Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Darling Ngasri/Koleksi Syed Wafa
DALAM industri hiburan tempatan, jika disebut pelakon adik-beradik hanya satu keluarga saja yang menjadi bualan ramai iaitu anak-anak kepada Ngasri Sain bersama Habibah Jaafar.
Anak-anak mereka mula mengatur langkah dalam bidang seni sejak 1988 sebagai pelakon iklan.
Bermula dari situlah Naszeli Ngasri (Boy), Nasrizal (Bell), Nasreen (Darling) dan Naszriah (Anne) mengembangkan sayap mereka dalam bidang lakonan.
Salah seorang yang ingin penulis fokuskan untuk isu kali ini ialah Darling atau Nasreen yang merupakan anak keempat daripada enam orang adik-beradik. Dua orang lagi saudara Darling adalah kakaknya yang bernama Nasliza dan adik bongsu, Nassuhada.
Darling, 41, yang bermula sebagai pelakon kanak-kanak yang popular menerusi drama “Opah”, “Demi” dan “Selamat Hari Jadi Sue”, kini sudah berada di puncak sebagai Pengarah Urusan dan Penerbit untuk syarikat NS Star Studio yang aktif menerbitkan drama, filem dan pelbagai program.
Sewaktu berbual dengannya baru-baru ini, Darling beritahu pihaknya baru saja selesai menjalani penggambaran drama 30 episod berjudul “Iqbal” yang bakal disiarkan tahun hadapan untuk slot Ramadan.
“Saya baru saja balik dari Turkiye bersama kru produksi drama “Iqbal” arahan Amor Rizan yang menampilkan Hariz Hamdan dan Hazwani Helmi sebagai pelakon utama. Untuk drama ini kami jalani penggambaran di Malaysia dan Turkiye sebab ceritanya, Iqbal melanjutkan pelajarannya di sana.
“Selain drama itu, untuk tahun ini juga saya ada terbitkan beberapa drama, dokumentari dan travelog. Dalam waktu yang sama, NS Star sudah bergerak sebagai Media Agency sekarang, bekerjasama dengan syarikat swasta dan kerajaan dalam mempromosikan kempen,” jelasnya tentang tanggungjawab yang digalas sekarang ini.
Kata Darling lagi, beliau bukan saja terlibat sebagai penerbit malah turut memainkan peranan sebagai ‘lembaga penapisan skrip’ bagi memastikan setiap karya yang dihasil bermutu dan menepati cita rasa penonton.
“Sudah menjadi kebiasaan, saya akan terlibat dari awal pemilihan skrip sehinggalah final draf skrip dan apabila melibatkan luar negara team saya akan turun recce dulu sebelum skrip disiapkan, supaya skrip match dengan lokasi yang dipilih.
“Pilihan skrip saya terima dalam pelbagai genre mengikut keperluan semasa dan TV stesen. Seperti drama “Iqbal” ia adalah sebuah drama patuh syariah dan mengangkat TVET (Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional) bersesuaian dengan dasar kerajaan yang sedang mempromosikan TVET. “Iqbal” tentang pelajar pereka fesyen yang berjaya mencipta nama Malaysia ke luar negara,” jelasnya.
Tambah penerbit itu lagi, setiap karya yang dihasilkan oleh produksinya memberi momen indah kepada perjalanan kariernya dalam industri seni.
“Tidak dinafikan setiap drama atau filem yang dihasilkan ibarat permata buat saya. Ini kerana
semua projek filem saya seperti “Jemputan Ke Neraka” dan “Hero Bomba” banyak meninggalkan kenangan kerana ia satu kerja yang berat dan unik.
“Tanggungjawab membuat ini dari pemilihan cerita sehinggalah keluar ke panggung. Apapun pengalaman ini mengajar saya menjadi lebih matang dalam bidang penerbitan yang saya cintai,” akui Darling.
