Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Ehsan Nabila Razali
MESKIPUN tidak menang sewaktu menyertai program Akademi Fantasia musim ke-10 pada 2013, rezeki Nabila Razali dalam bidang seni suara tetap menyerlah berbanding peserta yang lain.
Sejak keluar daripada Akademi Fantasia hingga kini Nabila atau nama lengkapnya, Nur Nabila Mohd Razali, 32, telah menghasilkan kira-kira 12 buah single termasuk yang terkini, “Cacaca”.
Nabila atau selesa membahasakan diri sebagai Bella berkata, beliau cukup senang berkolaborasi dengan Bella Astillah dalam lagu “Cacaca” ciptaan Mage (Faithful Publishing), Ja’a (Faithful Publishing) dan Ezra Kong (Raksasa Studio) itu yang kini boleh didapati di semua platform penstriman digital, termasuk Spotify, Apple Music, dan YouTube Music.
Ini bukanlah kali pertama Bella berduet atau berkolaborasi dengan penyanyi lain. Sebelum ini anak bongsu daripada tiga beradik itu pernah bekerjasama dengan Prisilla Abby untuk runut bunyi filem Lee Chong Wei: Rise of the Legend yang berjudul “Cahaya Juara” pada 2018.
Lain-lain pasangan duet Bella ialah Keisya Levronka untuk lagu “Tak Ingin Usai” pada 2022 dan pada 2023, berkolaborasi dengan Khai Bahar untuk runut bunyi drama ‘Kerana Cinta Itu Ada’ menerusi lagu “Selagi Ku Ada”, bersatu suara dengan Adi Priyo dalam lagu “Tulus” serta “Cerita Kita” bersama Insomniacks. Malah sebelum itu, beliau pernah mengundang MK Clique untuk berkolaborasi dalam lagu “Peluang Kedua” versi baharu pada 2020.
Bagi Bella, lagu “Cacaca” ini kena dengan karakter dan vokalnya serta Bella Astillah. Ditambah pula penerbit muzik, Adib Hussin selaku memahami karakter dan vokal mereka dan secara tidak langsung ia memudahkan proses rakaman.
“Bella rasa single “Cacaca” ini adalah lagu yang tepat untuk Bella kerana peminat-peminat selalu bertanya bila lagi nak keluarkan lagu catchy macam dulu, asyik galau saja. Bila ditawar oleh pihak Faithful dan Universal Music untuk menyanyikan lagu “Cacaca” ini, Bella dengar demo dan terus rasa lagu ini okey dengan karakter Nabilla Razali yang orang rindukan.
“Bekerjasama dengan Bella Astillah juga sangat mudah. Biarpun jadual masing-masing sibuk, tapi kami berdua cuba untuk memberi yang terbaik menerusi lagu ini. Bella rasa satu nama yang tak sangka akan berduet bersama, jodoh kami kuat. Sebelum ini kami selalu jumpa di beberapa acara dan akhirnya dalam sebuah lagu “Cacaca”.
“Sewaktu rakam lagu, alhamdulillah semuanya dipermudahkan saja dan sampailah ke hari pelancaran lagu, Bella rasa lagu ini berjaya tarik perhatian ramai. Walaupun baru dua hari dilancarkan tapi semua orang banyak repost kat story dan pakai kat write up video, alhamdulillah satu permulaan yang baik untuk lagu ini.
“Bila lagu ini mendapat sambutan mungkin di masa akan datang, Bella akan buat genre sebegini lagi. Bella bersyukur kerana dengan lagu “Cacaca” masih ada yang menyokong tak kira apa status Bella. Peminat sentiasa sokong. Begitu juga dengan semua pihak yang bekerjasama telah memberi komitmen dengan sangat baik,” katanya yang tampil dengan single pertama “Cemburu” pada 2016.
Teruja dengan sokongan peminat, Nabila, berharap agar peminat dapat menerima dengan penuh hati buah tangan terbaharunya bersama Bella Astillah itu. Malah, beliau yakin bahawa kolaborasi itu adalah suatu karya yang dapat menghiburkan dan memuaskan hati peminat mereka.
“Buat masa sekarang, fokus utama Bella adalah kepada lagu ini dahulu. Bella ingin memberi yang terbaik dengan segala usaha dan kreativiti Bella untuk memastikan lagu ini dapat diterima dengan baik oleh seluruh peminat dan pendengar.
“Jika dalam masa akan datang terdapat peluang untuk melakukan kolaborasi lain, Bella pasti akan berkongsi berita baik itu kepada semua, kerana keterbukaan dan interaksi dengan peminat sangat Bella hargai,” tambahnya.
Ujarnya, “Cacaca” bukan sekadar lagu cinta semata-mata, cemburu atau curang tapi lagu ini lebih kepada untuk tingkatkan rasa sayang kepada diri sendiri (self love) terutamanya dalam diri anak muda.
