Johari Salleh tokoh seni negara yang disegani dan disayangi.... Gambar ini kenangan sebelum berangkat ke Bangkok untuk persembahan khas, Evening Of Royal Concert & Dinner pada tahun 1963.

Oleh : Nafsiah Jani
Foto : Ehsan Datuk Johari Salleh/Koleksi Syed Wafa

Mengenali Datuk Johari Salleh seorang pencipta, penggubah dan pemimpin muzik orkestra membuatkan kita kagum dengan bakatnya. Dalam meniti usia 84 tahun, Johari masih mahu berbakti dan membantu pelajar-pelajar seni untuk mendalami dunia orkestra dengan lebih mendalam lagi.

Disebabkan itu, kini Johari bekerjasama dengan pihak Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) untuk menerbitkan buku hasil pengalaman dan karyanya sendiri bagi rujukan pelajaran muzik.

Wajah comel Johari Salleh sewaktu berusia 4 tahun.

“Syukur alhamdulillah akhirnya tercapai juga impian saya nak terbitkan buku saya Anthology of Malaysian Heritage Songs. Buku ini mengandungi 50 buah lagu daripada 200 buah lagu ciptaan saya sejak tahun 1957 hingga sekarang ini. Setiap lagu berformatkan notasi untuk vokal dengan iringan piano yang mudah dan senang untuk dimainkan.

“Manakala buku kedua saya, Malaysian Contemporary Classical Music pula mengandungi 12 lagu karya saya sendiri. Setiap lagu disertakan dengan master score dan individual part untuk violin, viola, cello, dan piano.

Berbakat…Pertama kali jadi penyanyi ketika usianya 17 tahun, bersama band Chand Ni Raat yang berjaya bergelar juara Pertandingan Big Talent Rock & Roll di Singapura.
Johari ketika berusia 19 tahun sudah mempunyai pengalaman sebagai pemuzik untuk Cecil Wilson Orchestra di Singapura.

“Selagi boleh berkarya, saya akan terus berkarya dan menyumbangkan tenaga bagi membantu meningkatkan koleksi muzik Melayu untuk dijadikan warisan kepada generasi muda,” kata Datuk Johari lagi.

Dilahirkan pada 9 Februari 1940 di Geylang, Singapura, minat Datuk Johari Salleh dalam bidang muzik bermula sejak kecil lagi dan banyak didorong oleh bapanya, Mohd Salleh Mohamad yang juga pemain muzik secara sambilan, selain guru muziknya Saaban Saliman di Singapura.

Gambar kenangan tahun 1964, ketika konfrantasi Malaysia – Indonesia, Johari (kiri) di Tawau bersama sahabatnya Kolonel Abul As Ismail.

Minatnya yang terlalu mendalam dalam bidang muzik membuatkan lagenda muzik tanah air seperti Johari sanggup menghabiskan masa berjam-jam untuk berlatih bermain alat muzik. Pada umurnya 17 tahun, dia sudah boleh bermain hampir kebanyakan alat muzik.

“Ayah saya menjual barangan elektrik dan selalunya ramai kawan-kawan ayah yang datang ke kedai membeli 2 atau 3 amp (amplifier). Kawan ayah juga merupakan kawan saya juga dan setiap kali ada persembahan, saya akan pergi ikut tengok sekali. Dari situlah bermulanya minat saya terhadap muzik ini,” ujar Johari lagi.

Gambar pada tahun 1963 semasa Roadshow Orkestra RTM di seluruh semenanjung Malaysia.
Johari bersama sahabat baiknya, Rahman Rahmat.

Datuk Johari Salleh adalah seorang pengarah muzik dan komposer tanahair yang tersohor. Bermula sebagai Pemuzik Tetap Radio Malaya pada tahun 1961, beliau telah dilantik sebagai Pengarah Muzik RTM dari tahun 1976 sehingga 1982. Beliau juga merupakan salah seorang pelopor kepada Orkestra RTM.

Pada tahun 1968 Johari Salleh dihantar untuk mengikuti kursus Diploma in Music (Composition and Arrangement) selama dua tahun di Berklee College of Music, Boston USA.

Kenangan bersama Orkestra RTM.

Setelah 22 tahun berkhidmat dengan RTM, Johari meletakkan jawatan dan meninggalkan RTM untuk menjadi Pengarah Urusan Syarikat Josal Music Sdn Bhd sehingga tahun 1986. Seterusnya beliau menjadi Pengarah Muzik Orkestra Kuala Lumpur (1987-2000) dan Perunding Muzik Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (2001-2004). Kemudian beliau berkhidmat sebagai Felo Tamu Pusat Kebudayaan (UKM) mulai 2004 hingga 2008 dan sebagai Felo Kanan di Pusat Perkembangan Pelajar, UKM.

