Liza Abdullah masih laris hingga kini, tawaran berlakon tak putus.

Oleh: Wawa Najwa
Foto: Ehsan Liza Abdullah/Koleksi Syed Wafa

PELAKON Liza atau Norliza Abdullah pernah dibenci, disumpah seranah walaupun beliau tidak mengenali atau bertemu dengan orang yang tidak menyukainya itu.

Perasaan marah kepada Liza berpunca kerana lakonannya sebagai Mak Leha dalam drama bersiri “7 Hari Mencintaiku 2”, arahan Jamal Khan yang diadaptasi daripada novel Siti Rosmizah Semail.

Namun menerusi watak itulah, Liza, 60, diangkat sebagai pemenang untuk kategori Watak Antagonis Popular sewaktu Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2021 dan Watak Antagonis Terbaik sempena Anugerah Drama Sangat anjuran TV3.

“Ali Setan” antara filem lakonan Liza Abdullah.

“Sesungguhnya saya amat terharu dengan kejayaan yang saya peroleh menerusi watak Mak Leha itu. Walaupun dibenci peminat drama (kerana terlalu menghayati drama itu) saya tetap bersyukur dan berterima kasih kepada mereka semua.

“Tanpa sokongan mereka, mungkin orang tak nampak lakonan saya. Apapun saya bangga dengan kejayaan ini, sekurang-kurangnya titik peluh saya sepanjang di set penggambaran berbaloi.

“Saya ni jenis apabila buat sesuatu kerja saya akan buat sebaik mungkin, saya tidak bagi 100 peratus, saya bagi 200 peratus komitmen. Bila berlakon kita kena jaga hati semua pihak daripada handy sampai ke produser. Disiplin kena jaga dan hubungan sesama manusia juga perlu dititik beratkan,” kata Liza dalam satu wawancara dengan media tempatan.

Bersama Fauziah Ahmad Daud antara babak dalam filem “Ali Setan” yang begitu mendapat sambutan.

Ujar Liza, pada usia sekarang beliau bersyukur kerana peluang berlakon untuknya sentiasa ada walaupun ada di antara rakan artis seangkatan bersungut kurang mendapat tawaran berlakon.

“Saya terharu. Pada usia ini masih ada penerbit sanggup menunggu kekosongan jadual dan sengaja cipta karakter baharu semata-mata mahu saya terbabit dalam penerbitan mereka.

“Nyata impak “7 Hari Mencintaiku” cukup kuat. Bukan kaut semua atau tamak, sebaliknya saya susah berkata ‘tidak’ kerana enggan mengecewakan sesiapa. Jika mampu buat, saya ‘jalan’ saja.

Filem “Jejaka Perasan” antara filem lakonan beliau.

“Apa pun, penerimaan berterusan ini tidak akan membuatkan saya demanding atau memilih watak. Saya masih Liza Abdullah yang dahulu,” katanya yang baru saja muncul dalam drama “Lelaki Melayu Terakhir”sebagai Khatijah.

Liza yang merupakan ibu kepada empat orang anak itu memulakan kerjaya sebagai pelakon sejak era 80-an, drama pertama lakonannya adalah “Penghujung Rindu” bersama Datuk ND Lala pada 1982.

Manakala filem pertama lakonan Liza adalah “Pagar-Pagar Cinta” sebagai Rosnah di samping AR Badul. Menerusi filem arahan AR Badul itu Liza bukan sekadar berlakon, malah menyumbangkan suaranya untuk lagu “Pagar-Pagar Cinta” duet dengan pengarah tersebut.

Liza pernah merakamkan album yang dikeluarkan pada 1988.

Malah, Liza juga pernah berlakon sebagai Aini dalam filem “Ali Setan” bersama Azmil Mustapha dan Ogy Ahmad Daud pada 1985. Beliau juga sering muncul dengan watak komedi dan lakonannya yang paling diingati adalah sebagai kekasih AR Badul dalam filem “Pagar-Pagar Cinta” serta gadis sunti dalam “Jejaka Perasan” bersama Salih Yaacob.

Bagi peminat Liza dari generasi sekarang tidak tahu bahawa selain berlakon, beliau juga boleh menyanyi dan pernah menghasilkan album berjudul “Semalam Yang Indah” yang bergenre pop, diterbitkan pada 1988.

Selain itu, Liza juga pernah muncul dalam album “Samarenda” yang berkonsepkan pop etnik. Menerusi album itu, beliau berduet dengan Renggo Arrow untuk lagu “Samarenda”, ciptaan Yusri Yusuf dan lirik oleh Siso Kopratasa.

Sentiasa menganggap watak yang diberi satu tanggungjawab yang perlu dilaksana sebaik mungkin.

Beliau yang berlakon dalam filem “Marah Marah Sayang” sebagai Satina pada 1987, turut menyumbangkan suaranya untuk runut bunyi filem arahan Johari Ibrahim itu bersama dengan Suhaina Yahya dan Norlida Ahmad.

“Sesungguhnya saya amat merindui bidang nyanyian, agak lama saya tidak menonjol sebagai penyanyi. Justeru itulah ada peminat saya di kalangan generasi baharu tak tahu yang saya ni juga seorang penyanyi. Ada di kalangan mereka tahu lagu “Samarenda” tapi tak tahu penyanyi lagu itu adalah saya.

