SENIWATI legenda Suraya Harun terkenal dengan bakat dan wajah yang sungguh jelita.

Oleh SYED WAFA
Foto KOLEKSI SYED WAFA

WALAUPUN kehadirannya dalam dunia filem Melayu pada era 1960-an hanya seketika dan membintangi tidak sampai 10 filem tetapi beliau hadir dengan ‘full package!’

Beliau hadir bukan sebagai pelakon ‘saja-saja’ tetapi dengan bakat anugerah-Nya dan personaliti yang cantik dan menarik serta suaranya yang manja telah memberinya peluang berlakon dua filem pada tahun 1962!

SURAYA Harun berpasangan dengan Wahid Satay dalam filem “Mabok Kepayang” 1962 dan merupakan filem pertama lakonan beliau.
SURAYA Harun bersama M. Rafi Latif dalam satu babak filem “Lubalang Daik” 1962 yang merupakan filem kedua lakonan beliau.

Filem pertama lakonan beliau pada tahun 1962 ialah “Mabok Kepayang,” dan pada tahun yang sama, Suraya Harun ditawarkan berlakon dalam filem “Lubalang Daik” arahan Jamil Sulong.

Wataknya sebagai Kuntum, seorang gadis yang baik dan anak Tok Demang (Seniman S. Kadarisman) dengan isteri keduanya lakonan Rosnani Jamil membuktikan beliau sememangnya berbakat.

SURAYA Harun bersama emaknya, Seniwati Rahimah Alias dalam satu babak filem “Chempaka Biru” 1963.
Rahimah Alias popular sebagai isteri Haji Bakhil dalam filem “Labu dan Labi.”
FILEM “Ayer Mata Duyong” 1964 menjadikan Suraya Harun terkenal sebagai bintang.

Bagaimanapun dua filem berkenaan dikatakan sekadar memperkenalkan Suraya Harun sebagai Seniwati dari Cathay-Keris.

Tetapi kita tidak tahu nasib seseorang dan apabila tuah datang bergolek tidak siapa yang boleh menghalang.

SATU babak dari filem “Ayer Mata Duyong” 1964.
PASANGAN Pengantin baru…Tengku Intan Baiduri (Suraya Harun) dan Awang Jermal (Nordin Ahmad) dalam filem “Ayer Mata Duyong” 1964.
SAAT bahagia pasangan kekasih…Awang Jermal (Nordin Ahmad) dan Tengku Intan Baiduri (Suraya Harun) dalam babak filem “Ayer Mata Duyong” 1964.

Bak kata peribahasa Melayu, ‘Tuah Ayam Nampak Di Kaki, Tuah Manusia Tak Siapa Yang Tahu’ dan begitulah dengan Seniwati Suraya Harun apabila mendapat tawaran berlakon dalam filem “Ayer Mata Duyong” arahan M. Amin yang mana telah melahirkan seorang ‘bintang dan Seniwati’ terkenal pujaan ramai.

“Ayer Mata Duyong” terbitan tahun 1964 yang menemukan Suraya Harun dengan hero terkenal Cathay-Keris, Seniman Nordin Ahmad bukan sahaja mendapat sambutan ramai malah ia telah meletakkan nama Suraya Harun di tempat paling istimewa di hati para peminat filem Melayu!

CANTIK bergaya…Suraya Harun
MUSTAPHA Maarof bersama isterinya, Suraya Harun.
Gambar ini dirakamkan beberapa hari selepas mereka dinikahkan di kampung kelahiran Suraya, di Rembau, Negeri Sembilan.
SAAT bahagia…Mustapha Maarof dan Suraya Harun ketika masih terikat suami isteri.

“Ayer Mata Duyong” yang memaparkan kisah percintaan antara seorang puteri bernama Tengku Intan Baiduri (Suraya Harun) dengan pemuda kampung, Awang Jermal (Nordin Ahmad) yang diharap akan menemui kebahagiaan berakhir dengan penderitaan!

Sebabnya adalah menjadi ‘satu kesumpahan’ apabila seorang puteri raja, Tengku Intan Baiduri berkahwin dengan rakyat biasa iaitu Awang Jermal yang mana berakhir dengan penderitaan apabila ‘Tuan Puteri’ menjadi duyong dan Awang Jermal mati beragan!

