Oleh: Wawa Najwa
AGAK lama juga tidak mendengar berita perkembangan seni mengenai Dafi atau pemilik nama penuh Gadaffi Ismail Sabri, 36, ini.
Selepas menyertai program realiti Akademi Fantasia musim kelima pada 2007, Dafi berpeluang menghasilkan dua album iaitu “Seumur Hidup” (2009) dan “D4F1” (2014). Lagu “Bila Terasa Rindu” yang dimuat dalam album sulungnya itu mendapat sambutan hangat.
Selain menyanyi, Dafi juga berpeluang berlakon dalam beberapa drama, telefilem, filem dan iklan. Namun perjalanan seni Dafi tidak seperti rakan-rakan artis lain yang sentiasa aktif kerana dia turut menumpukan perhatian menimba ilmu termasuk dalam dunia perniagaan.
Malah baru-baru ini, Dafi berjaya melepasi peringkat pertama Asasi Pentadbiran Perniagaan, KLIEC, London Board Of Examination dan University of Gloucestershire United Kingdom.
Anak lelaki bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob itu akan meneruskan pengajian di peringkat Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) di Universiti yang sama.
Namun sempena Bulan Kemerdekaan ini, Dafi mengambil peluang untuk menyapa peminatnya dengan single berjudul “Hellooo!”
Lagu ciptaan komposer Shazee Ishak dan lirik oleh Altimet itu sebenarnya sudah lama dalam simpanan dan hanya menunggu masa yang sesuai untuk dikeluarkan.
“Sudah lama sebenarnya saya tidak tampil dengan single baharu, sehinggakan ada yang lupa saya sebenarnya penyanyi. Ini kerana saya lebih memberikan fokus kepada bidang lakonan.
“Memandangkan karya ini sudah lama berada dalam simpanan dan sudah dirakamkan, ini adalah masa terbaik untuk dilancarkan khas untuk halwa telinga semua pihak.
“Beberapa tahun tertangguh, tidak dinafikan ada rasa ralat dalam diri kerana semuanya sudah disiapkan cuma ada hal teknikal yang tidak dapat dielakkan menyebabkan ia disimpan dahulu,” jelas Dafi.
Ujarnya, lagu “Hellooo!” turut menjelaskan hala tuju muziknya yang kini sudah berubah apabila mempamerkan sisi kematangan terutama dalam menyebarkan aura positif.
“Semakin dewasa dalam bermuzik, saya ingin menyajikan kelainan sewaktu menyampaikan lagu yang penuh dengan semangat muda, persahabatan dan juga aura positif.
“Saya dikenali menerusi lagu “Bila Terasa Rindu”, namun saya ingin bereksperimentasi dengan muzik sejajar dengan peningkatan usia, sekali gus memberi impak positif kepada kerjaya.
“Single ini begitu istimewa kerana dihasilkan dua figura yang juga merupakan idola saya dalam industri. Karya yang mereka hasilkan sering mencetuskan magis, jadi pertama kali mendengar Hellooo!, saya sudah jatuh cinta,” akuinya.
Berkongsi lanjut mengenai single terbaharunya itu, Dafi menyifatkan “Hellooo!” menjadi simbolik kepada kekuatan dirinya yang tidak pernah berputus asa dalam hidup.
Pernah mencipta nama menerusi program realiti Akademi Fantasia musim kelima, anak kedua daripada empat bersaudara itu tidak melihat percubaannya dalam bidang seni sebagai pematah semangat sebaliknya meneruskan langkah untuk berjuang.
“Sebagai anak seni, keadaan sebegitu sedikit pun tidak mematahkan semangat saya dalam meneruskan kerjaya yang saya cintai ini.
“Hellooo!” merupakan suara hati saya. Selepas lebih sedekad bergiat aktif dalam bidang ini, saya lebih matang dan berpendirian.
“Mungkin kehadiran saya sebagai penyanyi tidak mendapat pengiktirafan sebanyak yang diinginkan namun saya masih bersemangat dan tidak berputus asa dalam bidang seni.
“Ini kerana saya mempunyai minat mendalam dalam bidang seni dan saya tidak akan mudah berputus asa begitu saja,” katanya.
Selain menghadiahkan peminat dengan buah tangan terbaharu, Dafi juga berharap dapat menarik peminat dari kalangan generasi muda untuk mengenali dirinya.
Dafi yang kini bergerak sendiri tanpa terikat dengan mana-mana label mengakui lebih bebas berkarya dan bereksperimentasi meneroka arena nyanyian.
“Hellooo!” boleh didengari menerusi platform penstriman seperti Apple Music, Spotify, Joox, Youtube Music, Tik Tok, Amazon Music, Tidal dan Deezer bermula 16 Ogos lalu.
Wawa Najwa adalah seorang wartawan hiburan dan kini penulis undangan di Ladybosz.