Curang Tanpa Niat’ yang mula bersiaran sejak 23 Disember lalu, setiap Isnin hingga Khamis, jam 10 malam di Astro Ria dan strim di Astro Go dan sooka berharap penonton tidak hanya tertumpu pada judul drama sahaja.
Sebaliknya, beliau menggesa penonton supaya melihat kepada mesej yang terdapat dalam drama 34 episod, hasil nukilan penulis skrip Oka Aurora itu.
“Bagi saya jangan tengok judul drama ini saja kerana di sebalik itu banyak perkara yang kita boleh dapat daripada drama ini. Kita boleh belajar tentang rumah tangga, bagaimana kita mengawal keadaan. Bukanlah kita fokus kepada curang semata-mata.
“Cerita ini tajuknya saja curang tapi ia bukan stereotype. Curang itu ada di semua tempat dalam kehidupan manusia tapi yang membuatkan drama ini lain adalah cara pembawakan watak itu.
“Judul curang ini bagi saya adalah untuk ‘ikat’ penonton supaya tengok tapi apa yang kita boleh ambil, curang itu sekejap saja. Pengajaran yang kita boleh ambil adalah macam mana kita urus keluarga kita, urus kecurangan yang pernah terjadi.
“Apabila perkara itu terjadi ia akan memberi kesan kepada orang sekeliling, bukan saja keluarga kita tapi juga keluarga mentua, rakan sekerja dan kerjaya,” ulas Shukri tentang pengajaran yang boleh diperolehi menerusi drama lakonannya yang berpasangan dengan Mira Filzah sebagai isteri, Elina.
Jelas Shukri atau Mohd Shukri Yahaya, 36, beliau bersetuju berlakon dalam drama terbitan iFabulous Art Media & Event Sdn Bhd (iFAME) kerana sedar isu tentang curang atau perselingkuhan adalah genre yang popular di kalangan masyarakat tempatan.
“Saya terima watak itu bukan sebab apa kerana cerita tentang curang ini adalah genre yang popular di Malaysia. Kalau nak kata tidak, rugilah sebab genre curang ini adalah genre paling tinggi sekali dan sebab itu stesen memilih untuk adakan cerita sebegitu.
“Selain sedar genre ini mampu menarik perhatian ramai, saya juga tidak mahu menghampakan pihak produksi yang sudah menaruh kepercayaan kepada saya, saya tidak boleh kata tak.
“Tak mungkin saya nak menolak apabila mereka kata sudah bayangkan watak ini dengan kebolehan saya dan cara pembawakan, nak tak nak saya terima job ini untuk membuktikan yang kalau mereka rasa saya boleh buat, saya pasti boleh buat. Bukan hak saya untuk tolak rezeki,” katanya yang bergandingan dengan Sharifah Sakinah sebagai Astrid, teman perselingkuhan Eshaal.
Shukri memulakan kerjaya lakonamnya pada 2011 menerusi filem ‘Jiwa Taiko’ sebagai Jami, arahan Osman Ali dan drama ‘Juvana’ arahan Faisal Ishak sebagai Fit.
Suami kepada Siti Nurfatihah atau Tya Adnan, 32, itu mengakui beliau tidak meminta pandangan isterinya sebelum bersetuju berlakon drama ‘Curang Tanpa Niat’ kerana isterinya tahu itu adalah tanggungjawabnya sebaga pelakon.
“Isteri saya tak pernah tanya drama apa yang bakal saya berlakon sebab dia pun tahu kebanyakan drama lakonan saya asyik pasal curang saja. Cerita apa saja mesti selitkan kisah curang.
“Kalau tanya pasal curang, boleh tanya mana-mana produksi yang mengenali saya bila bekerja, saya hanya tumpu pada kerja saja. Bila habis kerja saya balik rumah tak ada pergi melepak.
“Bagi saya tempat untuk bertenang adalah di rumah kerana saya ada anak dan isteri. Perkara itu yang selalu saya rindu bila berada di set, cepatlah habis, aku nak balik rumah,” kata Shukri yang merupakan bapa kepada Aaira Ameena, 8, dan Maleeq Miqayl, 4 tahun.
Sejujurnya kata Shukri, sewaktu di set beliau dan Mira Filzah sering bertanya antara satu sama lain, kenapa watak itu buat begitu dan begini. Mereka juga tak sangka bahawa apa yang dilakukan oleh watak itulah kecurangan yang tak disedari.
