Oleh Nury Kadir
Profesor Hamka kata, kemerdekaan itu adalah kebebasan manusia menurut fitrahnya. Manusia dilahirkan merdeka. Dia datang dari rahim ibunya tidak mengenal perbezaan. Sebab itu hendaklah di dalam hidupnya dia tetap merdeka, tidak diikat oleh belenggu perhambaan dan tawanan. Merdeka menyatakan perasaan. Merdeka lenggang dirinya, pulang dan perginya.
Merdeka dalam segala anugerah yang diberikan Allah SWT sejak dia lahir tanpa mengganggu kemerdekaan orang lain atau ketenteraman masyarakat sekelilingnya. Maka tidaklah akan bersih dan jernih hidup manusia kalau kemerdekaan itu terbatas atau dibatasi.
Apakah erti kemerdekaan?
Adakah cukup dengan laungan Merdeka! Merdeka! Merdeka! Itu hanya merdeka pada mulut dan untuk suka-suka bagi mengisi masa lapang. Profesor Hamka pernah memberi amaran, bahawa tidak akan merdeka sesuatu bangsa itu jika jiwa anak bangsanya tidak merdeka. Kemanisan kemerdekaan itu hanya dirasai orang yang berjiwa merdeka.
Jadi, apa sebenarnya kemerdekaan itu? Kata Prof Hamka, “Kemerdekaan ialah bahawa engkau rasai dengan perasaan yang jernih, hak yang perlu diketahui dan waktu itu engkau rasai apa pula kewajipan engkau kepada orang lain. Engkau merdeka dan bebas mengembangkan sayap, menuturkan kemahuan hati untuk membuktikan bahawa engkau berhak. Engkau boleh mengeluarkan apa yang teras di hatimu, asal engkau menghormati pula kemerdekaan orang lain dan engkau tunaikan kewajipan yang diminta oleh masyarakat kepada engkau.”
Ini pula yang dikatakan oleh perajurit Saad bin Abi Waqas iaitu Rab’i bin Amir saat ditanya oleh Panglima Parsi bernama Rustum apakah kemerdekaan itu…“Kami adalah kaum yang dibangkitkan oleh Allah untuk membebaskan manusia dari penghambaan sesama makhluk menuju kepada peribadahan kepada Allah Sang Penciptanya Seluruh Makhluk. Membebaskan manusia daripada sempitnya dunia menuju luasnya alam akhirat dan membebaskan manusia dari kezaliman menuju keadilan Islam.”
Manakala Ustaz Iqbal Zain al-Jauhari memetik pendapat ulama apabila membicarakan mengenai kemerdekaan dan kebebasan,“Pencapaian manusia menjadi hamba Allah yang baik dari sudut penciptaan, perasaan mahupun akhlak itulah merdeka.”
Dengan erti kata lain seorang manusia, menurut pandangan Islam barulah akan disebut merdeka bilamana dia sedar dan berusaha keras memperlakukan dirinya selaku hamba Allah SWT sahaja dalam segenap dimensi dirinya, baik penciptaan, perasaan mahupun akhlak. Dan dia menyedari bahawa dia masih belum merdeka bilamana dia masih menghambakan dirinya kepada selain Allah SWT.
“Kemerdekaan seseorang atau suatu bangsa sangat ditentukan pada sejauhmana upaya individu atau bangsa tersebut menjadikan kalimah tauhid Lailahaillallah sebagai motivator dan sumber inspirasi utama pembebasan diri (jiwa, hati, akal dan rohani) dari dijajah apapun atau sesiapapun selain ia semua terpaut kepada Allah SWT. Pada dasarnya inilah yang didakwahkan oleh Rasulullah SAW dan juga nabi-nabi terdahulu. Malah tidak ada seorang pun nabi atau rasul yang diutus Allah kepada umat manusia selain menyampaikan mesej, hanya menyembah Allah yang satu dan menjauhi thaghut (syaitan)”.
Ia disebut dalam surah An-Nhl ayat 36, Allah berfirman maksudnya, “Dan sesungguhnya Kami telah mengutuskan rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan), “Sembahlah Allah (saja) dan jauhilah thaghut itu.”
Di sini telah diungkapkan tiga makna kemerdekaan. Maka apa pula ertinya kemerdekaan bagi anda? Adakah ia selaras dengan apa yang Islam gariskan? Atau pun kita memang tidak tahu makna merdeka. Rasanya belum terlambat untuk menyemak hati, mencari erti merdeka dan penting sangatkah ia dipertahankan?
Ada satu tulisan yang menarik di dalam www.muftiwp.gov.my. mengenai kemerdekaan. Disebutkan bahawa ibu kemerdekaan bagi umat Islam adalah pembukaan kota Mekah pada 8 Ramadan tahun 8 Hijrah oleh Rasulullah SAW. Di situlah bermulanya hak insani dan karamah basyariyyah (kemuliaan manusia) dikembalikan kepada fitrahnya.
Syeikh Sofiyyurahman al-Mubarakfuri menyebut peristiwa tersebut dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum seperti berikut: Setelah kota Mekah dibuka dan Rasulullah SAW bersama umat Islam memasukinya, Baginda lalu menuju ke al-Masjid al-Haram. Di sana Baginda kemudian bertawaf mengelilingi Kaabah.
Baginda SAW menjatuhkan berhala-berhala menggunakan busur panah sambil berkata, maksudnya: “Telah datang kebenaran (Islam) dan hilang lenyaplah perkara yang salah (kufur dan syirik); sesungguhnya yang salah itu sememangnya satu perkara yang tetap lenyap.” (Surah al-Haj:81)
Kemudian dalam Surah Saba’ ayat 49, maksudnya: Katakanlah lagi: “Telah datang kebenaran (al-Quran yang memberi segala kebaikan), dan perkara yang salah tidak memberi sebarang kebaikan di dunia, usahkan hendak mengulanginya di akhirat.”
Pada masa yang sama, berhala-berhala pun jatuh dan tumbang, hancur berkecai. Selepas menyempurnakan bilangan tawaf, Baginda lalu masuk ke dalam Kaabah. Baginda mendapati di dalamnya gambar-gambar serta ukiran kayu seekor burung merpati, lalu Baginda memecahkannya. Manakala gambar-gambar di dalam Kaabah diperintah supaya dipadamkan.
Selepas itu Baginda Rasulullah SAW menutup pintu Kaabah dalam keadaan Baginda masih di dalam Kaabah bersama Usamah bin Zaid dan Bilal bin Rabah. Di situ Baginda berdiri dengan membelakangi pintu Kaabah dan bersembahyang. Setelah itu, Baginda berjalan-jalan di dalamnya, bertakbir di setiap penjurunya dan menyebut kalimah Tauhid.
Kemudian barulah Baginda membuka pintu Kaabah. Pada masa itu, kaum Quraisy sedang memenuhi ruang masjid secara bersaf sambil menunggu tindakan lanjut yang akan dilakukan oleh Rasulullah SAW ke atas mereka.
#Nantikan sambungan artikel akan datang apakah yang akan berlaku dan erti kemerdekaan sebenar pada orang-orang Islam.
NURY Kadir, ialah penulis untuk ruangan Agama Ladybosz. Beliau juga adalah bekas editor Majalah Al-Islam.