Mengharumkan nama Malaysia di mata dunia, Vocal Pizzest menang dua emas di The World Choral Cup di Sepanyol baru-baru ini.

Oleh : Dato’ Sri Rozita Ramelan (Membuat Liputan Di Calella & Barcelona, Sepanyol)

18 pelajar Malaysia dari Vocal Pizzest gabungan Sekolah Internasional Cempaka Bukit Damansara dan Sekolah Cempaka Cheras  merangkul dua Anugerah “EMAS” dalam pertandingan koir sedunia “ SING FOR GOLD” yang berlangsung di Calella & Barcelona, Sepanyol.

Festival dan Pertandingan Koir ini, yang dikenali sebagai “Sing For Gold” telah berlangsung pada 24 hingga 28 Oktober yang lalu turut disertai oleh 51 kumpulan koir yang hebat mewakili 33 buah negara. Dua Emas ini dimenangi dari kategori Koir Kanak-Kanak dan kategori Pop, Jazz & Gospel.

Peserta “Vocal Pizzest” menampilkan pakaian tradisional menjadi perhatian

Pertandingan berprestij ini dianjurkan oleh INTERKULTUR yang merupakan penganjur terbesar dunia bagi Festival dan Pertandingan Koir Antarabangsa. Pelajar-pelajar yang berumur dari 8-14 tahun ini adalah kumpulan yang paling muda dari Malaysia, bertanding mewakili Asia Tenggara.

Dalam kategori pertandingan Koir Kanak-Kanak, Vocal Pizzest Malaysia menyanyikan lagu dari Lagu Rakyat Malaysia dan rangkaian lagu-lagu medley dari CPAC Muzikal, Alice’s Wonderland yang di cipta oleh lokal komposer Nick Choo, pemenang BOH Cameronian Arts Awards.

Peserta “Vocal Pizzest” bersama guru yang membimbing mereka sehingga berjaya
di The World Choral Cup di Sepanyol.
Peserta “Vocal Pizzest” bersama ibubapa yang sentiasa memberi semangat kepada anak tercinta dalam mencapai kejayaan di The World Choral Cup.

Lagu-lagu rakyat diadaptasikan dengan harmoni yang indah, dilengkapi dengan alat musik tradisi Malaysia seperti kompang. Pakaian songket dihiasi bunga dan sanggul emas untuk kanak-kanak perempuan, tanjak dan samping untuk kanak-kanak lelaki, tersergam indah berdiri megah  di atas pentas.

Pemimpin koir mereka,  Cik Melinda Sik, memainkan peranan yang sangat baik dalam memberi arahan di atas pentas. Suara kanak-kanak Malaysia ini halus dan merdu bergema di Konservatori Muzik Liceu Barcelona, menyanyikan lagu klasik Malaysia, Wau Bulan, Lenggang Kangkung, Rasa Sayang, Sayang Kinabalu dan Chan Ma Li Chan disertakan dengan koreografi tarian melayu yang sopan memukau mata yang memandang.

Wajah ceria anak Malaysia menjadi perhatian di perarakan untuk majlis perasmian Sing For Gold do Calella, Sepanyol.
Wajah kebanggaan Malaysia…Dari kiri Mawar Mikaila, Lana dan Khalysa semasa perarakan untuk majlis perasmian Sing For Gold.

Dalam kategori, Pop, Jazz & Gospel, Vocal Pizzest Malaysia mempersembahkan lagu-lagu daripada “Spooks” ciptaan Nick Choo. Kanak-kanak Malaysia kali ini menukar gaya yang berbeza bersesuaian dengan genre yang diperlukan dalam kategori tersebut.

Koreografi yang mantap dan nyanyian medley yang harmonis  mencuri hati  penonton dan juri ketika mereka menyanyikan lagu-lagu Spooks Medley.

Koir dari negara lain yang turut mengambil bahagian iaitu dari Iran, Great Britain, Amerika Syarikat, Mexico, Korea, Zimbabwe, Peru dan negara-negara Eropah seperti Finland, Sepanyol, Itali, Jerman, Sweden, Bulgaria, Norway dan Denmark.

