Oleh : Asmat Fikri
“Salam doc, saya tengah dalam tempoh berpantang… sekarang saya mengalami buasir yg teruk… nak jalan dan bangun pun susah… apa yang perlu saya lakukan.. .mohon bantu dari pihak doc tq”
Seorang doktor berkongsi mesej daripada pesakit tentang keadaan buasir yang dialaminya selepas bersalin. Aduh! Baca pun boleh rasa gerun kan? Sakitnya orang yang menanggung tu memang tak boleh diceritakan. Perit!
Buasir ni berlaku apabila urat di dalam atau sekitar dubur membengkak. Situasi mengalami buasir selepas bersalin pastinya boleh menimbulkan ketidakselesaan. Apatah lagi dalam keadaan anda perlu menjaga bayi yang baru dilahirkan. Malah buasir selepas melahirkan anak ini adalah keadaan biasa bagi sesetengah wanita.
Bahkan dalam kebanyakan kes, buasir atau hemorrhoid yang terjadi ketika hamil akan hilang dengan sendiri setelah bersalin. Ia boleh terjadi jika kita menjaga kesihatan diri dengan mengelakkan dari mengalami sembelit. Tapi ia boleh berlanjutan juga terpulang pada peringkat penyakit itu sendiri. Jika masih peringkat awal, mungkin akan hilang dengan sendiri, tapi jika sudah teruk, perlu kepada rawatan susulan lain.
Bahkan, dianggarkan 25% wanita yang menghidap buasir selepas bersalin masih mengalaminya walaupun setelah 6 bulan melahirkan anak.
Buasir semasa dan selepas melahirkan
Bagaimana buasir boleh berlaku pada bakal ibu? Jawapannya menurut Hello Doktor, buasir berlaku apabila terdapat tekanan pada urat di rektum atau dubur. Saluran vena mempunyai injap untuk membantu aliran darah ke jantung. Namun jika injap ini lemah disebabkan tekanan, darah boleh berkumpul di urat. Lama-kelamaan ia boleh membengkak iaitu keadaan yang sama dengan masalah urat simpul.
Jadi, untuk wanita hamil, seperti yang kita tahu mereka mempunyai bebanan tambahan iaitu bayi dalam kandungan yang berada di antara perut dan pelvis. Kesan daripada bebanan ini menyukarkan darah untuk kembali dari bahagian pelvis.
Hasil dari tekanan itu buasir terjadi. Bahkan ia jadi lebih teruk kerana semasa hamil dan selepas bersalin kebanyakan ibu hamil dan selepas bersalin mengalami masalah sembelit. Jadi, bagi wanita yang mengalami buasir semasa hamil, anda lebih berisiko untuk mendapat masalah buasir lebih teruk selepas beranak.
Sebab sembelit
Sembelit semasa mengandung biasanya terjadi disebabkan beberapa faktor. Antaranya adalah:
• Perubahan hormon yang mempengaruhi sistem pencernaan
• Perubahan diet semasa kehamilan
• Kurang bergerak
• Terlalu banyak zat besi kesan pengambilan suplemen
• Tekanan pada usus kesan tumbesaran bayi dalam kandungan yang menjejaskan penghadaman
Walau bagaimanapun, ia berbeza sebab dan asbab sembelit selepas bersalin. Kebanyakannya berlaku disebabkan oleh trauma kelahiran iaitu jahitan episiotomy. Antara sebab lain pula adalah:
• Ubat sakit
• Kombinasi perubahan hormon
• Dehidrasi
# Ikuti sambungan artikel akan datang mengenai risiko buasir kepada wanita mengandung
ASMA Fikri ialah bekas wartawan Majalah Al-Islam.