Liza Aziz artis berbakat besar yang sentiasa dirindui oleh peminat beliau.

Oleh: Khadijah Ibrahim
Foto: Koleksi Syed Wafa

RAMAI yang tak sangka Liza Aziz adalah di antara peserta terkini untuk program realiti ‘Gegar Vaganza’ musim ke-11 yang bakal membuka tirai persembahan pada 24 November ini menerusi Astro Ria (Saluran 104) bermula jam 9 malam.

Bukan apa, selama ini anak kepada pasangan seniwati Allahyarhamah Normadiah dan seniman Allahyarham Aziz Jaafar itu sudah berada dalam ‘liga’ tersendiri dan tak perlu bersaing dengan orang lain untuk menunjukkan kebolehannya.

Dari segi vokal, memang tiada tandingan kerana adik kepada penyanyi Azlina Aziz ini sering dipanggil untuk menjadi penyanyi iklan sebelum ini dan beliau juga pernah menjadi penyanyi latar kepada Allahayrham Datuk Sudirman Arshad.

Bakat seni Normadiah dan Aziz Jaafar diwarisi kepada anak-anak mereka, Liza dan Azlina.

Malah sehingga kini tanpa perlu kontroversi untuk ‘menjual’ diri, Liza atau Norliza Abdul Aziz, 61, yang boleh dilabelkan sebagai penyanyi eksklusif masih lagi dicari penganjur untuk mengadakan persembahan di dalam mahupun di luar negara.

Liza yang popular dengan lagu “Bermula Cinta” dan pernah mengeluarkan album studio berjudul “Liza” (1992) dan “Hati Ini” (1995) mempunyai sebab tersendiri kenapa beliau bersedia untuk bertanding dalam program ‘Gegar Vaganza’.

Dalam program tersebut Liza bakal bersaing dengan Ronnie Hussein, Nai Dinamik, Fairuz Selamat, Yazid Lovehunters, Reshmonu, Illa Sabry, Sheila Abdul, Arrora Salwa, Zehra Zambri, Ning Baizura, serta legenda dari Indonesia iaitu Inka Christie, Dadali Dyrga dan The Lima yang dianggotai oleh Taura, Bony dan Arif.

ANAK-anak kesayangan pasangan suami-isteri seniman seniwati legenda, Allahyarham Aziz Jaafar dan Allahyarham Normadiah.
Berdiri dari kiri: Azlina Aziz, Syed Ekzan dan Liza Aziz bersama rakan mereka.

Nama-nama yang dipilih merupakan bintang-bintang yang dikenali dengan kekuatan dan keunikan vokal, serta lagu-lagu hit dendangan mereka yang masih terpahat dalam memori setiap penggemar muzik hingga kini.

Sebelum menjadi peserta untuk GV, Liza pernah muncul dalam ‘All Stars Gegar Vaganza’ pada tahun lalu sebagai pasangan duet Noryn Aziz yang merupakan salah seorang peserta untuk program tersebut.

“Saya terima tawaran daripada Astro dan bersedia menjadi peserta GV musim ini kerana saya masih aktif dalam bidang seni suara dan banyak galakan daripada keluarga serta peminat-peminat. Kakak saya, Azlina yang galakkan saya masuk kerana ini adalah pertandingan yang sihat.

Album ‘Liza’ merupakan album studio pertamanya dalam bidang seni suara.

“Lagipun inilah masanya untuk saya sertai pada usia ini yang masih aktif menyanyi. Kebetulan tarikh program ini berlangsung adalah ‘masa lapang’ saya sebab dalam tempoh tersebut tidak terikat dengan mana-mana persembahan pentas.

“Bagi saya penyertaan dalam program ini macam show-show biasa yang selalu saya buat. Tapi untuk show ini saya kena tahulah bahawa itu adalah pertandingan dan kena buat yang terbaiklah, insya-Allah. Jika diizinkan dengan umur macam ni,” katanya yang bersedia menghadapi apa jua cabaran.

Liza turut mengesyorkan mana-mana penyanyi yang masih boleh menyanyi, masuklah program sebegini kerana ia bagus untuk kerjaya seni kerana ia diadili oleh juri-juri profesional.

Bersama keluarga tersayang, abang Syed Ekhsan ( Berdiri empat dari kanan) dan Sharifah Hasnor iaitu kakak ( Berdiri tiga dari kiri) serta saudara mara.

Liza yang pernah menyanyi di ABU Golden Kite WSF 1990 untuk lagu “Semalam Ku tolak Ke Tepi”, ciptaan Ross Ariffin dan lirik oleh Datuk Habsah Hassan itu berkata, sebagai persediaan untuk memulakan langkah dalam GV, beliau amat menitik beratkan soal kesihatan.

“Menyertai GV ini adalah satu cabaran. Apa yang penting adalah menjaga kesihatan dan nyanyian jangan sampai tergelincir. Memang tekananlah kalau ada orang menaruh harapan tinggi terhadap saya.

“Pada saya peserta lain pun bagus dan ini up adalah cabaran untuk diri saya. Tiap-tiap minggu, insya-Allah saya akan cuba buat yang terbaik. Kalau ada yang tak bagus tu kita akan perbetulkan. Paling penting adalah pemilihan lagu.

‘Hati Ini’ adalah album studio kedua yang dihasilkan oleh Liza Aziz.

“Saya tak kisah kalau ditegur oleh juri kerana itu tanggjungjawab mereka. Pada saya juri berhak untuk menegur dan memberi komen pada setiap persembahan peserta. Apa yang mereka komen saya terima, kalau yang pedas tu saya anggap masuk telinga kanan keluar telinga kiri,” katanya terus terang.

