Konsert yang membariskan bintang legenda tanah air.

Oleh: Khadijah Ibrahim

JIKA anda hadir ke konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 yang akan berlangsung pada 25 Januari 2025, di Zepp Kuala Lumpur, anda berpeluang menonton persembahan daripada Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Noorshila Amin, Andy Flop Poppy dan Amir Masdi.

Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 anjuran Pentas 365 Events itu adalah satu penghormatan kepada tiga dekad dan tiga era kegemilangan industri muzik Malaysia, yang menampilkan gabungan artis-artis legenda dari pelbagai genre muzik, termasuk pop, rock, dan balada.

Afiezan Shah Mohd Zahari (kanan) selaku penganjur bersama barisan penyanyi yang bakal menjayakan konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1.

Persembahan berkonsepkan ‘back to the 80’s & 90’s ini dijangka memberikan pengalaman yang penuh nostalgia bagi peminat muzik tempatan serta menyaksikan kolaborasi eksklusif yang jarang berlaku di atas pentas yang sama.

Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 ini bukan sahaja menjanjikan persembahan solo luar biasa, malah gabungan vokal-vokal hebat dalam segmen istimewa yang akan menyatukan penyanyi-penyanyi ini di atas satu pentas.

Persembahan Man Bai akan diiringi oleh Kid Search untuk lagu “Masih Aku Terasa”.

Peminat boleh menjangkakan detik-detik magis apabila artis-artis dari generasi berbeza bergabung dan membawa sentuhan istimewa dalam setiap persembahan terutamanya untuk lagu tribute kepada Allahyarham Jay Jay. Lagu Allahyarham yang dipilih untuk disampaikan secara beramai adalah lagu “Cukuplah Sekali” dan “Rindu Bayangan”.

Bakal mempersembahkan 22 lagu yang mana kesemua lagu pernah dipertandingkan dalam Anugerah Juara Lagu dan pernah memenangi acara berprestij itu. Ada di antara penyanyi akan mendendangkan tiga buah lagu hit mereka dan yang selebihnya akan mendendangkan dua buah lagu setiap orang.

Meskipun jumlah lagu yang didendangkan oleh setiap penyanyi terbatas, namun kehadiran anda di konsert tersebut dapat mendengar pelbagai lagu ‘original’ yang disampaikan oleh sembilan orang penyanyi.

Ramlah Ram bakal mendendangkan lagu, antaranya “Apa Khabar Mu Di Sana” dan “Kau Kunci Cintaku Dalam Hatimu”.

Malah, pada malam tersebut juga aka nada kemunculan istimewa daripada Kid Search yang juga pemain gitar asal kumpulan Gersang menerusi lagu “Masih Aku Terasa” bakal memberikan satu lagi momen berharga dalam konsert ini.

Penganjur konsert yang juga Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, gabungan kesemua artis dapat mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia.

“Konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis legenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa, dan kami teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi.

Noorshila Amin bakal nyanyi lagu “Kad Ucapanmu” yang merupakan lagu hitnya.

“Malah, karya setiap penyanyi yang terbabit dalam barisan konsert ini juga berjaya menyentuh hati ramai pendengar. Mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi adalah ikon yang mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita.

“Kami sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis serta nostalgia. Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hits daripada setiap artis tersohor akan diperdengarkan, membawa kembali memori indah untuk semua yang hadir.

“Kami berharap konsert ini akan menjadi satu perayaan yang tidak boleh dilupakan, di mana meriahnya muzik akan menghimpunkan peminat-peminat yang sudi bersama untuk meraikan perjalanan indah industri muzik Malaysia serta menghargai bakat-bakat yang terbukti hebat ini,” katanya tentang konsert yang menampilkan Shah Slam sebagai pengarah muzik.

“Tiada Lagi Kidungmu” antara lagu persembahan Nash di konsert tersebut.

Bagi melengkapkan lagi momen pada malam itu, penganjur mengajak penonton untuk sama-sama mengenakan ‘dress code’ bertemakan retro sekali gus mengabadikan memori bersama.

Tiket bagi menyaksikan konsert ini boleh didapati menerusi www.myticketempire.com. Maklumat tiket juga boleh diperolehi dengan melayari Instagram rasmi MEGAHITZ @pentas365.

Previous articleKonsert “Hanya Satu” Bukti Nora “Living Legend”
Next articleTeater Muzikal Sudirmania, kisah masyarakat berdasarkan lagu Sudirman

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here