Selain itu katanya, lagu berentak happy pop amat mudah untuk tarik perhatian pendengar dan sekali gus lagu tersebut dekat dengan hati pendengar dan boleh mengambil iktibar daripada lirik lagu tersebut.
“Dalam kehidupan manusia, apa-apapun kita kena berusaha dulu kemudian barulah bergantung kepada takdir. Selalunya orang kata, dah takdir nak buat macam mana! Kalau kita sayang diri sendiri, kita akan berusaha sungguh-sungguh untuk dapatkan apa yang kita ingin seperti lirik lagu “Cacaca“ (99 peratus usaha dan lagi satu peratus nasib kita) barulah kita tawakal dan berserah kepada-NYA.
“Macam Bella Astillah ada strugglenya sendiri dan Bella pun pernah ada pengalaman struggle dalam industri. Kami berdua mungkin ada pengajaran yang kami nak kongsi dengan orang di luar sana. Apa-apa pun kita kena berusaha dulu dan kemudian barulah kita kata takdir atau nasib.
“Apa yang penting adalah kami berniat untuk memberi mesej kepada anak muda di luar sana. Dengan cerita yang tidak-tidak di luar sana, Bella rasa kita banyak feed (suap) mereka dengan lagu negatif seperti galau atau merentan, memang bagus kerana mendapat sambutan.
“Apapun sebagai anak seni kita kena variasikan lagu. Mungkin tugas kami berdua melalui lagu “Cacaca” ini untuk memberi semangat kepada orang di luar sana. Lagu itu bermesej kerana self love itu sangat penting pada setiap orang.
“Kekadang tu kita cinta orang lain sampai 200 peratus tapi lupa nak sayang diri kita sendiri. Sebab itu kita biarkan diri kita ditindas. Kita terlalu layan sangat dan tidak berusaha untuk menyayangi diri sendiri,” katanya yang popular dengan lagu “Pematah Hati” yang dikeluarkan pada 2017.
Bella yang menunggu hari untuk melahirkan anak sulung pada Januari ini berkata, beliau beruntung kerana suami, Nik Iruwan Nik Izani, ahli perniagaan dan bekas pelumba kereta, yang disatukan pada 18 November 2023 tidak menghalang kerjaya seninya.
“Suami okey dan dia pesan jaga diri, jangan over work dan alhamdulillah itupun satu rezeki juga dapat suami yang memahami. Sebenarnya, November lalu dah rancang nak rehat sementara tunggu hari bersalin. Dah cuba tapi tak boleh sebab Bella terbiasa kerja, bila duduk saja jadi bosan.
“Apa yang Bella boleh cakap adalah rezeki dan kita tak boleh nak tolak. Bukan rezeki untuk baby saja tapi untuk Bella juga sebab dapat kenal dengan orang sekuat Bella Astillah. Macam sekarang ini masih diberi tenaga untuk bekerja tetapi sebenarnya saya sedang menunggu hari untuk bersalin.
“Tak lama lagi Bella akan berehat dan sekarang ini alhamdulillah sempat lagi nak release lagu dan promote lagu ini di radio dan TV sebelum bersalin pada Januari 2025. Bella dah tanya semua orang, sepanjang hamil mudah kerana orang sekeliling pun bayak menolong. Team pengurusan Bella pun banyak jaga Bella dengan baik,” katanya.
Bella yang merupakan lulusan Ijazah Sarjana Muda Senibina dari Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang itu juga pernah menganggotai kumpulan The Lomas bersama Aisyah Aziz, Amira Othman dan Indah Ruhaila pada 2015 dan sempat menghasilkan dua single iaitu “Bila Larut Malam” dan “Rindu”.
Sepanjang tempoh pembabitannya dalam bidang seni suara, seperti penyanyi lain Bella juga pernah melalui fasa getir apabila beliau mendapat kecaman teruk kerana kejadian ‘terkucil’ ketika mendendangkan lagu “Peluang Kedua” di pentas Anugerah Juara Lagu (AJL) Ke-35 pada 2021.
Insiden tersebut tidak mematahkan semangat Bella dan dari masa masa ke sama, belia sentiasa memperbaiki kelemahan diri sehinggalah lagu duetnya besama Khai Bahar, “Selagi Ku Ada” mampu melangkah ke AJL 38 pada Mac lalu.
Selain menyanyi, Bella juga dikenali kerana lakonan hebatnya dalam drama tempatan. Drama pertama lakonan beliau adalah ‘Bibik Aku Nak Kahwin’ sebagai Sofea pada 2013. Pada 2017, beliau berlakon bersama Alif Satar dalam drama ‘Hikayat Cinta Si Pematah Hati’.
Lain-lain drama lakonan beliau adalah ‘Cik Reen & Encik Ngok Ngek’, ‘Kebaya Kasut Kanvas’, ‘Biar Mereka Cemburu’, ‘Kerana Cinta Itu Ada’ dan pernah muncul sebagai pelakon undangan dalam filem ‘Keluarga Iskandar The Movie’ pada 2020.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.