Meskipun berpengalaman luas dalam bidang seni suara, Liza enggan memaksa diri apabila menyertai program tersebut. Baginya adalah lebih mudah kalau menganggap penampilannya kelak ibarat mengadakan persembahan biasa untuk mengelak daripada rasa gementar.

“Pada saya macam kita buat persembahan biasa-biasa, kalau kita anggap ini pertandingan, kita akan jadi gementar. So kita take it easy dan doing your best. Kalau nak bersaing dari segi tenaga tu, insya-Allah saya masih lagi boleh lakukan kerana sihat.

Kakak kesayangan, Azlina Aziz turut menggalak Liza menyertai ‘Gegar Vaganza’.

“Insya-Allah yang penting suara sebab itu kena cukup tidur dan jaga suara. Kalau saya rasa tak mampu, saya tak akan masuk GV ini. Pada saya setiap hari menyanyi, saya sudah biasa dan sebab itu saya setuju sertai program ini. Pada saya semua peserta bagus, may the best singer win,” katanya.

Walaupun ada yang berpendapat Liza mempunyai vokal yang wow dan kehadirannya dalam program tersebut memberi saingan kepada peserta lain, beliau pula beranggapan sebaliknya.

Katanya, setiap yang menyertai pertandingan mesti dambakan kemenangan dan begitu juga dengan dirinya. Namun, Liza lebih selesa melihatnya dari sudut positif iaitu mengadakan persembahan seperti biasa tanpa rasa tertekan jika memikirkan itu pertandingan.

Liza Aziz antara artis yang menyertai ‘Gegar Vaganza’ tahun ini.

“Siapa tak nak menang, semua orang nak menang. Tapi seperti saya cakap, kalau kita buat yang terbaik, kita akan menang tapi kalau tak ada pun saya terima. Yang penting saya menghiburkan orang ramai setiap kali muncul dalam program itu.

“Yang banyak tanya mana saya, inilah masanya untuk mereka tengok persembahan saya setiap minggu. Ini adalah masa lapang saya kerana setiap tahun saya tak ada di sini. Kebetulan tahun ini memang saya free.

“Hari tu masa saya terima undangan ini saya baru balik dari London. Daripada London saya pergi LA (Los Angeles), lepas tu saya pergi Bangkok pula sebab itu adalah kerjaya saya. Setiap tahun saya ada undangan di London dan Brunei serta Singapura. Bila saya berada di London saya duduk sebulan di sana, sambil show, kita pun bercuti.

“Sama juga dengan ‘Gegar Vaganza’ ini adalah rezeki. Kata orang bila diundang, terima je la. Kalau kata saya tak boleh menyanyi tu saya fikir dua kali, itu lain cerita la. Saya masih aktif dan sebab itulah saya terima,” ujarnya yang pernah berduet bersama Wann menerusi lagu “Dunia Yang Kucuba” pada 1985 dan “Idah” bersama Mathias Gomes pada 1988.

Liza Aziz, antara peserta yang dinantikan oleh peminat untuk bertanding dalam Gegar Vaganza ke-11 tahun ini.

Tiada akaun media sosial

JIKA orang lain berlumba-lumba untuk membuka akaun media sosial sebagai platform untuk menjadi terkenal, penyanyi ini tidak terfikir untuk mempunyai semua itu walaupun ia berfungsi hanya di hujung jari.

Tidak dinafikan, media sosial di era kini sangat membantu jika diguna dengan cara betul dan di waktu yang sama platform tersebut boleh menjatuhkan kita kerana di luar sana ramai netizen yang memerhati pergerakan kita.

Bagi Liza, beliau lebih mementingkan ‘kedamaian’ dalam kehidupan daripada bergelut dengan komen-komen negatif insan-insan yang tidak dikenali.

Jelasnya, tanpa bergantung kepada media sosial pun beliau masih boleh meneruskan kerjaya seni yang dimulakan sejak 1980-an hingga kini. Malah tanpa publisiti meluas pun Liza masih laris berbanding artis lain.

Sejak dulu hingga kini tawaran mengadakan persembahan di dalam dan luar negara tak pernah putus.

Bukan sahaja dilahirkan dalam keluarga seni, adik kepada penyanyi Azlina Aziz ini juga mempunyai bakat yang tersendiri dan sehingga kini beliau masih mendapat undangan mengadakan persembahan korporat dan eksklusif.

“Mungkin saya nampak ketinggalan kerana tidak ada akaun media sosial seperti orang lain. Saya tak ada masalah pun kalau tidak mempunyai platform tersebut. Alhamdulillah, setakat ini rezeki saya tak pernah putus walaupun tidak mengikuti peredaran zaman.

“Sejak dulu lagi saya tak ada akaun media sosial dan aplikasi WhatsApp. Pembantu peribadi (PA) sahaja yang ada semua itu atas urusan kerja. Memang saya jaga eksklusif diri dan tidak mahu orang tahu apa yang saya buat dalam kehidupan harian kerana saya tidak mahu kongsi kehidupan peribadi dengan khalayak.

“Saya anggap suatu tekanan apabila kita baca komen negatif dalam media sosial. Saya selesa menjalani kehidupan seperti orang lain dan bukan menjadi artis 24 jam,” katanya terus terang.

Apa yang jelas, sepanjang Liza bergelar anak seni dari dulu hingga kini, namanya jarang terpalit dengan isu kontroversi sama ada yang dicipta atau sebaliknya.

Perjalanan seni Liza berjalan lancar kerana beliau 100 peratus mempertaruhkan bakatnya dan sebab itu jugalah beliau sering menjadi pilihan penganjur untuk majlis korporat atau eksklusif.

Previous articleMembanggakan Malaysia, Vocal Pizzest menang dua emas di The World Choral Cup!
Next articleChuari Selamat “Raja Pantun” yang disegani!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here