Oleh: Khadijah Ibrahim
SELEPAS berduet dengan Akim menerusi lagu “Ritma & Rima” pada tahun lalu, kini Stacy Anam meneruskan kerjasama dengan suaminya menerusi lagu “Menyala”.
Untuk lagu “Menyala” mereka tidak berduet, sebaliknya Bunga Cantik, nama pena Stacy serta Hang Nadim (Akim Ahmad) bersatu menghasilkan lirik bersama, manakala melodi adalah ciptaan Stacy.
Menurut Stacy atau Ummu Shaikhah Stacy Anam, 34, beliau tidak mengambil masa yang lama untuk menghasilkan lagu “Menyala” kerana antara Bunga Cantik dan Hang Nadim sudah memahami tujuan dan isi lagu.
“Inspirasi untuk menghasilkan lagu ini lebih kepada kreativiti yang terinspirasi dari kesungguhan dan imajinasi bentuk persembahan secara langsung.
“Manakala liriknya pula diisi mengikut mood lagu iaitu dengan mencari titik tengah dalam meniti kehidupan dan juga meresap ketenangan, tidak kira dalam susunan muzik yang santai mahu pun ke susunan muzik yang lebih keras.
“Lagu “Menyala” dicipta bermula daripada siulan melodi yang mempunyai dua penyampaian perasaan berbeza. Pada awalnya ia lebih lembut dan seterusnya bertukar ke unsur rock yang lebih bertenaga. Terjemahan liriknya pula dihasilkan melalui feel melodi lagu tersebut dan dihabiskan dalam satu cerita,” jelas Stacy.
Tambah juara program realiti Akademi Fantasia (musim keenam) pada tahun 2008 itu, susunan muzik lagu “Menyala” membuat melodi dan lirik lagunya lebih hidup seiring dengan konsep dan nuansa lagu tersebut. Ia membawa hasil gabungan rentak reggaeton, rock dan kesan dramatik yang turut menjurus kepada pengaruh Nusantara.
“Lirik lagunya pula lebih kepada mengingatkan diri sendiri untuk sentiasa beringat dan berpada-pada dalam melakukan sesuatu hal. Macam saya sendiri, saya banyak menggunakan peringatan ini ketika membuat persembahan. Untuk mendapatkan keadaan sederhana ketika beraksi bersama penari, saya memerlukan ketenangan dan fokus yang jitu.
“Tak kisahlah dalam kehidupan atau apa sahaja perkara, kita perlu ada ketenangan ikut bersama. Dan kalau pada penyampaian menerusi muzik lagu ini sendiri, dia lebih kepada susunan graf momentum muzik,” tambahnya lagi.
Saat ditanya tentang harapan buat karya ini, Stacy hanya mahukan yang terbaik dari peminat dan pendengar.
“Semoga lagu ini mendapat tempat di hati pendengar terutama sekali para pengikut dan penyokong muzik Stacy. Lagu “Menyala” berbeza dengan lagu-lagu saya yang ada sebelum ni namun masih tetap atas landasan muzik Stacy. Semoga lagu “Menyala” turut dapat mewarnai industri muzik tempatan,” katanya penuh harapan.
“Menyala” merupakan kerjasama antara Sony Music Entertainment Malaysia, Alternate Records dan Rhythm & Rhyme Entertainment dan sudah berada di semua platform digital, manakala muzik video “Menyala” boleh ditonton di saluran YouTube sonymusicMYVEVO.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.