Atas usaha gigihnya menghasilkan cerita berkaitan ahli bomba iaitu drama “Hero” yang dimulakan pada 2016 hingga dua musim atas sambutan hangat daripada penonton.
Paparan kisah hidup ahli bomba itu secara tidak langsung berjaya menaikkan martabat Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, justeru itu Darling menerima penganugerahan Pingat Setia Bomba pada 2020.
Tegas Darling, sudah menjadi impiannya untuk martabatkan badan beruniform di Malaysia menerusi karya seni dan dia merasakan usahanya hanyalah sumbangan kecil jika hendak dibandingkan dengan pengorbanan Jabatan Bomba dan Penyelamat.
Selain pingat tersebut, Darling juga pernah menerima Pingat Jasa Bomba pada 2018 daripada pasukan beruniform berkenaan.
Memandangkan NS Star sudah sinonim dengan karya berkaitan ahli bomba sebagaimana Skop Production dengan kisah kepolisan, Darling akui akan terus bekerjasama dengan pasukan penyelamat tersebut.
“Bomba sentiasa di hati saya. Baru-baru ini ada buat proposal lagi cerita bomba ke stesen TV, kali ni berkonsepkan drama ringan, kalau ada rezeki ada lah,” katanya tanpa berselindung.
Sepanjang menerbitkan drama, Darling akui beliau tidak pernah menggunakan dana daripada MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya), sebaliknya mengeluarkan kos sendiri atau pinjaman bank.
Justeru bila kos penerbitan menggunakan bajet sendiri, isteri kepada Nur Azlin Rahmat sejak 2009 itu amat berhati-hati apabila memilih pelakon.
“Biasanya pemilihan pelakon dimulakan bersama penulis skrip dan pengarah. Saya mengambil kira dua perkara iaitu disiplin dan kredibiliti. Team saya biasa elakkan artis yang bermasalah sebab dia akan menjejaskan perjalanan penggambaran kami yang makan masa panjang,” kata Darling mengenai prinsip kerjanya.
Ibu kepada Nur Nashrullah, 13, yang sentiasa bersikap merendah diri itu berkata sehingga kini beliau masih belajar untuk memperbaiki kekurangan diri dalam mengendali perjalanan kerjayanya.
“Insya-Allah kalau ada rezeki saya sentiasa mempelajari benda baharu dan cuba mengikuti perkembangan semasa agar tidak ketinggalan dengan perkembangan semasa,
“Sejak tiga ke empat tahun kebelakangan ini kami semakin serius dengan pengiklanan, event, digital marketing, pengurusan influencer dan media agency.
“Semua itu sesuatu yang menarik dan kami akan terus explore more untuk masa akan datang, tapi drama dan filem tetap menjadi keutamaan juga,” kata Darling tentang perjalanan NS Star.
Pemegang Diploma Koordinasi Pengarahan Filem dari Meatech Creative Academy, Bangi itu berkata, tanggungjawab sebagai penerbit tidak menghalangnya untuk terus berlakon.
“Lepas PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) ini banyak juga saya berlakon, cuma kebanyakannya untuk produksi sendiri, sebab kekangan masa kerja dan keluarga.
“Berlakon ni memang gian juga sebab sudah jadi darah daging dan menyeronokkan. Begitu juga saya masih mendapat tawan untuk voice over (VO) bagi iklan.
“Untuk buat VO atau berlakon suara tidak memerlukan masa yang panjang cuma kesabaran dan kepakaran kena tinggi. Sebab kita berhadapan dengan kliens dan agensi tempatan mahupun antarabangsa yang mempunyai pelbagai karenah, al maklum mereka nak menjual produk agar laris.
“Sebenarnya persaingan dalam VO juga tinggi maka perlu benar-benar bagus dan berdisiplin tinggi, saya juga ambil masa bertahun-tahun untuk jadi yang terbaik. Apapun ia satu bidang yang mencabar dan menarik untuk dijadikan pekerjaan part time atau full time,” katanya.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.