Menurut anaknya, Iryani 40, bapanya seorang yang tegas membuatkan semua orang takut dengannya.

Johari (kiri sekali) Eddie bersama kawan-kawan rapat di American Club, Singapura pada tahun 1960.

“Ayah saya tu bukanlah garang sangat orangnya…garang dan tegasnya bertempat. Sebenarnya ayah saya suka melawak tapi melawaknya juga bertempat. Kalau dah mula berbual dengannya ayah saya tu kelakar orangnya.

“Ayah saya juga tidak suka berbual-bual kosong atau bercakap benda-benda yang tidak penting. Kalau join grup macam tu, ayah saya tak banyak bercakap sebaliknya dia hanya menjawab dengan mengangguk-anggukkan kepala.”

Johari dihari bahagia bersama isteri tercinta, Zarina Zabidin.

Badminton dan boling merupakan sukan kegemaran Johari Salleh. Namun disebabkan masalah sakit jantung yang dihidapinya membuatkan Johari terpaksa melupakan sukan tersebut. Kini setiap minggu beliau bersama kawan-kawan banyak menghabiskan masa bermain liga boling.

“Ayah memang suka main badminton tapi sekarang ayah dah tak larat nak terkejar-kejar bola. Jangan tak tahu masa sekolah dulu, ayah yang melatih saya bermain badminton hingga saya terpilih mewakili sekolah dan menjadi wakil untuk Kuala Lumpur.

Johari disambut Charlie Mariano pemain saxophone jazz legenda ketika hari pertama mendaftar diri di Berklee College of Music pada tahun 1967.
Johari selaku Presiden Malaysian Association for Producers & Distributors of Phonogram & Videogram (MAPV) ketika menghadiri persidangan International Copyright Conference di Itali pada tahun 1985.

“Bulan Julai tahun lepas cukup mencabar buat ayah kerana ayah dimasukkan ke hospital kerana sakit jantung. Mulanya kami ingatkan strok. Setelah buat bedah jantung invasif minimal (MICS) barulah kesihatan ayah kembali pulih.

“Tahun ini sekali lagi ayah masuk hospital sebab paru-paru berair disebabkan jantung tak dapat berfungsi dengan baik. Alhamdulillah sekarang semuanya dah okay dah kini ayah sibuk dengan kerjanya. Ayah saya tu seorang yang ‘workholic’…tak tahu nak duduk diam, ada saja benda yang ingin dilakukannya,’’ kata Yanie lagi mengenai ayah tersayang.

Kenangan manis Johari Salleh (kiri) bersama arwah Ahmad Daud.
Johari Salleh tokoh muzik yang dikagumi oleh dunia.

Iryani menambah, ayahnya seorang yang cukup menjaga kesihatan dan pemakanannya.

“Ayah saya akan makan malam seawal-awalnya. Ayah tak merokok, kurang minum air manis, tak makan makanan yang berminyak dan tidak mengambil minuman yang berkafein. Itu sebabnya ketika berusia 62 tahun baru ayah saya sakit. Sekali kena penyakit tiga serangkai iaitu masalah kencing manis, darah tinggi dan ada sikit masalah dengan buah pinggang. Di usia 83 pula terkena sakit jantung.”

Kini Datuk Johari, 84, bahagia bersama isterinya Datin Zarina Zabidin, 65, serta enam orang anaknya serta 12 orang cucu.

Kenangan bersama Allahyarham Datuk Sudirman Haji Arshad.
Gambar kenangan…Johari (tengah) bersama seniman legenda (dari kanan) Allahyarham Datuk Mustapha Maarof, Allahyarham S. Samsuddin, Allahyarham Wahid Satay dan Allahyarham Zaini Satar (Adik Allahyarham Datuk Aziz Satar)

Sepanjang penglibatannya dalam bidang seni, bakat seni Johari Salleh begitu dikagumi pihak luar. Lagu ciptaannya bukan saja mendapat tempat dihati peminat di Malaysia malah juga diluar negara. Lagu ciptaannya Up On The Hill yang dinyanyikan Frankie Cheah telah terpilih sebagai salah satu lagu terbaik di Festival Lagu-Lagu Pop Antarabangsa di Jepun pada 1970.

Pada tahun 1979, lagu ciptaannya Kasih Sayang telah mendapat penghargaan istimewa di Pertandingan Seoul Song Festival di Korea. Bagi menghargai jasa-jasa Johari dalam bidang muzik, beliau dikurniakan beberapa bintang gelaran antaranya Darjah Setia Pangkuan Negeri (DSPN), Johan Setia Diraja (JSD), Kesatria Mangku Negara (KMN), Ahli Mangku Negara (AMN) dan Ahli Mahkota Pahang( AMP).