Ibu bapa bangga bersama anak-anak tercinta di majlis perasmian pembukaan Sing For Gold di Parc Dalmau, Calella, Sepanyol.
Mawar Mikaila bersama Ibu tercinta Datuk Sri Rozita Ramelan (Penulis) antara ibubapa yang turut memberi sokongan moral Peserta “Vocal Pizzest” di The World Choral Cup baru-baru ini.
Penuh Semangat!…Rehearsal sebelum pertandingan di Barcelona.
Kemesraan peserta Malaysia terjalin bersama peserta dari Lithuania sementara menunggu giliran.

Sewaktu keputusan pemenang diumumkan, wakil-wakil dari Malaysia cukup berbangga dan gembira apabila Kumpulan koir Vocal Pizzest memenangi dua Anugerah Emas bagi kedua-dua kategori. Laungan “We love you Ms. Mel!”, menyebabkan cikgu dan ibu-bapa mereka tidak dapat menahan air-mata.  Kemenangan mereka merupakan kebanggaan untuk semua rakyat Malaysia dan Sekolah Cempaka.

Ketua Pengarah CPAC, Encik Andrew Chan memberi ucapan  tahniah dengan pelajar-pelajar kerana ini adalah pertama kali pasukan Vocal Pizzest mengambil peluang bertanding dalam pertandingan internasional.

Persembahan hebat dan memukau penonton peserta “Vocal Pizzest” di The World Choral Cup.
Penampilan yang memukau
“Vocal Pizzest” ketika pertandingan koir Kanak-Kanak di Konservatori Liceu, Barcelona.

Sewaktu pertandingan ini, para pelajar yang menyertai pertandingan tersebut banyak menimba ilmu dan mempelajari perkara-perkara baru. Bukan sahaja ia membuka minda melihat gabungan etnik dan menjalin persahabatan dengan negara luar, malah mereka juga dapat menimba pengalaman serta disiplin dalam melakukan latihan yang padu, bekerja keras, dan memberikan komitmen yang sepenuhnya. Walaupun perjalanan yang jauh selama lebih 20 jam, dan keadaan hujan lebat di Barcelona, para pelajar ini bertekad untuk memberikan yang terbaik.

Mereka bersyukur kerana menerima sokongan yang hebat dari ibu-bapa dan guru-guru sehingga mereka dapat  bersaing di pentas dunia. Pengalaman ini merupakan sesuatu perkara yang tidak ternilai harganya pada mereka semua. Mereka berharap semoga banyak lagi peluang emas seperti ini di masa hadapan.

Persembahan bertenaga
“Vocal Pizzest” ketika kategori Pop, Rock dan Gospel.
Kebanggaan Malaysia, wajah ceria “Vocal Pizzest” menang dua emas di The World Choral Cup!

“Kejutan buat kami di atas segala pengorbanan selama ini dan bukan senang untuk memenangi pingat emas kerana saingan yang sungguh hebat, kemenangan ini amat bermakna bagi kami dan pastinya hadiah untuk semua rakyat Malaysia,” kata Mawar Mikaila Datuk Omar Mustapha penuh semangat iaitu antara peserta yang terpilih untuk menyertai “Vocal Pizzest”.

Kami rakyat Malaysia amat berbangga dengan kejayaan ini dan semoga kejayaan dua emas dari Sekolah Cempaka menjadi sumber  inspirasi kepada anak-anak muda di tanah air tercinta.

Mawar Mikaila (paling kiri) bersama Layla Sakeenah Anwar dan Lara Janna dari Sekolah Cempaka Amat berbangga dapat mengharumkan nama Malaysia di mata dunia.
Kejayaan ini adalah kerana ibu bapa yang memberi sokongan penuh dan semangat serta tulang belakang untuk anak-anak tercinta mencapai impian mereka…Datuk Sri Rozita Ramelan ( Penulis empat berdiri dari kiri paling belakang yang juga merupakan ibu kepada Mawar Mikaila)

 

View this post on Instagram

 

A post shared by Dato Sri Rozita Ramelan (@ds.rosz)

Previous articleKebaikan jering untuk kesihatan
Next articleLiza Aziz penyanyi yang eksklusif, mampu bertahan hingga kini

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here