“Sewaktu di set, saya selalu argue kenapa jadi begini dan begitu. Bukan saja saya, Mira Filzah pun sependapat dengan saya. Kita orang sebelum cerita ini ditayang, kita yang berlakon ni dah jadi netizen dulu.
“Kita selalu tanya kenapa watak tu buat begitu dan sebagainya. Bila kita yang berlakon ni dapat rasa perkara yang tidak patut dilakukan, saya yakin penonton pun dapat merasainya.
“Ia bukan seluruh cerita pasal curang tapi disebabkan perbuatan curang itu melibatkan semua benda seperti karier dan keluarga semua kena tempias. Itu yang kita nak sampaikan pada penonton, jangan sesekali berlaku curang tapi ambil pengajaran apa yang akan terjadi selepas itu,” katanya lagi.
Banyak tawaran drama berbanding filem
Sepanjang penglibatannya sebagai anak seni tidak dinafikan Shukri lebih banyak muncul di kaca televisyen menerusi drama bersiri atau telefilem berbanding di layar lebar.
Anak kelima daripada enam beradik itu boleh dikatakan pelakon drama profilik kerana secara purata, beliau akan berlakon sekurang-kurangnya, empat buah drama bersiri dalam tempoh setahun dan selebihnya telefilem.
Beliau telah membintangi sejumlah drama bersiri yang popular antaranya ‘Asam Pedas Untuk Dia’ (2015), ‘7 Hari Mencintaiku’ (2016), ‘Andainya Takdir’ (2017), Andainya Takdir 2 (2018), ‘Kerana Dia Manusia Biasa’ (2019), ‘7 Hari Mencintaku 2’ (2020), ‘Rindu Awak Separuh Nyawa’ (2021) dan ‘Andai Itu Takdirnya’ (2023).
Dek bakat lakonannya yang cemerlang itulah Shukri telah memenangi beberapa anugerah menerusi lakonannya dalam drama bersiri ‘7 Hari Mencintaiku’, ‘Andainya Takdir’ dan ‘Split TV Series’.
Antara anugerah yang diraih Shukri adalah di Anugerah Drama Festival Kuala Lumpur ke-5 untuk kategori Antagonis Pilihan menerusi drama ‘Andainya Takdir’ dan Pelakon Watak Antagonis Popular di Anugerah Bintang Popular Berita Harian ke-32.
Malah drama ‘7 Hari Mencintaimu 2’ juga mengangkat nama Shukri sebagai pemenang untuk kategori Pasangan Drama Terbaik bersama Siti Saleha di Anugerah Drama Sangat 2021.
Shukri yang pernah mencuba bakat sebagai pengarah menerusi telefilem ‘Raya Talak Satu’ (2022) berkata, ramai yang bertanya kenapa beliau tidak berlakon filem.
Katanya sebagai pelakon, sama ada tawaran filem atau drama jika ada peluang beliau tidak akan menolak cuma semua itu bergantung kepada situasi semasa.
“Saya selalu berpegang pada rezeki. Ramai kawan-kawan tanya kenapa tak buat filem, bukan tak nak buat tapi clash. Bagi saya mana-mana rezeki sampai, saya buat saja.
“Kalau semua orang nak berlakon filem, siapa nak berlakon drama. Begitu juga kalau semua nak berlakon OTT siapa nak buat drama. Kalau orang tak nak drama, biar saya saja yang ambil.
“Kadang-kadang saya dengar juga produser kata saya susah dapat sebab asyik main drama saja, tawarlah dulu nanti barulah cerita boleh ke tak. Saya perlu meneruskan kehidupan sebab saya perlu bayar komitmen setiap bulan, tak ada masa nak kena tunggu.
“Mana yang datang dulu itulah yang saya ambil kerana berlakon adalah sumber pendapatan saya. Sebenarnya ada saja tawaran berlakon filem tapi tak boleh terima kerana terikat dengan komitmen,” katanya yang melakonkan watak Fadlan dalam filem ‘Blood Brothers’, terbitan Skop Production yang bakal temui penonton pada 2025.
Jelas Shukri, kalau boleh beliau ingin berehat seketika terutamanya dalam bulan Ramadan mendatang walaupun ada beberapa produksi yang telah menghubunginya.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.