Oleh Nury Kadir
Ahhhh nikmatnya tidur! Tidur itu kena cukup-cukup saja, tidak boleh kurang dan tidak boleh terlebih. Pada tidur itu terungkap tanda kekuasaan dan kebesaran Allah. Dan, kisah tidur paling indah adalah tidurnya Ashabul Kahfi yang tercatat di dalam al-Quran. Selama 309 tahun, namun mereka hanya merasakan tidur dalam satu hari atau setengah hari, dalam keadaan badan, rambut dan kulit mereka masih dalam keadaan sihat.
Daripada kisah tidurnya Ashabul Kahfi mencetuskan banyak cabang penyelidikan dilakukan oleh cendiakawan Islam dan ulama terdahulu. Misalnya, al-Khindy buat pertama kalinya mengemukakan teori relativiti masa apabila membincangan mengenai tidur Ashabul Kahfi. Sekarang apabila sebut teori relativiti masa orang hanya kenal Albert Einstein berbanding Al-Kindy. Sedangkan al-Khindy hidup sekitar tahun 801-873 masihi manakala Einstein hidup sekitar 1879-1955.
Menurut al-Khindy dalam teori relativitinya, jika suatu benda bergerak dengan kecepatan mendekati kepantasan cahaya maka benda tersebut akan mengalami dilasi masa, sehingga wujud Ashabul Kahfi tidak terlihat disebabkan dilasi masa itu.
Manakala di dalam Al-Quran pun Allah sudah menyebut tentang relativiti masa. Misalnya dalam surah al-Hajj ayat 47, maksudnya: “Sesungguhnya sehari di sisi Allah seperti seribu tahun menurut penghitunganmu.”
Begitu juga firman Allah dalam surah as-Sajadah ayat 5, maksudnya: “Dia mengatur urusan dari langit ke bumi, kemudian (urusan) itu naik kepada-Nya dalam satu hari yang kadar (lama)nya adalah seribu tahun mengikut hitunganmu.”
Apa yang kita boleh dapat daripada kisah tidurnya Ashabul Kahfi? Tidur adalah tuntutan fisiologi yang sama pentingnya dengan keperluan makan. Setiap individu memerlukan tidur untuk memulihkan stamina dan memperbaiki sel-sel yang rosak. Secara normalnya manusia perlukan tidur antara 6-8 jam sehari.
Ada satu kajian menarik yang dilakukan oleh Rifqatul Husna, Faridatul Hasanah dan Salih Abdulrahman Alsounusi dari Universiti Nurul Jadid Probolinggo, Indonesia, mengenai tidur Ashabul Kahfi. Pada ayat 11 surah Al-Kahfi, Allah berfirman bermaksud, “Lalu Kami tutup telinga mereka di dalam gua itu selama beberapa tahun.”
Kajian tersebut menjelaskan bahawa aktiviti sistem ARES (Ascending Reticular Activating System) yang berfungsi untuk menghantarkan implus yang berasal dari Reticula Formation yang berasal dari otak tengah melalui thalamus menuju bahagian cortex, dinyahaktifkan. Sistem ini berhubung ke jaringan saraf pendengaran, yang memiliki pendengaran dan keseimbangan di dalam dan di luar tubuh secara bersamaan.
Saat seseorang terjaga, fungsi keseimbangan telinga bahagian dalam memainkan peranan penting kerana dapat memulai aktiviti semua jaringan dan fungsi tubuh lainnya. Hal ini selaras dengan ayat 11 surat Al-Kahfi yang mana Allah menutup telinga Ashabul Kahfi supaya tidak ada suara yang mampu untuk membangunkannya.
Setiap hari semua manusia yang sihat akan mengalami dua keadaan iaitu tidur dan jaga, kedua-duanya adalah berbeza. Ketika tidur, seseorang akan terhubung dengan alam semesta sedangkan orang terjaga terhubung dengan dunia nyata. Kepada manusia biasa tidur yang berlebihan boleh membawa kesan buruk kepada kesihatan namun tidak bagi Ashabul Kahfi. Mengapa?
Kerana, Pertama- Allah menyahaktifkan ARES pada otak Ashabul Kahfi sehingga mereka tidak mampu mendengar suara apapun dari luar gua.
Kedua- Allah mengatur pancaran sinar matahari sesuai keperluan sehingga tubuh Ashabul Kahfi tidak terbakar oleh panahan sinar matahari yang berlebihan.
Ketiga- menurut Ibnu Abbas dalam kitab Mafatih AlGhyab tujuan dari membolak-balikkan tubuh saat tidur agar tubuh Ashabul Kahfi tidak dimakan tanah. Ini kerana:
Pertama, sebahagian besar komposisi tubuh manusia terdiri dari cecair yang membentuk dua pertiga dari berat badan dan peratusannya lebih tinggi ketika usia muda. Sebahagian besar cecair ada di luar sel dan cecair yang ada di luar sel atau di antara sel volumenya sekitar sepuluh liter. Jumlah cairan yang berreaksi terhadap gravitasi, ketika berjalan selama berjam-jam kaki akan bengkak.
Kedua, ketika seseorang tidur hanya dalam satu posisi saja, maka cecair yang terdapat di antara sel-sel tubuh cenderung menuju ke sisi tubuh yang melekat pada tanah. Pada waktu yang sama kulit bahagian tubuh mengalami tekanan sehingga mengganggu peredaran darah ke daerah tubuh yang melekat ke tanah. Seandainya keadaan itu berlangsung pada waktu yang sangat lama dengan tanpa adanya perubahan posisi, maka akan mengakibatkan terjadinya kematian kulit secara bertahap (luka tempat tidur) seperti kulit melepuh, daging dan tulang kelihatan. Luka tempat tidur akan mengakibatkan komplikasi serius pada tubuh dan perlukan waktu yang lama untuk mengubatinya.
Begitulah indahnya kisah Ashabul Kahfi yang mengungkap tentang kekuasaan Allah, kehebatan-Nya dan kebijaksanaan Sang Pencipta untuk kita memikirkannya. Tidur itu suatu nikmat sebenarnya, berapa ramai orang kaya, jelita, terkenal dan memiiki segala-galanya tetapi tidak boleh tidur. Akhirnya mereka ambil pil tidur untuk mendapatkan nikmat tidur yang sudah hilang.
Untuk mendapatkan nikmat tidur itu bukan pada tilam yang empuk, bantal yang gebu dan bilik yang selesa tetapi kena minta pada Allah. Nikmat itu milik Allah jadi merayulah pada-Nya agar dikekalkan nikmat tidur.
Sebagaimana janji Allah dalam surah Al-Furqan ayat 47, maksudnya: “Dialah yang menjadikan malam untukmu (sebagai) pakaian dan tidur untuk beristirehat dan Dia menjadikan siang untuk bangkit berusaha.”
• Ikuti sambungan artikel akan datang amalan yang dilakukan Rasulullah SAW untuk mendapat tidur yang berkat dan nikmat.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.