Oleh: Nafsiah Jani
Jering merupakan salah satu ulam-ulaman yang begitu popular dikalangan masyarakat Malaysia dan Indonesia. Namun baunya yang busuk selepas memakannya membuatkan ramai generasi muda yang tidak begitu menggemari jering.
Namun, tidak semua ulam-ulaman boleh dimakan secara mentah tanpa perlu dimasak atau direbus terlebih dahulu dan kesannya boleh menyebabkan masalah penyakit kronik.
Menerusi perkongsian Pakar Pemakanan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Dr. Suri Roowi di laman Facebooknya berkata jering perlu direbus terlebih dahulu kerana kandungan ‘Djengkolic Acid’ (masih mentah) dipercayai akan menjejaskan sistem buah pinggang sekiranya diambil dengan kadar yang banyak dan mentah. Melalui proses penyediaan yang betul, sekurang-kurangnya khasiat dan nutrisi dalam ulam tersebut akan dapat diperolehi.
Jering atau dalam bahasa latin Archidendron pauciflorum ternyata memiliki banyak khasiat dan manfaat kerana mengandungi banyak Vitamin A, vitamin C, vitamin B1, vitamin B2, antioksidan, mineral, serat zat besi, protein, kalsium dan fosfor.
Jering atau nama saintifiknya Pithecellobium jiringa merupakan tumbuhan daripada keluarga Fabaceae (kekacang). Jering boleh dimakan mentah, direbus atau ditumis dan dimakan bersama nasi. Jering dikenali dengan nama-nama lain mengikut negara-negara berbeza seperti jengkol di Indonesia, da nyin thee di Myanmar dan luk neang di Thailand.
Perlu diingatkan bahawa pengambilan jering dalam diet harian perlulah dalam jumlah yang terkawal. Ini kerana selain nutrient dan fitomia tumbuhan, jering juga mengandungi toksik yang boleh membahayakan kesihatan.
Kandungan asid djenkolic dalam jering boleh mengakibatkan djenkolisme, keracunan akibat memakan jering yang boleh membawa kepada kerosakan buah pinggang. Pemakan jering dinasihatkan untuk meminum air secukupnya untuk membuang toksik tersebut dari badan.
Dibawah ini kita paparkan khasiat dan manfaat pengambilan jering sebagai ulam-ulaman. Selamat mencuba demi untuk sihat dan bertenaga.
- Mereka yang menghidap kencing manis disarankan makan jering secara berterusan dengan kadar yang sedikit. Jering dikatakan mengandungi sejenis bahan alkoloid yang dapat merangsang untuk membuang air kecil. Kandungan alkaloid ini mampu meneutralkan dan menguraikan kandungan gula yang kemudiannya ditukar menjadi tenaga dan dapat meningkatkan stamina badan.
- Jering juga mengandungi bahan antioksidan dan mineral yang sangat baik untuk jantung. Toksin dalam tubuh badan sukar memasuki badan terutamanya di bahagian jantung, disebabkan perlindungan antioksidan ini. Manakala mineral pula dapat mencegah dan melebarkan saluran darah yang sempit membuatkan aliran darah menjadi lebih lancar dan jantung dapat berfungsi dengan baik.
- Kandungan zat besi, protein, kalsium dan fosfor dalam jering bagus untuk kesihatan tulang. Secara tidak langsung ia dapat mencegah berlakunya osteoporosis dan membantu menguatkan tulang dan gigi.
- Kandungan protein yang tinggi dalam buah jering dapat membantu pembentukan tisu badan. Kandungan protein dalam jering adalah lebih banyak jika dibandingkan dengan kandungan protein dalam kacang hijau dan kacang soya.
- Kandungan serat yang tinggi boleh membantu melancarkan pengeluaran najis sehingga secara tidak langsung menjadikan perut tidak bermasalah dan melegakan perut kembung. Salah satu punca masalah perut kembung disebabkan oleh pembuangan air yang tidak lancar dan tidak teratur.
- Jering juga kaya dengan vitamin C yang dapat merangsang produksi sel darah putih dan meningkatkan fungsinya. Ini juga dapat membantu tubuh terlindung dari sebarang jangkitan dan menjaga kekebalan tubuh badan.
- Serat tinggi dalam jering juga dapat membantu melancarkan pencernaan dan buang air besar. Secara tidak langsung ia juga dapat membantu dalam menurunkan berat badan.
- Jering juga mengandungi beberapa jenis vitamin seperti vitamin A, vitamin B1, vitamin B2, dan vitamin C. Vitamin A membantu untuk mengekalkan kesihatan mata dan dapat meningkatkan ketajaman visual penglihatan.
- Vitamin A dan vitamin C juga bertindak sebagai antioksidan yang berpotensi untuk mengatasi bahan radikal bebas yang boleh menyebabkan kanser.
- Jering merupakan sumber zat besi yang bagus dalam penghasilan darah dalam badan dan dapat menghalang berlakunya anemia. Anemia membuatkan badan letih dan lemah disebabkan oleh kekurangan sel darah merah dan kurangnya oksigen dalam badan. Tubuh memerlukan zat besi yang mencukupi untuk menghasilkan hemoglobin. Hemoglobin ialah protein dalam sel darah merah yang bertanggungjawab membawa oksigen ke organ dan tisu badan serta membawa karbon dioksida dari organ dan tisu kembali ke paru-paru. Kekurangan zat besi boleh menyebabkan sel-sel darah mati dan oksigen tidak dapat dihantar ke seluruh badan.
Nafsiah Jani adalah seorang wartawan hiburan. Beliau pernah menulis di Utusan Malaysia, majalah URTV, Wanita dan Saji terbitan Utusan Karya.