Tidak pernah berhenti daripada berkarya walaupun jauh dari tanah air.

Oleh: Wawa Najwa

TIDAK pernah berhenti berkarya walaupun berada jauh dari tanah air. Jiwa seni yang sudah sebati dalam diri Nur Fatima membuatkan penyanyi itu tampil dengan single baharu berjudul “Ku Cuba”.

Lagu ciptaan komposer Sharon Paul dan lirik oleh Shah Shamshiri yang diedarkan oleh SoundOn itu dihasilkan selepas single “Galeri” yang dikeluarkan tiga tahun lalu.

Nur Fatima atau Nur Fatimah Abdul Wahab, 42, memberitahu, dia mengambil masa yang lama untuk tampil dengan lagu baharu kerana lebih teliti dalam berkarya.

“Sejak pandemik Covid-19, saya akui mengambil masa yang agak lama untuk menghasilkan single baharu kerana merasakan genre balada lebih sesuai dengan suara dan pembawakan saya.

Nur Fatima tampil dengan single “Ku Cuba” selepas tiga tahun.

“Lagu ini pada awalnya telah dicadangkan untuk dua orang penyanyi dan sempat dinyanyikan oleh seorang penyanyi ‘power’ sebelum saya, namun pihak pengurusan dan produser muzik sendiri berpendapat ianya lebih sesuai dinyanyikan oleh saya kerana kelembutan tona suara yang saya miliki dan bait-bait liriknya lebih saya hayati kerana nukilan teman rapat saya iaitu Shah.

“Selain maksudnya, genre lagu ini lebih kearah ‘power ballad’ yang sangat mencabar dengan nada tinggi dan rendahnya, serta mainan emosi yang mendalam agar nyanyian saya sampai ke hati pendengar.

“Lama juga saya ‘bertapa’ di studio untuk menghayati liriknya sehingga produser, Sharon betul-betul berpuas hati, terima kasih buat beliau sekali lagi di atas bimbingannya yang sangat berharga,” ceritanya yang kini menetap di Sydney, Australia.

Tambah isteri kepada Mohammad Jefrry Wain Wright itu, lagu “Ku Cuba” mengisahkan tentang seseorang yang sabar dan tidak berputus asa dengan kekasihnya walaupun menghadapi dugaan yang mencabar dalam hubungan percintaan mereka.

Memilih lagu ciptaan Sharon Paul sebagai buah tangan terkini.

Seiring dengan penghasilan lagu ini, Nur Fatima turut menampilkan video muzik istimewa dengan konsep lebih segar dan selari dengan ‘trend’ fesyen masa kini.

“MV kali ini menunjukkan diri saya yang lebih berekspresi dari raut wajah dengan gaya yang mendayu dibuai perasaan sedih dan sebak di bawah arahan pengarah muda berbakat, Khyrill.

“Saya juga berpeluang menggayakan busana indah hasil rekaan pereka fesyen Hasfitri Yusof bersama sentuhan penata gaya Zhee. A. Hussein, menghidupkan lagi visual video muzik lagu ini,” katanya yang pernah menyertai program realiti Gegar Vaganza musim keenam (GV6) pada 2019.

Nur Fatima akui, walaupun sudah bertahun menjadi anak seni, cabaran tetap ada dan sebab itu jugalah dia memandang serius setiap perkerjaan yang dilakukan.

“Untuk terus kekal dalam industri memang susah dan banyak cabaran terutamanya persaingan, namun saya tidak pernah berputus asa. Saya sentiasa yakin dan memberanikan diri untuk melakukan kerja-kerja di belakang tabir dan saya juga mengambil keputusan menyambung pelajaran dalam bidang muzik demi menambah ilmu.

Nur Fatima dan suami kini menetap di Sydney, Australia.

“Saya nasihatkan buat ‘newcomer’ agar utamakan pelajaran dahulu sebelum memilih bidang apa, pelajaran bukan sahaja memberi ilmu tetapi memupuk disiplin. Apa yang paling penting sayangi diri dengan menjaga kesihatan fizikal dan emosi, harus berani serta jangan cepat berputus asa.

“Saya berharap semoga lagu “Ku Cuba” mendapat sambutan yang baik dari pendengar, menyentuh hati sesiapa yang mendengarnya serta mengubat kerinduan peminat-peminat saya semua,” ujarnya.

Lagu “Ku Cuba” boleh dimuat turun di iTunes serta dijadikan nada dering panggilan menerusi ke semua syarikat telekomunikasi tempatan dan boleh didengar melalui aplikasi penstriman atas talian seperti Joox, KKBox, Spotify, Deezer, Apple Music serta YouTube Music.

Manakala video muzik “Ku Cuba” pula boleh ditonton di laman YouTube Nur Fatima Music, youtube.com/@nurfatimamusic

Previous articleSuraya Harun terkenal kerana “Ayer Mata Duyong”
Next articleHellooo! daripada Dafi

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here