Oleh: SYED WAFA
Foto: Ehsan “Malaysia Community Crime Care” (MCCC)
BAGI mereka yang tidakmengenali beliau apabila menyebut namanya ramai yang merasa sedikit gusar apabila teringat akan raut wajahnya yang serius seolah-oleh membayangkan sikapnya yang tegas dan sukar didampingi.
Malah kadangkala ada yang terus membuat persepsi beliau seorang yang agak “garang” dan ini membuatkan ada yang takut dan mengaku kalah sebelum berdepan dengan beliau.
Tetapi anggapan tersebut amat meleset apabila berjumpa beliau terutama di luar majlis sidang akhbar ketika beliau menyandang tugas sebagai Ketua Polis Negara.
Siapa sangka di sebalik raut wajahnya yang serius, beliau adalah seorang yang mesra dan peramah dan apabila berbicara dengannya kita bagaikan sudah mengenali beliau bertahun-tahun lamanya.
Itulah sikap sebenar seorang insan hebat bernama Tan Sri Musa Hassan, bekas Ketua Polis Negara ke-lapan yang amat kita kagumi, beliau berkhidmat sejak 12 November 2006 sehingga 12 September 2010.
Musa Hassan merupakan anak sulung kepada seorang guru al-Quran dan Qiraati, Allahyarham Tan Sri Datuk Hassan Azhari yang amat terkenal dan berjasa kepada tanah air.
Sebagai anak seorang guru al-Quran, Musa Hassan diberi didikan agama yang mendalam sehingga menjadikan beliau bukan sahaja seorang anak yang menghormati ayah dan ibu. Malah ia juga menjadi pendinding hingga menjadi insan yang berjaya dan berjasa pada agama, bangsa dan negara.
Selain Musa Hassan, antara adik beradik beliau yang lain Datuk Fuad Hassan, Datuk Jalaluddin Hassan yang merupakan pelakon terkenal tanah air, Datuk Mohd. Zain Hassan dan seorang adiknya, Mohammad Izzat mengikut jejak langkah beliau dengan menceburi bidang kepolisan.
Sepanjang menjalankan tugasnya sebagai Ketua Polis Negara dan di atas kepercayaan yang diberi, Musa Hassan berjaya membenteras dan menyelesaikan banyak kes jenayah berat dengan sungguh efisen termasuklah tidak bertolak ansur dalam segala bentuk penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa serta rasuah.
Sepanjang sebagai anggota polis, beliau seorang yang penuh dedikasi dan berani, tidak dinafikan pelbagai cabaran yang harus ditempuhinya yang mana beliau sanggup menyamar sebagai penarik beca dalam satu operasi membanteras sindiket pengedaran dadah di Pulau Pinang pada tahun 1980-an.
Malah membanggakan beliau pernah bekerja bersama dengan Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar sebagai penjual air tebu dalam usaha memberkas seorang pengedar dadah di Selangor.
Sepanjang berkhidmat dalam bidang kepolisan, Musa Hassan bermula antaranya sebagai Inspektor Pelatih pada tahun 1969 pernah menyandang tugas sebagai Inspektor Siasatan Khas (1970) dan pernah bertugas sebagai Pensyarah Undang-Undang di Maktab PDRM, Kuala Kubu Baru (1986), Timbalan Ketua Sekolah Perundangan (Maktab PDRM, Kuala Kubu Baru – 1988), Penolong Pengarah Pendakwaan/ Undang-Undang (JSJ Bukit Aman -1995), Ketua Polis Johor (2003) dan Timbalan Ketua Polis Negara pada tahun 2005.
Pada usia 58 tahun, setelah 41 tahun berkhidmat dalam bidang kepolisan dengan membanteras jenayah demi keamanan negara akhirnya, Musa Hassan bersara pada 12 September 2010.
Berucap pada majlis meniti hari pesaraannya di Mess Pegawai Bukit Aman pada 9 September 2010, Musa Hassan mengingatkan kepada anggota polis bahawa polis bukan orang suruhan kepada individu tertentu ketika dalam perkhidmatan.
“Bila membuat keputusan semasa bertugas, jangan berubah-ubah walaupun ada tekanan dari luar.
“Kita ambil tindakan mengikut fakta dan bukannya menjadi ‘yes man.’ Kalau ini berlaku, Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan lingkup.
“Sebagai anggota dan pegawai PDRM jangan amalkan sikap berpuak-puak dan menjadi ‘pak turut’ bagi mengelak PDRM daripada gagal menjalankan tanggungjawab dengan lebih berkesan.
“Intergriti setiap jabatan dalam PDRM amat penting untuk kebaikan setiap pegawai dan anggotanya. PDRM bukan peminta sedekah dan bukan ‘pungut duit orang lain’ tetapi kewujudannya adalah untuk menjaga keamanan masyarakat dan negara,” kata Musa Hassan dengan tegas.
Setelah 14 tahun bersara dan berlatarbelakangkan sentiasa berkhidmat untuk orang ramai, kini Musa Hassan merupakan Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia atau Malaysia Community Crime Care (MCCC) MCCC) iaitu Badan Bukan Kerajaan (NGO) bersama isteri tercinta, Puan Sri Qistina Lim begitu aktif menjalankan kerja-kerja amal dalam membantu masyarakat mendapatkan perlindungan dari undang-undang yang tulus dan kini giat membantu mangsa banjir di bawah Program Bantuan Banjir MCCC.
Dalam masa terdekat Musa Hassan bersama MCCC dalam Program Bantuan Banjir Jitra Kedah yang akan bermula dari 13 Disember sehingga 15 Disember dengan memberi sumbangan kepada mangsa banjir yang memerlukan.
Disamping itu, sesuai dengan jawatannya sebelum ini sebagai Ketua Polis Negara, perjuangan Musa Hassan dalam membenteras kegiatan rasuah tidak pernah terhenti.
Sebagai Presiden MCCC, beliau sentiasa memberi fokus membenteras kegiatan rasuah dengan tegas dan berani.
“Masalah rasuah di negara kita di tahap yang membimbangkan dan perlu di atasi segera, harap masyarakat berani buat aduan dan setiap pengadu akan dilindungi,” kata Musa Hassan bersungguh-sungguh.
Bagi mereka yang ingin bersama-sama membantu kerja amal yang dilakukan oleh insan yang kita kagumi, Musa Hassan bersama MCCC bolehlah salurkan sumbangan anda di akaun Maybank : Malaysia Community Crime Care – 564249422939
Kami di Ladybosz sentiasa mendoakan Musa Hassan bersama isteri tercinta sentiasa dirahmati Allah SWT…Amin
SYED Wafa pernah menulis dan melukis di Utusan Malaysia (sisipan Remaja), URTV, Mangga, Hai serta pernah menjadi Editor Majalah Oh-Gee.