Oleh: Syed Wafa
Tercipta sejarah pada tanggal 18 Disember yang lalu merupakan tarikh paling bermakna buat penyanyi terkenal tanah air, Datuk Nora Ariffin kerana beliau telah berjaya mengadakan ‘Konsert Hanya Satu: Datuk Nora Ariffin 30 Years Journey’ di Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC), Bandar Utama.
Konsert yang berlangsung lebih kurang dua jam itu tidak terasa bila menyaksikan Nora menyanyikan semua lagu hitsnya dengan penuh bertenaga . Antara lagu-lagu yang dinyanyikan oleh Nora pada malam tersebut ialah, Rentak Jantung, Debaran, Dipersimpangan Dilema, Jentayu, Dendam Dalam Diam, Naluri, Hanya Satu, Menyemai Cinta Bersamamu, Interlude, Desa Tercinta, Materialistik, Selamnya Bahagia, Kenangan Terakhir, Sandiwara, Samudera, Joget Kelantan dan Sabar. Dengan suara beliau yang merdu dan masih mampu menyanyi dengan nada tinggi terbukti setelah tiga dekad, Nora masih mampu bertahan sehingga sekarang dan layak digelar “Living Legend”.
Paling mencuri tumpuan, Nora tidak dapat menahan sebak ketika segmen tribute untuk arwah suaminya iaitu Johan Nawawi. Menurut Nora, dia tidak dapat menahan air mata ketika kali pertama melihat ‘sample’ video untuk segmen AI (Kecerdasan Buatan) bersama Allahyarham suaminya. Penonton turut rasa pilu dengan segmen tersebut.
Menurut Nora segmen istimewa itu memang dibuat khusus untuk mengembalikan kehadiran Allahyarham yang juga tulang belakangnya dalam kerjaya seni selama ini.
Nora mahu semua penonton merasai kehadiran arwah dalam konsert ini. Dia insan yang mendorong saya sejak awal lagi. Lagu “Pinta”yang dinyanyikan arwah itu memang lagu duet dan kita buat dengan menggunakan teknologi yang ada untuk sampaikan mesejnya bersama kita dalam konsert ini.
“Segmen tersebut merupakan idea saya sendiri bersama pasukan produksi konsert berkenaan, pastinya menjadi satu kenangan amat berharga dalam perjalanan kerjaya seni saya,” kata Nora sebak.
Sebenarnya, Pengarah persembahan, Jennifer Thompson meminta supaya saya tidak emosi sangat kerana ia boleh mengganggu persembahan. Pada mulanya, pemilihan lagu dalam konsert ini banyak lagu sedih tapi Jennifer beritahu konsert ini adalah untuk menceritakan perjalanan karier seni saya selama 30 tahun. Kali pertama, saya tengok rakaman itu saya menangis tapi bila berlatih dengan ‘minus one’ saya tukar kesedihan itu dengan niat melakukan semua ini untuk arwah,” ujar Nora lagi.
Menurut Nora lagi, dia sudah meminta izin daripada suaminya yang sekarang untuk melakukan tribute tersebut.
Pada malam bersejarah itu juga Nora turut mengundang anak-anaknya untuk menyanyi bersama. Pada mulanya, Nora menjemput anaknya Putri Dahlia untuk duet lagu ‘Old Love’. Selepas itu, baru dia mengundang anak-anaknya yang lain untuk menyanyi lagu yang ditulis oleh arwah Johan buat mereka sekeluarga.
Segmen ini jelas membuktikan anak-anak merupakan sumber kekuatan Nora untuk meneruskan kerjaya seninya. Putri sempat berkata kepada Nora bahawa arwah pasti gembira melihat kekuatan yang ada pada dirinya. Ini kerana, arwah mempunyai hasrat untuk mengadakan konsert seperti ini. Tambahan, ramai kenalan arwah turut hadir pada malam tersebut.
Konsert yang dihadiri lebih 700 peminat setia Nora yang telah membanjiri Petaling Jaya Performing Arts Centre (PJPAC) pada malam tersebut. Selain peminat, rakan artis seperti Ziana Zain turut hadir memberi sokongan kepada beliau.
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.