Oleh: Khadijah Ibrahim
JIKA anda adalah peminat drama ‘Berbagi Suami’, pasti sudah biasa dengar runut bunyi drama tersebut iaitu “Berbagi Hati” dendangan Khai Bahar dan Wany Hasrita. Lagu “Berbagi Hati” adalah karya ciptaan sepenuhnya komposer Amylea Azizan.
Bagi Khai Bahar atau Muhammad Khairul Baharuddin, 30, berduet dengan rakan artis lain bukanlah perkara baharu kerana sebelum ini Khai sudah berkolaborasi dengan hampir 10 orang penyanyi termasuk kumpulan Inteam.
Antara rakan duet Khai ialah Datuk Seri Siti Nurhaliza, Nabila Razali, Adira Suhaimi, Aina Abdul, Marsha Milan, Siti Nordiana dan Fatin Husna. Kebanyakan lagu duet Khai adalah runut bunyi untuk drama tempatan.
![](https://i0.wp.com/ladybosz.com/wp-content/uploads/2024/12/Wany-Hasrita-2.jpg?resize=852%2C1074&ssl=1)
“Sebenarnya sebelum saya bergandingan dengan Wany Hasrita untuk single ini, kami sudah terbiasa berduet untuk pelbagai acara peas sama ada di Malaysia mahupun Singapura.
“Tiada masalah untuk bekerjasama dengan Wany kerana kami merupakan penyanyi seangkatan yang sama-sama mula menapak dalam industri muzik sekitar tahun 2016.
“Saya senang bekerjasama dengan Wany kerana sudah lama mengenali diri masing-masing. Nota suara kami juga seakan sama dan serasi apabila digandingkan, terutamanya ketika menyanyikan lagu-lagu bergenre balada dan tradisional.
“Kami tidak mengambil masa yang lama untuk merakamkan lagu ini kerana sudah kenal dengan dinamik suara masing-masing, jadi proses rakaman berlangsung dengan mudah.
“Selain itu, kami banyak berbincang bagaimana hendak memberi ‘warna’ dalam lagu ini agar setiap karya yang kami nyanyikan bersama nampak berbeza dan tidak kedengaran mendatar,” jelas Khai tentang pengalamannya bersama Wany Hasrita di dalam studio rakaman.
Selain bernyanyi, Khai juga aktif berlakon dalam beberapa drama bersiri produksi tempatan. Ujarnya, sebagai anak seni, beliau mahukan setiap lakonan mahupun nyanyian mendapat perhatian. Khai berharap duetnya bersama Wany Hasrita diterima oleh semua pendengar.
Lagu “Berbagi Hati” yang dicipta dalam nuansa balada ini mengisahkan tentang hubungan pasangan kekasih ataupun suami isteri yang terikat dengan kenangan silam, masing-masing dibayangi sejarah cinta lalu dan cuba berjuang demi cinta yang baharu.
![](https://i0.wp.com/ladybosz.com/wp-content/uploads/2024/12/Wany-Hasrita-3.jpg?resize=852%2C1145&ssl=1)
Namun apakah mereka boleh bahagia? Inilah mesej yang cuba disampaikan melalui lagu ini, kompleksiti dalam percintaan, perjuangan emosi dan keinginan untuk bahagia semula.
Bagi Wany Hasrita atau Nurshazwany Hasrita Hasbullah, 32, pelawaan dari pihak Sony Music Malaysia untuk berduet bersama Khai merupakan sebuah penghargaan besar buat dirinya yang kini bergerak solo.
“Sejujurnya saya sangat berterima kasih kepada Sony Music kerana sudi bekerjasama dengan saya untuk menghasilkan single ini. Saya amat berbesar hati diberi kepercayaan untuk menyanyikan karya ciptaan insan-insan hebat, ditambah pula dapat berkolaborasi dengan rakan seni yang mempunyai nama besar seperti Khai Bahar dalam industri muzik kita.
“Alhamdulillah, akhirnya dapat juga kami ‘berbagi hati’ di tahun 2024 ini. Secara jujur, ia bukanlah sebuah proses yang mudah namun mampu untuk dilaksanakan. Saya bersyukur kerana mempunyai ‘support system’ yang kuat, suami dan keluarga banyak membantu,” akui ibu kepada Aishah Al Iman.
Lagu “Berbagi Hati” sudah berada di semua platform digital seperti Apple Music, Deezer, KKBox dan Spotify. Manakala muzik video (MV) single boleh ditonton di YouTube sonymusicMYVEVO.
![Khadijah Ibrahim](https://i0.wp.com/ladybosz.com/wp-content/uploads/2024/11/Khadijah.jpg?resize=100%2C100&ssl=1)
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.