TIGA Seniwati jelita Cathay-Keris (dari kiri) Suraya Harun, Roseyatimah dan Latifah Omar.
SURAYA Harun menjadi ‘cover girl’ Majalah Mastika Filem.

“Ayer Mata Duyong” bukan sahaja telah mempopularkan Suraya Harun sebagai ‘bintang filem’ malah menguji ketabahannya sebagai ‘Puteri Duyong!’

Adalah difahamkan pernah tersiar di akhbar atau majalah ketika itu yang mana Suraya Harun tidak menafikan filem itu telah mempopularkannya tetapi pada waktu yang sama ia amat memenatkan dan terpaksa menahan sejuk apabila babak beliau sebagai ‘duyong’ terlalu lama berenang dan berendam dalam laut!

SURAYA Harun turut berlakon dalam filem “Pontianak Gua Musang” 1964
SURAYA Harun sebagai Kembang dan Mustapha Maarof membawa watak Badai dalam satu babak filem “Udang Di Sebalik Batu” 1966
Dalam filem berkenaan dialog Kembang (Suraya Harun) paling berkesan; “Kalau kau cuba lari, aku tetak dengan parang ini…”

Itulah Seniwati Datin Suraya Harun yang dilahirkan pada tahun 1945 di Negeri Sembilan. Beliau pernah berkahwin dengan Seniman Datuk Mustapha Maarof pada tahun 1962 tetapi berakhir dengan perceraian pada tahun 1965. Melalui perkahwinan itu mereka dikurniakan seorang anak, Suzlynna.

Selepas bercerai pada 1965, Suraya Harun berkahwin dengan Pangeran Putera Negara Pangeran Omar dan meninggalkan dunia filem lalu menetap di Brunei.

SURAYA Harun…cantik bergaya berkebaya pendek.
BERSAMA teman rapat seniwati legenda Dayang Sofia.
SURAYA Harun dalam filem “Anak Dara” 1966.

Melalui perkahwinan Datin Suraya Harun dengan Pengeran Putera Negara Pengeran Omar, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Awangku Saiful Feisal (lahir pada 25 Mei 1967), Awangku Saiful Rizal (lahir pada 7 Disember 1970), Awangku Saiful Hassanal (lahir pada 26 Ogos 1973) dan Dayangku Dara Naqiah (lahir 4 April 1976).

Selain filem berkenaan Suraya Harun turut berlakon dalam filem “Pontianak Gua Musang” arahan B. N. Rao diterbitkan pada tahun 1964, diikuti filem “Anak Dara” (1966) arahan M. Amin dan “Udang Di Sebalik Batu,” (1966) arahan Hussein Haniff.

SENIMAN Tony Kassim dan Suraya Harun dalam satu babak filem “Anak Dara” 1966.
SURAYA Harun (pernah menjadi isteri Mustapha Maarof) bersama Roseyatimah (kekal sebagai isteri Mustapha Maarof sejak 1967 sehingga menghembuskan nafas terakhir pada 14 Disember 1987).
KEJELITAAN Suraya Harun terserlah walau apapun watak yang dibawakan dalam filem.
SENIWATI legenda Suraya Harun sentiasa dirindui oleh peminat filem Melayu.

Suraya Harun meninggal dunia pada usia 71 tahun pada 1 Jun 2016. Jenazahnya dikebumikan di Brunei.

Kami di Ladybosz mendoakan semoga roh arwah dicucuri rahmat oleh Allah SWT dan ditempatkan dalam golongan orang beriman…Amin.

SURAYA Harun bersama anaknya tercinta, Suzlynna.
MUSTAPHA Maarof bersama anaknya bersama Suraya Harun, Suzlynna dan suaminya, Fredo (bekas penyanyi kumpulan Flybaits) dan anak mereka.
Suzlynna (anak Suraya Harun dan Mustapha Maarof) bersama suami, penyanyi Fredo dan anak mereka.
SURAYA Harun tetap jelita walaupun sudah berusia.
Previous articleHausboom Music Festival 2024 meriah dengan artis ternama
Next articleNur Fatima berkarya dari kejauhan menerusi “Ku Cuba”

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here