Oleh : Nafsiah Jani
Parut yang terdapat di wajah atau badan seseorang pasti merupakan mimpi ngeri kerana parut ini sedikit sebanyak akan mencelakan wajah atau penampilan seseorang.
Parut di wajah selalunya disebabkan masalah jerawat, jeragat atau kemalangan. Begitu juga parut yang kelihatan di badan. Setiap jenis parut ini mungkin bersifat kekal atau tidak bergantung kepada jenis kulit individu itu sendiri yang dipengaruhi oleh pelbagai faktor risiko seperti keturunan atau lain-lain aspek.
Parut yang disebabkan bekas luka boleh membuatkan seseorang itu merasa resah dan gelisah serta mengalami tekanan terutamanya golongan perempuan. Biarpun bekas luka ini tidak mengganggu secara fizikal tetapi ia meninggalkan kesan mendalam dan secara tidak langsung ia juga merendahkan tahap keyakinan diri.
Parut terdiri daripada kolagen yang sama dengan tisu asli namun lain protin, sekali gus membuat ia membentuk kulit rendah kualiti. Disebabkan itu pula, rupa parut pada kulit agak buruk.
Terdapat pelbagai bentuk dan jenis-jenis parut iaitu:-
- Parut Atrofik – Memiliki ciri yang berlubang dan terbenam ke dalam kulit, biasanya mungkin disebabkan oleh masalah jerawat dan jeragat
- Parut Hipertrofik -bMemiliki ciri yang timbul akibat penghasilan kolagen berlebihan ketika proses penyembuhan luka pada kulit
- Parut Keloid – Memiliki ciri yang timbul ke atas permukaan kulit akibat tisu parut masih terus dihasilkan meskipun luka telah sembuh.
- Parut Kontraktur – Memiliki ciri yang kasar dan tidak rata seperti tertarik ke dalam angkara kulit di sekeliling mengecut dan mengetat
Jika anda inginkan kulit wajah yang cantik dan berseri, rutin skincare yang baik merupakan kuncinya. Pada masa yang sama, diet yang sihat, senaman yang kerap dan kehidupan yang tenang tanpa stres juga boleh menyumbang kepada kesihatan kulit.
Selain penggunaan bahan semulajadi, parut tersebut masih boleh dipudarkan atau dihilangkan dengan bantuan produk seperti krim, gel dan ubat hilangkan parut selain prosedur kosmetik yang jauh lebih efektif.
Kali ini kami tampilkan beberapa petua dan cara untuk menghilangkan atau memudarkan parut.
- Selama ini ramai yang tidak tahu bahawa ubi kentang juga sebenarnya mampu menyembuh masalah kulit, luka dan parut seperti jerawat, bisul, kudis dan sebagainya. Caranya sangat mudah, hiris kentang dengan ketebalan bersesuaian kemudian sapukan pada luka secara pelahan-lahan. Setelah itu biarkan ia kering sementara dan barulah dibilas dengan air.
- Timun mengandungi pelbagai vitamin dan mineral seperti magnesium yang sangat bermanfaat untuk kulit. Ambil sebatang timun dan kisar halus, kemudian tapis airnya. Tampalkan hapas timun pada muka dan biarkan selama setengah jam dan kemudian cuci bersih wajah. Anda akan gembira dengan hasilnya kerana parut semakin pudar dan hilang. Malah muka juga kelihatan segar dan cantik berseri.
- Ambil dua batang kulit kayu manis dan segenggam bedak sejuk. Tumbuk kayu manis hingga jadi serbuk halus. Selepas itu, campurkan serbuk tadi bersama bedak sejuk dan air. Kacau rata. Lumurkan campuran tadi pada tempat-tempat parut yang terdapat pada wajah. Lakukan sekerap mungkin dan lama kelamaan parut akan pudar dan hilang. Selamat mencuba.
- Ambil daun lidah buaya dan ambil lendirnya dan sapu pada bahagian parut. Lakukan tiga kali seminggu. Insya-Allah parut akan pudar dan hilang.
- Ambil segenggam asam jawa dan campurkan sedikit air. Ramas sehingga keduanya sebati dan kalau boleh campuran tadi biarlah tidak terlalu cair. Lumurkan ke kawasan yang berparut dan lakukan setiap malam ketika tidur dan biarkan kering. Jika rajin diamalkan Insya-Allah parut akan pudar dan hilang.
- Cuka epal selain digunakan untuk menghilangkan rasa kegatalan merupakan salah satu cara digunakan untuk merawat bekas luka. Caranya, larutkan dua sudu cuka epal dengan air kemudian ambil kapas dan celupkan ke dalam campuran tersebut sebelum sapu pada permukaan bekas luka tersebut untuk menghilangkan parut.
- Buah lemon sememangnya mampu merawat bekas luka dan sekaligus membuatkan kulit kekal lembap dan sihat. Caranya, potong lemon kepada dua bahagian dan gosokkan lemon ke bahagian muka yang berparut.Ia juga boleh mencerahkan kulit sehingga bekas luka itu kelihatan semakin pudar.
- Daun sirih juga mampu untuk memudarkan parut. Caranya ambik tiga helai daun sirih dan tumbuk sehingga lumat. Kemudian tampalkan sirih pada kawasan yang berparut. Biarkan sehingga kering dan barulah dibilas. Amalkan tiga kali seminggu anda akan teruja dengan hasilnya.
- Kunyit hidup dan madu juga mampu menghasilkan masker yang dapat menghilangkan parut. Caranya hancurkan kunyit hidup dan campurkan bersama madu dan air. Kacau sebati sehingga menjadi adunan masker. Sapukan masker pada bahagian muka ataupun kawasan yang berparut. Cuci dengan air suam dan kemudian bilas sekali lagi dengan air sejuk untuk menutup pori-pori wajah. Jika anda rajin dan konsisten membuatnya sudah pasti parut akan pudar dan hilang.
- Pencuci muka yang mengandungi AHA atau BHA juga dapat memberikan pengelupasan lembut pada kulit wajah. Malah, penggunaan asid ini juga boleh memudarkan parut dan menyelesaikan masalah pigmentasi. Produk Exfoliators juga sangat sesuai dijadikan sebahagian daripada barangan penjagaan wajah anda.
Penulis, Nafsiah Jani adalah penyumbang tetap Lady Bosz. Beliau juga adalah juga bekas wartawan hiburan Utusan Malaysia.