Spider menghasilkan lagu mengikut kehendak pendengar pemuzik sekarang.

Oleh:Wawa Najwa

SELEPAS menjayakan konsert “Spider Keluar Sarang Live in Kuala Lumpur 2024” pada 22 Jun lalu di Zepp Kuala Lumpur, kini kumpulan tersebut tampil dengan single berjudul “Keluar Sarang” pula.

Lagu ciptaan Tam manakala lirik oleh Keon, menjadi taruhan Spider dalam era muzik kini selepas mengeluarkan album keenam, “Ankabut” pada 2016.

Bagi mengikuti arus perubahan muzik masa kini, kata Tam, single ini dirakamkan dengan menerapkan bunyian elektronik di dalam penyusunan lagu tersebut. Malah Spider sendiri bertindak selaku produser dan penyusun lagu.

‘’Keluar Sarang’’ adalah sebuah single terbaharu Spider yang dicetus dan diinspirasikan daripada “Konsert Solo Keluar Sarang”. Menggunakan tajuk yang sama, lagu ini akan dimuatkan dalam album kompilasi serta album penuh akan datang.

“Kedua-dua projek ini bakal diterbitkan oleh Luncai Emas Sdn Bhd dengan kerjasama Sony Music Entertainment,” kata Tam selaku vokalis dan pemain gitar untuk Spider.

Spider masih relevan kepada peminat muzik tempatan.

Lain-lain anggota Spider ialah Aie (dram), Pown (gitar) dan Is (bass). Bagaimanapun Nafie yang juga merupakan gitaris ahli kumpulan Spider, terpaksa direhatkan kerana masalah kesihatan, namun masih berkesempatan menyumbang dalam rakaman lagu ini untuk bahagian muzik gitar bersama–sama Tam dan juga Pown.

Menurut Tam, Nafie telah dikejarkan ke hospital baru-baru ini akibat serangan strok dan terkini masih di hospital setelah menjalani pembedahan di otak.

Sementara itu, Datuk M.Nasir selaku penasihat untuk album tersebut berkata, single “Keluar Sarang” ini adalah sebagai pengenalan sebelum album sepenuhnya dirilis di pasaran.

“Album terakhir Spider adalah lapan tahun lalu. Spider kini sedang dalam studio untuk menyiapkan lagu-laqu yang terbaik dan ‘hit’ untuk album baharu ini agar mereka dapat terus menangkap hati para peminat di luar sana, seperti mana lagu-lagu hit mereka terdahulu dapat menangkap jiwa pendengar sehingga kini,” katanya.

Previous articleSedapnya hidangan Cucur Kakiage dan Lontong Goreng di Restoran Rasa Rosz di AEON BIG, Wangsa Maju.
Next articleAndai tiada lagi kemerdekaan (Bahagian 1)

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here