Wani Kayrie harap single baharunya itu mendapat sokongan daripada peminat.

Oleh: Khadijah Ibrahim

ORANG tua-tua pernah kata, kalau kita tersedak masa sedang makan atau minum, maknanya ada orang yang sedang menyebut nama kita atau sedang mengumpat kita. Boleh percaya ke atau kebetulan sahaja.

Apapun, agak-agaknya dalam sehari berapa kali penyanyi Aiman Tino akan melalui situasi tersebut. Ini kerana Wani Kayrie baru sahaja melancarkan single baharunya berjudul “Aiman Tino” yang memang merujuk kepada penyanyi “Ku Rela Dibenci” itu.

Dari kiri, Sher Leen Wee, Wani Kayrie, Prem Anand (VP of Rocketfuel) dan Syakireen Othman (Head of Music & Content).

Komposer dan penulis lirik lagu ini, Ezra Kong tidak menafikan bahawa sewaktu mencipta lagu ini beliau membayangkan Aiman Tino sebagai seorang lelaki yang mempunyai imej yang kemas serta tajam dan perkara tersebut telah memberikannya idea untuk menghasilkan sebuah lagu yang ceria dan ‘catchy’.

Lagu berentak ‘catchy’ itu mengisahkan seseorang yang sedang memendam perasaan menanti seseorang yang sering bermain di dalam fikirannya.

Malah Ezra juga berharap lagu ini akan menampilkan sisi penceritaan yang segar dalam lagu-lagu cinta selain daripada memberi kesan yang baik kepada para pendengar dan mereka boleh mengaitkan lagu ini dengan pengalaman hidup masing-masing.

Keistimewaan lagu “Aiman Tino” terletak pada korusnya .

Malah Aiman Tino atau nama sebenarnya Mohd. Aiman Yusri tahu lagu dendangan Wani Kayrie ada menyebut namanya kerana telah dimaklumkan sebelum lagu tersebut dilancarkan.

Baginya tiada masalah, sebaliknya merasa bangga kerana komposer tersohor yang pernah memenangi Anugerah Juara Lagu, iaitu Ezra Kong menggunakan namanya sebagai judul lagu.

Lagu “Aiman Tino” mendapat sentuhan budaya pop yang unik dan mampu membuatkan pendengar mudah dan terhibur sewaktu mendengarnya. Gabungan unsur-unsur humor, flirtasi dan bercampur emosi akan memberikan pendengar sebuah lagu yang ringan tetapi mempunyai makna yang tersendiri.

Lagu “Aiman Tino” nyanyia Wani Kayrie merupakan ciptaan sepenuhnya oleh Ezra Kong.

Wani Kayrie atau nama penuhnya Syazwani Abdullah, 24, mengakui sewaktu ditawarkan lagu ini, beliau gembira kerana dapat menyanyikan lagu yang sangat ‘catchy’ dan kena dengan minatnya.

“Keistimewaan lagu ini terletak pada korusnya di mana ianya lebih mudah melekat dalam pemikiran pendengar. Saya juga ada berbincang bersama Ezra Kong untuk menambahkan sedikit elemen kemelayuan pada bahagian ‘bridge’ lagu ini bagi membezakan identiti saya berbanding lagu-lagu sebelum ini.

“Lagu ini mampu memberi kesan positif dalam diri pendengar. Ini kerana rentak lagu “Aiman Tino” berkonsepkan rancak, happy dan pasti membuatkan pendengar ingin mendengarnya berulang kali. Disebabkan faktor tersebut, saya bersetuju untuk menyanyikan lagu ini.

“Aiman Tino” mengisahkan seseorang yang sedang memendam perasaan menanti seseorang.

“Selain itu, saya juga teruja kerana dapat bekerjasama dengan seorang penggubah lagu yang besar bakatnya dan pernah memenangi pelbagai anugerah di Anugerah Juara Lagu,” kata penyanyi kelahiran Sandakan, Sabah itu.

Wani yang pernah mewakili Malaysia ke pertandingan World Championship Of Performing Arts (WCOPA) di Hollywood, California, Amerika Syarikat pada Julai 2018 berharap lagu “Aiman Tino” mendapat tempat di hati peminat dan pendengar tanpa mengira usia. Tambahan, mereka yang sedang memendam perasaan kepada orang lain pastinya boleh mengaitkan lagu ini dengan kisah hidup mereka.

Sementara itu, Ketua Rocketfuel Entertainment iaitu Sher Leen Wee, menyifatkan lagu “Aiman Tino” ini sebagai sebuah lagu yang berpotensi besar dan kena dengan selera pendengar masa sekarang.

Wani Kayrie tampil dengan single “Aiman Tino”.

Lagu bersifat ‘catchy’ ini dilihat mempunyai ciri-ciri seperti lagu antarabangsa yang lain tapi melodinya masih mengekalkan elemen tempatan.

“Wani Kayrie juga sangat sesuai membawakan lagu ini kerana beliau merupakan seorang penyanyi serba boleh yang dapat membawakan pelbagai jenis genre.

“Kami melihat Wani boleh membawa lagu ini ke tahap yang lebih tinggi. Sebagai sebuah syarikat rakaman, kami berusaha untuk memberikan sebuah lagu yang terbaik untuk para pendengar dan lagu “Aiman Tino” adalah cara terbaik untuk Wani mendapatkan lebih ramai pendengar baharu,” katanya.

Lagu “Aiman Tino” boleh didengarkan di semua platform streaming digital dan lebih istimewa lagi, single terbaharu Wani Kayrie juga boleh didengari dalam format Dolby Atmos di Apple Music.

Previous articleNikmat tidur bagai Ashabul Kahfi !(Bahagian 1)
Next articleRimba Kita Run 2024 berjaya kumpul lebih 1,200 peserta

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here