Oleh: Wawa Najwa
BIARPUN zaman berubah, namun minat seseorang tidak mudah bertukar ganti jika sudah terpahat di hati. Begitu juga kalau kita suka sesebuah lagu, karya tersebut yang sering berputar di minda.
Tidak dinafikan kebanyakan lagu yang dihasilkan pada era 80-an dan 90-an hingga kini masih menjadi pilihan ramai kerana melodi dan seni katanya yang puitis.
Sehubungan itu, 365 Events selaku penganjur berpengalaman mengambil inisiatif menjayakan konsert Megahitz 3 Dekad Vol. 1 menampilkan sembilan penyanyi hebat yang sudah lama mencorak industri muzik Malaysia.
Konsert yang bakal berlangsung di Zepp Kuala Lumpur pada 25 Januari 2025 itu menampilkan barisan artis terkenal seperti Datuk Jamal Abdillah, Datuk Nash, Datuk Hattan, Man Bai, Ramlah Ram, Zur Eda, Norshila Amin, Andy Flop Poppy dan Amir Masdi.
Pengasas dan Pengarah Pentas 365 Events, Afiezan Shah Mohd Zahari berkata, konsert tersebut bakal menampilkan konsep ‘back to the 80’s & 90’s’ yang penuh nostalgia bagi peminat muzik tempatan serta menyaksikan kolaborasi eksklusif yang jarang berlaku di atas pentas yang sama.
“Konsert Megahitz 3 Dekad Vol.1 adalah satu penghormatan kepada tiga dekad dan tiga era kegemilangan industri muzik Malaysia, yang menampilkan gabungan artis-artis legenda dari pelbagai genre muzik, termasuk pop, rock dan balada.
“Malah konsert ini bukan sahaja untuk meraikan artis-artis legenda, tetapi juga untuk mengimbau kembali zaman kegemilangan industri muzik Malaysia. Setiap penyanyi dalam barisan ini sudah meninggalkan impak yang luar biasa, dan kami teruja untuk memberikan satu malam yang penuh dengan kenangan dan muzik berkualiti tinggi,” katanya.
Tambah Afiezan Shah, hampir setiap karya penyanyi yang terbabit dalam konsert yang bakal berlangsung ini berjaya menyentuh hati ramai pendengar. Mereka bukan sekadar penyanyi, tetapi adalah ikon yang mencerminkan seni muzik dan budaya masyarakat kita.
“Kami sangat teruja dan bersemangat untuk menawarkan kepada penonton satu pengalaman yang penuh dengan kenangan manis serta nostalgia. Nantikan persembahan yang menjanjikan muzik berkualiti tinggi, di mana lagu-lagu hit daripada setiap artis tersohor akan diperdengarkan, membawa kembali memori indah untuk semua yang hadir.
“Semoga konsert ini akan menjadi satu perayaan yang tidak boleh dilupakan, di mana meriahnya muzik akan menghimpunkan peminat-peminat yang sudi bersama untuk meraikan perjalanan indah industri muzik Malaysia serta menghargai bakat-bakat yang terbukti hebat ini,” ujarnya.
Bagi menyemarakkan lagi senario pada malam itu kelak, penganjur mengajak penonton untuk sama-sama mengenakan ‘dress code’ bertemakan retro sekali gus mengabadikan memori bersama untuk konsert yang menampilkan Shah Slam sebagai pengarah muzik.
Tiket bagi menyaksikan konsert ini boleh didapati menerusi www.myticketempire.com. Maklumat tiket juga boleh diperolehi dengan melayari Instagram rasmi MEGAHITZ @pentas365.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.