Johari bersama sahabat baiknya, komposer terkenal Datuk S. Atan.

Pada 9 Ogos 2010, Johari dianugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Falsafah (Kesenian) sempena Majlis Konvokesyen UKM ke-38 oleh Yang Di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Darul Khusus, Tuanku Muhriz Ibni Al Marhum Tuanku Munawir. Anugerah Tokoh Melayu Terbilang sempena ulangtahun UMNO yang ke- 69 (2015).

Bagi menghargai jasa dan sumbangan besarnya dalam bidang muzik, pihak UKM juga menerbitkan buku, Memoir Johari Salleh Tegar Meladeni Industri Muzik sebagai penghargaan kepada Johari.

Johari bersama adik- adiknya ( duduk) Toh Puan Norilah dan Norlejah.

Nak pandai kena ada guru!

Walaupun kebanyakan pemuzik sekarang ada yang mempunyai bakat semulajadi dan ada juga yang tampil setelah belajar muzik selama beberapa tahun. Namun pada pandangan Johari, untuk berjaya dalam sesuatu bidang, seseorang itu mesti mempunyai seorang guru.

“Sekarang ini kita sudah berada dalam dunia digital dan teknologi digital yang begitu canggih sekali. Sekarang seseorang itu boleh belajar segala-galanya tentang muzik hanya melalui Youtube sahaja. Namun pada saya, ini tak sama kerana kalau nak belajar muzik, seseorang itu tetap perlukan seorang guru.

Johari bersama anak bongsunya Eliyana dan isteri tercinta, Datin Zarina Zabidin.
Johari sentiasa memberi sokongan pada anak bongsunya, Eliyana yang mempunyai minat yang sama bermain boling.

“Contohnya lagu P. Ramlee, Getaran Jiwa yang boleh dimainkan sesiapa sahaja. Namun tanpa guru, semuanya akan menghasilkan bunyi yang berlainan. Apa yang saya impikan adalah agar lagu-lagu classical ini akan withstand time setaraf dengan nama nama besar seperti Beethoven dan Mozart. 200-300 tahun pun masih lagi dimainkan dalam cara dan bunyi yang sama.” kata Johari lagi.

Tambah Johari lagi, kemajuan dunia digital era telah memberi peluang kepada penggiat muzik muda mencipta lagu dengan lebih mudah serta menarik perhatian kalangan peminat muzik, terutama muzik orkestra.

Johari (kiri) menerima buku-buku hasil karya nukilannya daripada wakil ASWARA, Dr. Azman Ismail dan Ramlan Mohd Imam.
Johari ceria bersama anak, menantu dan cucu yang melawatnya di hospital.

“Muzik dahulu dengan sekarang, saya lihat banyak perubahan dan banyak perkembangannya kerana idea orang muda sekarang berbeza dengan orang lama, itu yang membuatkan orkestra itu cepat maju,” kata Johari.

Sepanjang penglibatannya sebagai pemimpin orkestra, beliau banyak berkarya dalam bentuk muzik simfonik untuk digunakan oleh orkestra-orkestra besar seperti dari Sepanyol, Orkestra Sinfoni Kebangsaan Malaysia dan Kuala Lumpur Symphony Orchestra. Beberapa karya simfoni Johari Salleh juga pernah dipersembahkan oleh The New York Symphonic Ensemble, Singapore Symphony Orchestra, St.Pittersburg Philharmonic Orchestra dari Russia dan Cadaquez Symphony Orchestra.

Masih aktif berkarya untuk rujukan generasi akan datang.

Antara sumbangan beliau dalam perkembangan lagu patriotisme termasuk mencipta lagu UMNO- Bersatu Bersedia Berkhidmat (1986) serta lagu untuk Tan Sri SM Salim, Suhaili Shamsuddin, Frankie Cheah, M Rizal, Yasmin Yusuff, Herman Tino, Hanafiah Yunus, Shidee dan Rahimah Rahim. Antara lagu ciptaannya ialah Rayuan Hasratku Duniaku, Keikhlasan Hati, Hati Yang Terusik, Tom Tom Bak, Gadis Ayu, Cinta Kejam, Gadis dan Bunga, Mahligai Idaman dan  Jangan.

Keluarga bahagia pemuzik legenda, Johari Salleh.
Previous articlePenangan watak Mak Leha, tawaran untuk Liza Abdullah tak putus
Next articleShasha ‘Adik Manja’ Kini Menetap di “USA”!

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here