Oleh: Khadijah Ibrahim
SEDAR tak sedar sudah 25 tahun Dayang Nurfaizah berkecimpung dalam industri muzik tempatan dan sebagai tanda terima kasih atas sokongan peminat terhadap perjalanan seninya, penyanyi asal Sarawak itu melancarkan album studio ke-11 berjudul “Janji”.
Jelas Dayang, “Janji” melambangkan pengisytiharan kuat terhadap komitmen beliau kepada peminat dan dirinya sendiri iaitu berjanji tidak akan menyerah dalam perjalanan seni dan terus menyajikan muzik terbaik.
Malah, album yang menampilkan koleksi 13 lagu yang disusun teliti oleh Dayang dalam susunan tertentu menjadi bukti betapa dedikasi dan semangatnya Dayang terhadap seni muziknya.
“Album ini menyulam pelbagai melodi menyentuh jiwa, lagu-lagu anthem yang penuh kemenangan, dan balada intim, setiap satunya dipilih untuk menjadi teman setia melalui pelbagai musim emosi dalam hidup, memberikan sesuatu yang Istimewa untuk setiap kisah peribadi peminat.
“Untuk album “Janji” ini juga Dayang, 43, bekerjasama dengan barisan pemuzik yang mengagumkan. Album ini menampilkan kolaborasi bersama penerbit dan penulis lagu ternama seperti Aubrey Suwito, Ajai, Audi Mok, Aisha Retno, dan ramai lagi.
“Setiap penyumbang membawa visi seni unik mereka, memperkaya landskap muzik album sambil mengekalkan identiti saya yang tersendiri,” jelasnya.
Single utama album ini, “Lemah”, hasil ciptaan penyanyi, pencipta lagu dan penerbit Hael Husaini, yang dilancarkan pada 18 Oktober lalu bersama video muzik memukau berjaya menyentuh emosi ramai.
Kekuatan emosi dalam lagu dan visualnya menerima pujian meluas, di mana pendengar terhubung dengan mesej tulus dan penyampaian seni yang luar biasa. Tidak dinafikan vokal penuh penghayatan Dayang dan penceritaan sinematik dalam video tersebut mencipta pengalaman muzik yang menggetarkan, mempamerkan keunggulan seni yang menjadi tanda aras karier gemilang Dayang.
Selain itu, salah satu sorotan bermakna dalam album ini ialah lagu “Mencintai Cinta” ciptaan Ajai dengan lirik oleh Allahyarham Iman Imran. Sebelum itu arwah pernah menulis lirik untuk lagu hit Dayang seperti “Di Pintu Syurga” dan “Lelaki Teragung”, karya terakhir ini ditulis sebelum pemergiannya pada tahun 2022.
Dayang atau nama penuhnya Dayang Nurfaizah Awang Dowty melahirkan rasa sedih kerana arwah yang juga teman baiknya itu kembali ke rahmatullah sebelum karya tersebut dirakam.
“Lagu itu sepatutunya dirakam dua tahun lalu tapi terpaksa ditangguhkan dulu sebab ketika itu saya rasa tidak sihat. Sudah masuk studio dan buat rakaman lagu “Mencintai Cinta” tapi apabila dengar balik, Ajai tak puas hti dan suruh saya pulang dulu dan tak sangka waktu itu saya positif Covid-19.
“Itulah bila dengar lagu ini saya rasa sedih sebab penulis liriknya pergi dulu dua hari selepas penangguhan rakaman lagu tersebut. Kita hanya merancang Allah yang menentukan dan ternyata Allah lebih menyanyangi arwah. Proses rakaman lagu tersebut hanya dapat disambung semula pada September lalu iaitu dua tahun selepas pemergian arwah. Album ini saya dedikasikan untuk beliau,” katanya.
Kongsi Dayang lagi, sewaktu rakaman beliau terpaksa mengalihkan perhatian terhadap perkara lain bagi mengelakkan dirinya beremosi ketika proses rakaman lagu tersebut.
Lagu ini menyerlahkan vokal penuh jiwa Dayang, komposisi melodi Ajai, dan penceritaan penuh makna oleh Iman Imran sebagai bukti kolaborasi seni yang sangat bermakna.
Sebagai penghargaan kepada peminat setianya dan perjalanan bersama mereka, Dayang menyusun semula lagu “Hakikat Cinta”, single debutnya yang dilancarkan pada tahun 1999 dan menjadi kegemaran sepanjang masa.
Dihasilkan oleh Genervie Kam, versi baharu ini meraikan perjalanan 25 tahun Dayang, menawarkan kenangan indah untuk pendengar lama sambil menampilkan evolusi vokal dan seni muziknya. Gabungan sempurna antara masa lalu dan masa kini ini menghubungkan akar Dayang dengan gaya muzik semasanya. Dayang meluahkan penghargaan tulusnya kepada peminat.
“Kepada peminat luar biasa saya, sokongan anda yang tidak berbelah bahagi adalah nadi muzik saya. Anda sentiasa bersama saya dalam saat suka dan duka, dan kepercayaan anda menjadi inspirasi saya yang berterusan.
“Terima kasih kerana menjadi peminat terbaik yang boleh diminta. Inilah untuk lebih banyak tahun mencipta muzik dan kenangan bersama,” ujar Dayang yang sentiasa menghargai sokongan padu daripada peminatnya.
Khadijah Ibrahim adalah seorang wartawan hiburan, pernah bertugas di Kumpulan Utusan sebagai wartawan di URTV dan jawatan terakhir adalah sebagai Penolong Pengarang Hiburan di Utusan Malaysia serta Berpengalaman sebagai “Content Writer”di Majalah Suria 7.