Penangan watak Mak Leha, tawaran untuk Liza Abdullah tak putus.

“Rasanya dah lebih 15 tahun saya ‘menyepi’ dari lapangan itu. Sehingga kin saya masih lagi menyimpan minus one lagu “Samarenda”. Insya-Allah kalau ada tawaran atau peluang untuk buat single baharu, saya tak akan menolak. Saya sentiasa bersedia.

“Saya nak buat lagu baharu itu pun bukan nak bersaing dengan mana-mana penyanyi, sekadar nak beritahu kepada peminat baharu bahawa Mak Leha ni boleh menyanyi. Selain itu adalah untuk memeriahkan industri hiburan sedia ada.

“Hingga kini saya masih menyanyi di pentas persembahan berskala kecil seandainya menyertai mana-mana karnival jualan. Bila peminat atau kawan-kawan minta menyanyi, saya okey saja,” katanya yang pernah menyertai program “The Masked Singer Malaysia 3” (2023) yang tampil sebagai Maskot Kurita dan bertahan hingga minggu keempat.

Bersama barisan pelakon “7 Hari Mencintaiku” di set penggambaran.

Liza yang sentiasa merendah diri itu berharap dirinya sentiasa diberikan kesihatan yang baik supaya dapat terus bekerja kerana katanya, beliau menyertai industri ini secara baik dan mahu pergi meninggalkan nama baik.

Enggan kongsi kisah peribadi

Liza yang merupakan ibu tunggal selepas bercerai talak satu dengan Zolkifli Abdul Rahman pada 24 Februari 2014 di Mahkamah Rendah Syarikah Gombak Timur sering ditemani oleh anak terunanya, Zulsyahmi Naqib, 22, setiap kali ke set penggambaran.

Ternyata kehadiran Naqib sebagai pembantu peribadi ibunya mendapat perhatian pengarah dan menawarkan pemuda itu untuk berlakon.

Turut berlakon dalam ” Tanah Kubur”.

Ujar Liza, beliau tidak menghalang anaknya untuk mengikut jejak langkah tapi biarlah Naqib mencipta nama dengan usaha sendiri dan bukan ditawarkan kerja seni kerana pemuda itu anak kepada Liza Abdullah.

“Saya menggalakkan Naqib untuk terlibat dalam industri ini kalau itu kehendaknya tapi dia perlu menyertai kelas lakonan sekali gus mengasah bakatnya.

“Kalau boleh, saya tak mahu guna kedudukan saya untuk menaikkan nama anak. Saya mahu Naqib cuba sendiri untuk terus bertahan dalam bidang seni ini.

“Dia mula mendapat perhatian selepas kami terbabit dalam program “Jom Berbuka” di TV3 dan banyak tawaran yang mendatang. Ini pun mungkin rezeki dia sebab menjaga saya. Saya nasihat dia supaya ambil peluang ini, berikan yang terbaik, jaga nama saya dan jangan hampakan orang,” kata Liza yang serius bila berkaitan soal kerja.

Liza masih menyanyi di karnival dan majlis tertutup.

Selain soal kerja, sebagai selebriti Liza juga tak lepas daripada menjadi perhatian netizen yang mahu tahu adakah beliau kini sudah kembali berumah tangga selepas bercerai. Ini kerana sebelum ini kecoh yang Liza sudah berkahwin dengan seorang usahawan dalam diam.

Biar apapun tanggapan orang ramai, Liza mengakui yang beliau bukan jenis yang suka bercakap soal peribadi dengan orang luar, selain kerjaya kerana beliau ada alasan tersendiri untuk tidak terlalu bercerita tentang hal berkenaan.

“Sebenarnya saya rasa serba salah untuk berkongsi mengenai perkara ini sebab ia sensitif. Dalam usia saya sekarang, kita tak tahu apa yang berlaku pada masa akan datang. Sama ada kita akan hidup sendiri sampai bila-bila atau pun berjodoh dengan seseorang hingga ke akhir hayat. Jadi untuk umur saya ni, adakah lelaki bujang yang nak?

Bersama keluarga tercinta.

“Contohlah, kalau kata seseorang itu mengaku jadi isteri kedua, orang akan pandang jahatnya perempuan itu. Untuk mengelak daripada situasi itulah saya lebih senang akan cakap, ya sudah kahwin supaya ada wanita yang tak perlu rasa risau.

“Saya diuji dengan hal yang seperti itu sebelum ini yang saya tidak boleh kongsikan kepada semua. Tambahan lagi saya pun ada anak-anak,jadi hati mereka pun saya perlu jaga.

“Untuk diri saya, nak tangani persoalan sudah kahwin ke belum itu bukan satu hal yang mudah. Jadi bila ada yang bertanya, saya akan mengiakan sahaja.

“Apa pun syukur kalau ada yang mendoakan jodoh saya, tapi buat masa sekarang saya tak malu nak cakap sebenarnya saya belum pun berkahwin,” katanya dengan ikhlas.

Previous articleKebaikan dan manfaat Arabic Gum (Al- Manna)
Next articleLegenda Johari Salleh masih aktif berkarya!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here